
LAWAS: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lawas mengambil masa hampir sejam untuk menangkap seekor anak biawak yang berada di atas siling sebuah rumah penduduk di Kampung Baru, Sundar, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lawas Leftenan (PA) Maradona Tatah berkata seramai empat anggota diketuai Lan koperal (PA) Christopher Musa terlibat dalam operasi menangkap reptilia tersebut.
Dalam kejadian sekitar 9.00 pagi itu, anak biawak berkenaan dikesan masuk ke dalam rumah seorang penduduk dan menyorok di dalam siling sebelum mereka menghubungi APM Lawas untuk mendapatkan bantuan.
“Setibanya di lokasi yang jauhnya 25 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah Lawas mendapati seekor anak biawak berada di dalam siling rumah penduduk.
“ Pihak APM meminta kebenaran tuan rumah untuk membuka siling agar dapat menangkap anak biawak tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya anak biawak berjaya di tangkap dengan teknik penjerut.
Oleh Adeng Edrus