
JULAU: Program Kampung Siaga 221 yang berlangsung di Rumah Philip Janting, Ulu Bejawai Sangkong disifatkan sebagai inisiatif strategik dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti luar bandar menghadapi pelbagai bentuk kecemasan dan bencana.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Julau, Vincent Jeavie Johntin, program dua hari itu yang bermula semalam disertai oleh 50 peserta, terdiri daripada penduduk rumah panjang tersebut.
“Matlamat utama program ini adalah untuk memperkukuhkan daya tahan komuniti setempat terhadap ancaman bencana.
“Ia sekali gus memastikan mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk bertindak dengan cepat dan berkesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, sesi latihan merangkumi aspek pengurusan bencana, latihan evakuasi, penggunaan peralatan kecemasan dan langkah-langkah keselamatan asas di rumah panjang.
“Pendedahan sebegini penting kerana ia membantu masyarakat mengenal pasti risiko awal, mengatur pelan tindak balas, dan meminimumkan kesan bencana,” katanya.
Tambahnya, program yang bermula 7.30 pagi hingga 3.00 petang tersebut turut memberi penekanan kepada kerjasama komuniti dan agensi penyelamat dalam situasi kecemasan.
“Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Julau akan terus menganjurkan program seumpama ini di kawasan lain, selaras dengan matlamat memperluas liputan pendidikan keselamatan awam.
“Saya berharap para peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada risiko bencana pada masa hadapan.
Turut hadir Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Oleh Earl Anek