
Foto: APM Debak
DEBAK: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak telah menjalankan latihan bulanan yang memberi tumpuan kepada silibus jalan lasak dan ketahanan fizikal bagi memastikan anggota sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi.
Menurut kenyataan media APM Daerah Debak, latihan tersebut merupakan usaha berterusan dalam memperkukuhkan keupayaan anggota dari aspek fizikal dan mental bagi menghadapi pelbagai situasi kecemasan.
Katanya, latihan berkenaan dirangka khusus untuk membentuk anggota yang lebih berdaya tahan, cekap serta mampu bertindak pantas ketika menjalankan operasi menyelamat.
Sepanjang sesi latihan, peserta melalui pelbagai cabaran termasuk pergerakan di laluan berbukit, kawasan berlumpur dan halangan semula jadi yang memerlukan kekuatan stamina tinggi.
Selain itu, setiap anggota turut diuji dari segi disiplin diri, daya tahan serta kemampuan untuk terus berfungsi secara efektif dalam keadaan mencabar dan tidak menentu.

Menurut kenyataan itu, latihan sedemikian amat penting bagi memastikan anggota bersedia menghadapi tugasan sebenar yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental.
Dalam masa sama, aspek kerjasama berpasukan, komunikasi berkesan dan semangat setiakawan turut diberi penekanan sepanjang latihan berlangsung.
APM Daerah Debak memaklumkan komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan peserta membuktikan tahap kesiapsiagaan anggota sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Tambahnya, pasukan itu akan terus melaksanakan latihan berkala sebagai persediaan memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat apabila diperlukan.
Oleh Adi Safarman