


Anggota APM Debak menangkap seekor ular sawa batik sepanjang anggaran satu kaki yang ditemui berada di kawasan tempat belajar sebuah Tadika KEMAS di sini, hari ini. Foto: APM Debak
DEBAK: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak telah berjaya melaksanakan operasi menangkap seekor ular sawa batik sepanjang anggaran satu kaki yang ditemui berada di kawasan tempat belajar sebuah Tadika KEMAS di sini, hari ini.
Menurut kenyataan APM Debak, pihak mereka menerima maklumat serta aduan daripada pengurusan tadika berkenaan mengenai kehadiran reptilia itu di kawasan tadika, yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak, guru serta kakitangan.
Tindakan pantas dan berhati-hati telah diambil oleh anggota APM bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang operasi dijalankan. Ular tersebut berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas yang disediakan.
Dalam operasi itu, anggota APM mengambil langkah memantau pergerakan ular dengan teliti sebelum membawanya keluar dari kawasan tadika secara selamat. Kejadian ini berjaya diselesaikan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Pihak APM Debak menasihatkan orang awam, khususnya institusi pendidikan, supaya sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang penemuan haiwan berbisa atau reptilia di kawasan premis mereka.
Selain itu, APM turut menegaskan pentingnya prosedur keselamatan seperti menutup kawasan yang terdedah dan memastikan kanak-kanak tidak berada berhampiran kawasan yang berisiko sehingga bantuan tiba.
Oleh Adi Safarman