

Anggota APM Debak berjaya menangkap seekor buaya sepanjang tujuh kaki di sebuah kolam ikan di kawasan Babu Tengah, Debak, malam tadi. Foto: APM Debak
DEBAK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Debak berjaya menangkap seekor buaya di sebuah kolam ikan di kawasan Babu Tengah, Debak, malam tadi.
Menurut kenyataan rasmi APM Debak, pengadu yang dikenali sebagai Nyadan memaklumkan bahawa reptilia itu telah termakan umpan di kolam ikannya dan dikhuatiri menimbulkan ancaman keselamatan kepada penduduk setempat.
Susulan laporan itu, satu pasukan operasi seramai tiga anggota dikerahkan ke lokasi pada 11.42 malam dan tiba pada 11.51 malam, dengan jarak perjalanan sekitar 10 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Debak.
Setibanya di lokasi, anggota APM segera membuat pemantauan kawasan serta menyediakan peralatan keselamatan bagi memastikan operasi menangkap buaya berjalan lancar tanpa sebarang insiden.


Anggota APM Debak berjaya menangkap seekor buaya sepanjang tujuh kaki di sebuah kolam ikan di kawasan Babu Tengah, Debak, malam tadi. Foto: APM Debak
Dalam tempoh kurang lapan minit, dua anggota APM berjaya menangkap seekor buaya sepanjang kira-kira tujuh kaki dengan anggaran berat 60 kilogram menggunakan teknik menjerut yang telah dilatih.
Buaya tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut, termasuk pemindahan ke habitat semula jadi yang sesuai.
APM Debak menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada, terutamanya di kawasan berhampiran sungai atau kolam, dan melaporkan sebarang kehadiran hidupan liar berbahaya kepada pihak berkuasa dengan segera.
Oleh Adi Safarman