
BETONG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong menjalankan pemantauan di kawasan yang terjejas banjir susulan limpahan air sungai dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak pagi hingga petang semalam di kawasan Issu Bangat.
Menurut kenyataan media APM Daerah Betong, pasukan pemantau telah digerakkan ke lokasi terjejas bagi menilai keadaan semasa serta memastikan tahap keselamatan penduduk berada dalam keadaan terkawal.

Hasil pemantauan mendapati paras air masih menunjukkan trend surut secara perlahan, namun beberapa kawasan masih dinaiki air sehingga mencecah paras pinggang.
Keadaan itu menyebabkan laluan utama menuju ke rumah panjang terjejas tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan buat sementara waktu berikutan faktor keselamatan.
Bagaimanapun, penduduk di kawasan berkenaan masih boleh menggunakan laluan alternatif lain untuk keluar masuk ke penempatan mereka.

APM Betong turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan daripada meredah kawasan banjir terutama ketika paras air masih tinggi dan arus tidak menentu.
Selain itu, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sungai diminta untuk sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
APM Betong menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau keadaan semasa dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk setempat sentiasa terjamin.
Oleh Adi Safarman