
SARIKEI: Seorang lelaki dan dua kanak-kanak perempuan cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di sini, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut pada 1.00 petang.
Katanya, kemalangan itu melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah Proton X70 dan sebuah Toyota Hilux.
“Kami menerima panggilan kecemasan memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan dan mangsa memerlukan bantuan kecemasan.
“Tiga orang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) segera ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan awal serta memberikan rawatan yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, anggota APM telah menjalankan pemeriksaan awal dan memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa yang terlibat
“Pemandu Proton X70, seorang lelaki berusia 39 tahun, mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Dua orang kanak-kanak perempuan yang turut berada dalam kenderaan tersebut juga mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital oleh ahli keluarga bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut sebagai langkah berjaga-jaga.
“Sementara itu, dua lelaki dewasa berumur 34 tahun dan 49 tahun yang berada dalam Toyota Hilux dilaporkan mengalami kesakitan di bahagian bahu dan dada masing-masing,” katanya.
“Kesemua mangsa yang terlibat telah diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.
Oleh Earl Anek