SAN FRANCISCO: Aplikasi Threads oleh Meta, mengumumkan ciri baharu sempena ulang tahun pertama pelancaran versi webnya pada Ogos 2023, semalam.
Xinhua melaporkan kemas kini itu termasuk keupayaan untuk menyimpan sehingga 100 draf, skrin Insights dan ciri penyusunan semula lajur.
Skrin Insights baharu untuk pengguna membolehkan paparan umur, jantina dan lokasi individu yang melihat dan berinteraksi dengan anda. Skrin ini juga menunjukkan jumlah tontonan dan interaksi dengan hantaran anda yang dipecahkan mengikut pengikut dan bukan pengikut, kata syarikat itu.
Ciri penyusunan semula lajur membolehkan pengguna menyusun semula carian, hantaran yang disukai, aktiviti, hantaran yang disimpan, profil dan Insights mengikut susunan yang berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif Meta Mark Zuckerberg berkata, syarikat itu merancang untuk menambah ciri penjadualan hantaran tidak lama lagi.
Awal bulan ini, Threads mencapai pencapaian 200 juta pengguna aktif bulanan, hampir 13 bulan selepas pelancaran awalnya.
Threads bersaing dengan X (dahulu Twitter), yang mempunyai lebih 600 juta pengguna bulanan pada Mei, menurut pemiliknya Elon Musk. – Bernama – Xinhua