PETRA JAYA: Aplikasi e dompet Kerajaan Sarawak iaitu S PAY GLOBAL memperluaskan ciri-ciri baharunya apabila dipautkan bersama QR DuitNow hasil kerjasama dengan Payments Network Malaysia (PayNet).
Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng berkata, hasil kerjasama ini membolehkan S PAY GLOBAL mengimbas aplikasi e dompet DuitNow yang lain.
“Malah, aplikasi e dompet DuitNow yang lain juga boleh mengimbas e dompet para peniaga dalam S PAY GLOBAL.
“Oleh itu, ciri-ciri baharu ini membuka ruang kepada ketersambungan yang lebih baik agar urus niaga rakyat Sarawak berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Haji Openg yang bertujuan mengemas kini mengenai ciri-ciri baharu yang terdapat dalam aplikasi S PAY GLOBAL di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Rombongan kunjungan terbabit turut disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi SiliconNet Technologies Sdn. Bhd, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Infromation System Sdn. Bhd (SAINS), Busiai Seman.
Anderson menambah, sebanyak RM4.3 bilion transaksi pembayaran direkodkan setakat ini, sejak S PAY GLOBAL diwujudkan pada 2017.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 118 juta pembayaran dilakukan dengan 780,000 pengguna berdaftar manakala 92,000 lagi peniaga berdaftar.
“Hakikatnya, S PAY GLOBAL telah menjadi e dompet penting kepada rakyat Sarawak termasuk mereka yang berada di luar bandar terutamanya dalam kemudahan bagi pembayaran bil utiliti,” jelasnya.
Tegasnya, inisiatif ini sejajar dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDEC 2030) yang memberi tumpuan kepada memodenkan infrastruktur kewangan Sarawak.
“Selari dengan visi kami untuk memperkasakan ekonomi digital Sarawak, S PAY GLOBAL mampu meningkatkan keterangkuman digital dan membuka peluang baharu dalam pasaran global.
“Melalui inovasi ini, ia turut mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam ekonomi serantau dan mesra pengguna,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar SiliconNet Technologies Sdn. Bhd, yang mengendalikan S PAY GLOBAL, Ts. Hii Saan Chieng berkata, dengan membolehkan DuitNow dalam S PAY GLOBAL ia menyediakan platform mudah untuk diakses pengguna secara keseluruhan dari segi kewangan.
“Dalam pada itu, kita sedang melancarkan DuitNow S PAY GLOBAL baharu untuk para peniaga,” katanya.
Pengarah Kanan, Bahagian Komersial, PayNet, Azrul Fakhzan B. Mainor pula berkata, dengan mengintegrasikan QR DuitNow, rakyat Sarawak lebih terhubung dalam ekosistem pembayaran global sekali gus mempercepatkan aliran perdagangan.
“Memandangkan QR DuitNow beroperasi dengan rangkaian pembayaran global , kita akan dapat melihat lebih banyak transaksi rentas sempadan dalam Sarawak dilakukan.
“Kerjasama ini mengukuhkan pengalaman pertama pelanggan di dalam dan luar Sarawak yang berusaha bergerak ke arah transformasi e dompet,” ujarnya.
Justeru, peniaga baharu yang berminat menyertai S PAY GLOBAL dialu-alukan untuk mendaftar dengan S PAY GLOBAL.
Sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 082-22 45 99.