Pandemik Covid-19 telah menyebabkan peralihan kepada sistem pembelajaran secara atas talian yang kadang kala kurang efektif dan menyebabkan stres dan hilang fokus dalam kalangan pelajar.
Pelbagai aplikasi juga sudah diperkenalkan bagi membantu para pelajar menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran dengan norma baharu ini. Salah satu daripadanya adalah aplikasi Pandai.
Pandai merupakan aplikasi e-pendidikan yang membantu pelajar untuk belajar melalui kaedah menjawab soalan latihan berbentuk kuiz, ujian topikal dan peperiksaan penggal.
“Ketika sekolah ditutup, ibu bapa giat mencari alternatif untuk memastikan anak-anak mereka sibuk, dan aplikasi ini ternyata berjaya mengisi kekosongan tersebut,” kata Sherlynna Parveen Deshon Kaman, Pengedar Rasmi Pandai Premium.
Bukan sekadar menjawab soalan, tetapi setiap soalan akan disediakan penerangan jawapan, nota-nota dan juga video berkaitan topik yang sedang dijawab.
“Kandungannya adalah 100% berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” kata
Menurut beliau, aplikasi Pandai boleh diakses dimana-mana secara percuma melalui laman web www.pandai.org atau dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, dengan menggunakan mana-mana peranti seperti komputer, telefon pintar dan tablet.
“Pandai Education mula berkembang pesat sejak Januari 2020. Idea untuk aplikasi Pandai ini datang dari pengalaman para pengasas syarikat sebagai usahawan dalam industri pendidikan selama 14 tahun.
“Mereka yakin dan percaya bahawa teknologi dapat memberikan impak yang lebih luas dan berterusan dalam program pendidikan masa kini.
Tambahnya penggunaan aplikasi Pandai terbukti berkesan dalam membantu pembelajaran anak-anak secara interaktif. Ciri-ciri yang padat dan menarik dalam aplikasi ini turut menjadi pelengkap kepada sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“ Sebagai contoh, melalui salah satu ciri-ciri dalam aplikasi Pandai, iaitu gamification ini dapat menggalakkan pelajar untuk bermain sambil belajar, membantu mengurangkan stres dan mengelak mereka dari ketinggalan dalam silibus pelajaran.
“Pelajar yang menjawab kuiz Pandai setiap hari tanpa henti layak mendapat lencana streak mengikut bilangan hari yang telah ditetapkan. Lencana streak ini akan dipaparkan di dashboard profil mereka,” tambahnya.
Aplikasi Pandai mengandungi subjek-subjek akademik seperti Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan, Biologi, Fizik, Kimia, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, Reka Bentuk Teknologi, Sains Komputer, dan lain-lain.
Menurut Sherlynna lagi, aplikasi Pandai telah membantu seramai lebih 256,000 pelajar di Malaysia untuk belajar dan menjawab sebanyak 75,000,000 soalan sejak Januari 2020.
“Inisiatif platform e-pendidikan Pandai ini menjadi pelengkap pendidikan dengan menawarkan pendekatan yang interaktif, seiring dengan langkah PdPR yang telah diterapkan oleh sekolah-sekolah dan pusat tuisyen untuk memastikan pelajar dapat mengikuti silabus pelajaran dengan baik.”
Ibu bapa yang telah menggunakan aplikasi Pandai berpendapat bahawa mereka kini dapat memantau dengan lebih baik kemajuan dan prestasi anak mereka, dan sangat berpuas hati dengan kandungan dan latihan dalam aplikasi Pandai yang berdasarkan silibus Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pelajar juga berasa seronok dengan ciri-ciri pembelajaran interaktif secara gamification dan Scorecard, serta dapat mempersiapkan diri dengan soalan-soalan untuk pertandingan seperti Kangaroo Math Competition dan lain-lain.
Aplikasi Pandai boleh digunakan oleh pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, boleh layari laman Facebook dan Instagram Pandai Edu Sarawak.
Oleh Azreen Keria