
PUTRAJAYA: Gerbang digital tunggal negara bagi perkhidmatan awam atau MyGOV Malaysia akan dilancarkan bulan depan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Gobind berkata aplikasi mudah alih itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Teknologi Kerajaan (GovTech) negara yang bertujuan memudahkan rakyat negara ini mengakses pelbagai agensi kerajaan dengan mudah.
“Perkara ini adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara digital.
“Sudah tiba masanya kita menyediakan satu platform tunggal yang membolehkan rakyat berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan secara lancar dan bersepadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Memperincikan mengenai MyGOV Malaysia, beliau berkata aplikasi mudah alih itu memfokuskan kepada tujuh perkhidmatan utama, iaitu perjalanan (urusan pasport); pendaftaran (kelahiran dan kewarganegaraan); pemanduan (cukai jalan dan lesen memandu) serta kesihatan (janji temu perubatan dan rekod kesihatan).
Gobind berkata aplikasi itu turut melibatkan perkhidmatan saman (semakan dan bayaran), perumahan (cukai tanah dan cukai taksiran) serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Lebih banyak ciri tambahan akan diperkenalkan dalam masa terdekat bagi memperkasakan fungsi aplikasi ini. MyGOV Malaysia akan diintegrasikan dengan MyDigital ID bagi memperkemas akses kepada perkhidmatan kerajaan menerusi satu platform yang selamat dan bersepadu,” katanya.
Beliau berkata pengguna akan dapat mengesahkan identiti dan mengakses pelbagai perkhidmatan secara terus melalui MyGOV Malaysia dengan menggunakan maklumat pengenalan MyDigital ID masing-masing.
“Setakat semalam, sebanyak 2.6 juta pendaftaran MyDigital ID telah direkodkan. Integrasi log masuk tunggal ini akan melibatkan 34 sistem utama perkhidmatan kerajaan dan lebih banyak perkhidmatan akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.
Gobind berkata pembangunan MyGOV Malaysia turut menyaksikan kerjasama strategik antara kerajaan dengan sektor swasta, khususnya syarikat telekomunikasi dan institusi perbankan.
Menurutnya, aplikasi mudah alih itu turut memberikan manfaat kepada kerajaan dengan mengoptimumkan kos operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara serta meningkatkan produktiviti melalui penggunaan data yang membolehkan keputusan dibuat dengan lebih tepat serta berinformasi. – Bernama