TANJUNG MANIS: Aplikasi khas dikenali sebagai ‘Croc Watch’ bakal diwujudkan kerajaan Sarawak sebagai usaha mengawal populasi buaya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia juga adalah salah satu usaha untuk mengurangkan risiko konflik antara manusia dan reptilia pemangsa tersebut.
“Insya-Allah, aplikasi ‘Croc Watch’ ini akan dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Pesta Belawai 2024.
“Idea mewujudkan aplikasi ini tercetus semasa saya menghadiri program teknologi antarabangsa di Santiago dua tahun lepas.
“Idea ini tercetus untuk kita mewujudkan aplikasi ini kerana kita tahu buaya ini adalah dari segi permasalahan yang dihadapi oleh mereka yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti di sungai dan sebagainya,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat penganjuran Pesta Belawai 2024 bertempat di bilik mesyuarat Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) Cawangan Tanjung Manis, kelmarin.
Katanya, aplikasi tersebut akan dapat diakses oleh orang ramai selepas pelancarannya nanti.
“Aplikasi ini membolehkan orang ramai berkongsi maklumat secara terus kepada pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mengenai keberadaan buaya di kawasan masing-masing.
“Semua maklumat yang diperolehi akan disalurkan semula oleh SFC menerusi aplikasi ini bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti lubuk utama buaya atau kawasan yang kerap berlaku insiden serangan reptilia pemangsa tersebut,” katanya.
Tambahnya, dengan adanya aplikasi tersebut, data-data yang diperolehi akan digunakan untuk mencari kaedah bagi memindahkan buaya-buaya yang berada di kawasan sekitar seperti di kampung dan rumah panjang dipindahkan ke suatu tempat yang telah dikenal pasti.
“Beberapa lokasi yang telah dikenal pasti sebagai santuari buaya termasuklah Pulau Seduku di Batang Lupar, Taman Negara Paya Bakau Rajang, Sebuti di bahagian utara termasuk Limbang dan Lawas.
“Pemindahan buaya merupakan salah satu kaedah yang dipratikkan di Australia ke lokasi penempatan buaya atau santuari selain sebagai tarikan pelancong di negara tersebut,” katanya lagi.
Terdahulu, di hari sama, beliau merasmikan naik taraf pejabat MDMD Cawangan Tanjung Manis.
Oleh Earl Anek