
SEOUL: Satu aplikasi mudah alih baharu di Korea Selatan akan membolehkan mangsa perbuatan menghendap menjejaki lokasi pengintai maya mereka, menurut kementerian kehakiman pada Ahad, ketika pihak berkuasa berusaha memperkukuh perlindungan terhadap mangsa susulan pembunuhan seorang wanita muda bulan lepas, lapor Agensi Berita Yonhap.
Aplikasi itu, yang dijadual pelancarannya pada Jun selepas tempoh percubaan, akan membolehkan mangsa menyemak lokasi pengintai maya yang memakai peranti pemantauan buku lali apabila individu berkenaan berada dalam jarak tertentu.
Langkah itu diambil selepas pihak berkuasa berdepan kritikan susulan pembunuhan seorang wanita berusia lingkungan 20-an oleh pengintai mayanya bulan lepas.
Pengintai maya itu, yang memakai peranti pemantauan buku lali dan tertakluk kepada beberapa perintah pembatas, membunuh mangsa walaupun wanita berkenaan memakai jam tangan pintar sebagai sebahagian daripada perlindungan polis.
Kementerian itu kini sedang berusaha mengintegrasikan sistem penjejakan lokasinya dengan sistem polis supaya pegawai polis dapat bertindak balas dengan pantas dalam kes melibatkan mangsa perbuatan menghendap dan individu yang mengganggu mereka. – Bernama