

MAJLIS APC Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman Tahun 2024 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Lingga
\SIMANGGANG: Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, malah menjadi pemangkin semangat dan motivasi kepada warga pendidik untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang, berintegriti dan berdaya saing demi kepentingan rakyat serta kemajuan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, penghargaan itu membuktikan jasa dan sumbangan warga pendidik sentiasa dihargai serta diiktiraf oleh kerajaan.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga, Kaunselor Suhaidi@Roslan Los telah mewakili ADUN Lingga menghadiri Majlis APC Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman 2024 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, seramai 92 penerima APC yang terdiri daripada warga pendidik dari sekolah-sekolah di Bahagian Sri Aman menerima pengiktirafan atas prestasi cemerlang, dedikasi serta komitmen tinggi mereka dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pendidikan.
Dayang Noorazah dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Induk APC 2024 atas penganjuran majlis yang berjalan lancar dan penuh tertib.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima APC 2024.
“Semoga penghargaan ini menjadi pendorong untuk kita terus memberikan perkhidmatan terbaik, berintegriti dan berdaya saing dalam memastikan kepentingan rakyat serta kemajuan negara sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa warga pendidik memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan negara, justeru komitmen dan usaha berterusan perlu dipertingkatkan seiring dengan aspirasi pendidikan negara.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak (Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD), Dr. Abang Adam Abang Deli, Pegawai Pendidikan Bahagian Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin, Pengerusi Majlis Guru Besar Sri Aman, Alfred Kendim serta Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Menengah Daerah Sri Aman, Limok Sem.
Oleh Adi Safarman