ANAK muda ialah kelompok yang perlu diberikan perhatian dan disantuni. Golongan anak muda merupakan suara masa depan negara dan bakal memimpin negara pada suatu ketika nanti. Anak muda mempunyai pelbagai hasrat sesuai dengan jiwa muda dan hakikat serta realiti kehidupan yang mereka hadapi.
Anak muda terdiri daripada beberapa lapis kategori umur yang mempunyai keperluan yang berbeza-beza. Sekiranya merujuk jumlah pemilih berdaftar, jumlah mereka sebagai pengundi semakin meningkat. Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), jumlah itu meningkat kepada lebih 21.17 juta dengan kira-kira separuh daripadanya pengundi muda iaitu seramai 10.6 juta orang.
Dalam konteks ini pengundi muda merujuk kepada pemilih berusia 18 hingga 39 tahun di seluruh negara. Secara statistik pengundi muda terbahagi kepada tiga kategori iaitu pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun yang seramai 1.39 juta, kategori kedua pula pengundi berusia antara 21 hingga 29 mempunyai 4.61 juta orang. Selebihnya berumur 30-39 tahun.
Keperluan berbeza
Sudah pasti anak muda berumur 18-25 tahun misalnya mahu isu pendidikan diberikan perhatian, keperluan mendapat kemudahan internet lebih baik untuk urusan seharian dan pendidikan mereka. Peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang mereka kehendaki merupakan suatu kepuasan kepada golongan ini. Pada masa sama, kemudahan biasiswa atau pinjaman pendidikan mereka perlu lebih cakna.
Memang golongan daripada pendapatan rendah perlu dibantu dari segi pinjaman, namun pada masa sama, anak-anak muda yang berkelulusan cemerlang perlu diberikan pengiktirafan dalam bentuk biasiswa bukannya berstatus pinjaman.
Kemudahan infrastruktur ketika dalam pengajian juga perlu disantuni, misalnya isu kesesakan asrama, kemudahan mendapat asrama atau penginapan dengan harga berpaturan, kemudahan perpustakaan yang terbaik, langganan jurnal dan buku tidak sewenang-wenangnya dipotong atas jimat cermat. Begitu juga yuran pengajian perlu mampu dibiayai bukannya membebankan rakyat.
Anak muda ketika dalam pengajian wajar diberikan pendedahan yang meluas mengenai pengurusan konflik dan strategi bergerak hadapan dalam mengharungi realiti kehidupan. Bagi anak-anak lepasan sekolah, mereka perlu dibimbing secara terbaik pilihan pendidikan yang sesuai dengan minat dan kelayakan mereka.
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperluaskan sesuai dengan keperluan negara untuk melatih kemahiran. Peluang TVET mampu membawa pasaran kerja yang menjanjikan pendapatan lebih lumayan, namun kurang diseragamkan dan dipublisitikan secara sistematik.
Melatih anak mudah mampu berdikari ini sesuai dengan keperluan negara yang kekurangan tenaga separuh mahir dan mahir. Apabila kurang diterokai dan diberikan hala tuju yang luas, maka peluang ini dilihat banyak dimanfaatkan oleh pekerja-pekerja asing bagi memperoleh sumber pendapatan yang besar.
Peluang pekerjaan
Apabila tiba pada kategori usia selanjutnya iaitu berumur 26-35 tahun, anak muda berdepan dengan isu-isu seperti peluang pekerjaan dan gaji yang munasabah. Ada menyatakan gaji yang bermaruah, merujuk kepada kesesuaian dengan kepakaran dan bidang ilmu yang ada. Pentingnya pihak kerajaan memastikan peluang pekerjaan ditawarkan perlu bersesuaian dengan kelulusan dan inilah sebaik-baiknya agar bidang dipelajari tersebut tidak membazir dari segi tempoh pengajian bertahun-tahun.
Hal ini juga penting bagi memastikan kemahiran atau kepakaran itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya. Justeru, aspek bidang ilmu merentasi disiplin perlu digalakkan agar pendidikan dapat membuka ruang pekerjaan yang lebih luas kepada anak-anak muda.
Isu rumah pertama
Isu rumah adalah antara isu utama membelenggu anak-anak muda yang baharu sahaja memulakan kehidupan mereka. Harga rumah tinggi yang tidak setimpal dengan gaji diperoleh mereka setiap bulan adalah punca utama anak muda ada yang beranggapan pihak kerajaan kurang peka dengan masalah mereka.
Kedudukan kewangan kurang kukuh menyebabkan peluang mereka untuk memiliki rumah sendiri di kawasan bandar atau luar bandar menjadi terbatas.
Ada yang menyifatkan rumah diidamkan mereka hanya mampu pandang, akan tetapi tidak mampu dimiliki dan ini bukanlah perkara baharu dihadapi oleh anak-anak muda.
Namun, ketika pilihan raya umum, golongan ini diharapkan oleh parti-parti politik untuk mengundi parti mereka. Tidak ada formula magis mampu menangani isu yang membebankan rakyat muda ini, selain daripada usaha melaksanakan gaji minimum lebih munasabah dan campur tangan kerajaan dalam menperbanyakkan lagi pembinaan rumah-rumah pertama bagi golongan anak muda yang baharu memulakan kehidupan ini.
Keterlibatan ekonomi gig
Anak muda sekarang selalu dikaitkan dengan ekonomi gig yang merujuk kepada sektor ekonomi sementara yang diceburi bagi memperoleh sumber pendapatan. Antara yang popular ialah menjadi pemandu secara e-talian seperti grab, maxim, airasia rider, food Panda dan sebagainya. Sektor ini juga melibatkan pekerjaan seperti penulis sambilan, pereka grafik sambilan, menjual baju, kuih secara dalam talian dan sebagainya.
Keterlibatan anak muda mengambil inisiatif ini kerana sumber pekerjaan yang paling cepat, mudah dilaksanakan, tidak memerlukan kos besar akan tetapi menjanjikan sejumlah pendapatan sekurang-kurang untuk bertahan dalam tempoh tertentu.
Meskipun ekonomi gig ini dianggap ramai sebagai hanya bersifat sementara, akan tetapi ramai menceburinya dalam tempoh masa yang lama. Perkara ini berlaku kerana penglibatan dalam sektor pekerjaan ini lebih dilihat bersifat fleksibel dan tidak mengongkong pergerakan harian anak muda. Jiwa anak muda ada juga tidak suka hidup mereka dipenuhi dengan jadual ketat.
Mereka mahu masa yang ada dapat digunakan untuk tujuan bersama keluarga, teman-teman dan meraikan masa berkualiti dengan pengisian yang mereka lebih minati seperti menonton Netflix, bermain permainan komputer dan bersosial.
Difahami secara politik
Bagi menyantuni selera anak-anak muda ini juga, maka anak muda mahu pihak kerajaan dan orang politik perlu memahami sifat-sifat dan tingkah laku mereka yang tidak sama seperti generasi warga emas mahupun elit politik.
Dunia mereka ialah sukan elektronik (e-sukan) yang kini sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk Sukan Asia Hangzhou dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018. Yang diceburi anak muda ialah Arena of Valor (versi Sukan Asia), Dota 2, Dream Three Kingdoms 2, FIFA (oleh EA Sports), Hearthstone, League of Legends, PUBG Mobile (versi Sukan Asia) dan Street Fighter V.
Kesemua e-sukan ini diperakukan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA). Sudah tentu, sesi berkaraoke bersama rakyat lebih dilihat sesuai dengan dunia orang tua atau generasi warga emas. Begitu juga sesi memberi ceramah kepada golongan lebih berumur kerana anak-anak muda sukar mendengar ceramah yang panjang-panjang.
Yang anak muda lebih santuni ialah media-media tik tok, Instagram dan twitter, snapchat, pinterest, reddit, discord dan sebagainya. Mereka sudah melihat media sosial facebook sebagai usang dan sudah kurang diperdulikan oleh mereka. Apa-apa penyebaran agenda kerajaan dan parti politik perlu melihat kecenderungan ini. Dengan tuntutan, keperluan, kehendak baharu ini maka kerajaan, parti-parti politik dan elit politik perlu bersedia menerima perubahan ini bagi memastikan suara anak muda terus bersama mereka.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)