ENTAH apa sebenarnya berlaku apabila saban masa kita mendengar berlaku projek sakit.
Kadangkala, berjela-jela alasan diberi.
Dari 1 hingga 10 sebab projek gagal dilaksanakan.
Kita boleh terima jika alasannya di luar kawalan seperti disebabkan pandemik Covid-19.
Tetapi Covid-19 dah tiga tahun berlalu dan sekarang ini zaman kebangkitan semula.
Perniagaan kembali berkembang, kapal terbang kembali beroperasi penuh, penjaja kecil bebas berniaga, banyak projek infrastruktur dilaksanakan, kemeriahan di sana sini seperti keramaian, pesta, regata, konsert yang juga turut menyumbang kepada hasil peniaga kecil, hatta penjual burger sekali pun.
Jika anda memandu di Lebuh Raya Pan Borneo sekarang, durian dan buah dabai banyak dijual di tepi sepanjang jalan terutama arah laluan kampung dan rumah panjang.
Pembangunan seperti ini hakikatnya membuka peluang kepada orang ramai untuk mencari rezeki.
Bila ‘projek sakit’, rakyat pun ‘sakit’ dan rezeki juga terjejas.
Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan sama ada peringkat negeri atau persekutuan bagi menyelesaikan masalah projek sakit secara tuntas, kerana ada projek yang sudah bertahun-tahun, tidak juga siap meskipun peruntukan sudah diluluskan.
Contohnya, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balingian.
Penduduk setempat terutama ibu bapa sudah menunggu projek ini sejak 2013 tetapi sehingga kini cuma mencapai kemajuan 20 peratus.
Apa sudah jadi? Projek pembinaan SMK Balingian adalah sebahagian Rancangan Malaysia ke-10 yang diluluskan sekitar 2013 dan 2014.
Pihak Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menangani masalah ini.
Jika betul masalahnya seperti reka bentuk sekolah yang tidak sesuai dengan keadaan tanah di situ, mengapa tidak dikenal pasti lebih awal, bukan setelah bertahun-tahun atau 10 tahun, supaya tapak boleh dialihkan ke lokasi lain, sekali gus juga menyebabkan kontraktor berdepan masalah.
Pelajar di Balingian kini terpaksa pergi ke Mukah untuk menyambung pendidikan menengah.
Satu lagi projek yang mengecewakan rakyat ialah jambatan Batang Rambungan.
Projek jambatan sepanjang 560 meter bernilai RM82 juta itu sepatutnya siap Disember 2022, kini kontraktor baharu atau kontraktor penyelamat dilantik bermula bulan lalu untuk menyiapkannya dalam tempoh baharu – 24 bulan akan datang.
Apabila siap oleh kontraktor baharu dalam tempoh dua tahun ini, ia akan mengakhiri penggunaan feri yang menghubungkan Kuching-Lundu-Sematan, sekali gus memendekkan perjalanan di lokasi ini dari Kuching-Matang ke Sempadi.
PENDUDUK KECEWA
Masyarakat Lundu sudah lama mengimpikan untuk ulang-alik ke Kuching dalam tempoh singkat melalui jambatan itu, tetapi terpaksa bersabar menggunakan feri untuk dua tahun lagi.
Boleh elak guna feri tetapi perjalanannya agak jauh melalui Batu 7 dan Bau atau melalui jalan/jambatan Batu Kawa, dari Kuching.
Kini ada 15 projek pembinaan jambatan di seluruh negeri dan rakyat setempat di kawasan terbabit mengharapkan projek berjalan lancar.
Masalah projek sakit turut melibatkan pembinaan jalan raya.
Misalnya, projek jalan baharu Matang sepanjang 4.4 kilometer.
Projek naik taraf jalan tersebut menelan kos RM54.59 juta dari Matang Jaya ke simpang Jalan Batu Kawa-Matang yang telah ditender semula susulan kegagalan kontraktor asal untuk meneruskan kerja, sekali gus dikategori ‘projek sakit’ sebelum ini.
Dengan jumlah penduduk yang ramai, jalan di situ sentiasa sesak dan dianggarkan lebih 10,000 orang menggunakan laluan berkenaan saban hari.
Dilaporkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan pihak kontraktor berdepan cabaran kerana kawasan tersebut dipenuhi dengan utiliti dan kepadatan penduduk.
Kerja-kerja untuk mengalihkan utiliti sedia ada di situ pula dilaporkan menelan kos RM20 juta.
Projek ini sekarang mencapai nilai kemajuan fizikal sebanyak 13 peratus daripada jadual asal.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, berkata Kerajaan Persekutuan mengenal pasti 11 projek sakit di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) di Sarawak, melibatkan sektor pendidikan, kesihatan, dan pembangunan desa. Kelewatan pelaksanaan projek-projek tersebut berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk perubahan reka bentuk, isu utiliti, serta kekangan peruntukan.
Menurut Fadillah, antara punca utama kelewatan ialah kegagalan kontraktor menyiapkan projek.
“Kira-kira 45 peratus masalah di Sarawak berpunca daripada kontraktor yang tidak mampu menyiapkan projek.
Kekangan kewangan dan kemampuan teknikal menjadi penyebab utama. Beberapa projek terpaksa dibatalkan akibat masalah ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelaras Status Pelaksanaan Projek Pembangunan Negeri Sarawak di Kota Samarahan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, baru-baru ini memaklumkan bahawa kementeriannya telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan (JKTP) pada Mac 2023 untuk memantau dan menangani isu-isu berkaitan.
“Sehingga kini, terdapat 649 projek perumahan swasta berlesen yang sedang berjalan di Sarawak. Daripada jumlah itu, 43 projek (6.6 peratus) melibatkan 4,837 unit dikenal pasti sebagai projek sakit,” katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
PERATURAN BAHARU
Menurut Dr Sim, melalui usaha bersepadu JKTP, 16 projek (37 peratus melibatkan 3,107 unit berjaya diselesaikan, sama ada melalui penyiapan separa atau penuh, pemulihan pembinaan, atau penyelesaian lain. Usaha tersebut telah membantu seramai 663 pembeli rumah.
“Namun, 27 projek (63 peratus) yang melibatkan 1,730 unit masih dalam pelbagai peringkat pemantauan dan fasilitasi. Jumlah projek sakit adalah dinamik, bergantung kepada penyelesaian yang dilaksanakan, termasuk keupayaan pihak terlibat untuk melaksanakan pelan pemulihan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri bulan lalu.
Beliau mengakui beberapa cabaran dihadapi kerajaan dalam menangani isu ini, termasuk ketidakstabilan kewangan pemaju, komplikasi undang-undang, dan faktor pasaran seperti gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos bahan binaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya kini mengenakan peraturan baharu iaitu kontraktor baharu atau kontraktor penyelamat diberi tempoh sebulan untuk menunjukkan kemajuan kerja.
“Sekiranya pihak kontraktor tidak menunjukkan apa-apa perkembangan berkaitan projek dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan berhak untuk membatalkan tender diberikan.
“Peraturan ini telah dimaklumkan dan ditetapkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg” katanya yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.
Apa yang kita harapkan ialah tiada lagi projek tergendala, projek tertangguh dan projek sakit selepas ini.
Pemilihan kontraktor selepas dibuat tender perlu diteliti latar belakang, keupayaan menjalankan kerja dan bukan kontraktor alibaba. Mungkin perlu dikaji semula kaedah memilih kontraktor iaitu bukan lagi semata-mata syarikat yang menawarkan harga termurah diberi kontrak tetapi tiada rekod cemerlang.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.