Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Apabila jawatan Perdana Menteri tiada had
  • KOLUMNIS

Apabila jawatan Perdana Menteri tiada had

Utusan Sarawak 3 weeks ago

RAKYAT tidak memilih Perdana Menteri secara langsung. Rakyat memilih Ahli Parlimen di kawasan masing-masing dalam pilihan raya umum.

Di Malaysia, cara memilih Perdana Menteri ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

Selepas pilihan raya umum, parti politik atau gabungan parti yang mendapat majoriti mudah (sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi Parlimen) akan membentuk kerajaan.

Ketua parti atau gabungan yang mempunyai sokongan majoriti inilah dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong akan melantik sebagai Perdana Menteri seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Itu serba ringkas proses pemilihan Perdana Menteri. Jika tiada majoriti jelas (hung parliament), maka rundingan antara parti akan dibuat dalam usaha memperoleh majoriti. Situasi ini pernah berlaku selepas PRU15 pada November 2022.

Sementara itu, Isnin lalu Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun boleh lulus mudah dengan majoriti dua pertiga, tetapi sebaliknya yang berlaku.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaklumkan keputusan undi belah bahagian menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.

Ini bermakna, kurang dua undi untuk capai 148 bagi memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan. Ia sekali gus menyaksikan RUU yang pertama kali dibentang, membabitkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan gagal dibawa untuk bacaan kali ketiga dan kemudiannya diluluskan.

Entah mengapa terjadi seperti itu, kerana antara 32 tidak hadir adalah lapan Ahli Parlimen kerajaan sendiri termasuk dua dari Sarawak.

MASALAH KOMUNIKASI

Di sini, kelihatan kurang persediaan rapi atau komunikasi terutama dalam kalangan penyokong kerajaan. Jika tidak, tidak timbul alasan ‘bermacam-macam’ sebagai ‘halangan’ untuk tidak berada di Dewan Rakyat ketika undian dilakukan.

“Tugas kerajaan ialah untuk memastikan semua Ahli Parlimen mereka hadir supaya tidak berlaku situasi ‘kerajaan kalah tetapi pembangkang yang dipersalah,” kata Ahli Parlimen Bachok dari PAS, Syahir Sulaiman dalam media sosial.

Dengan keputusan itu, bermakna Malaysia kekal tanpa had waktu bagi jawatan Perdana Menteri – sama seperti United Kingdom (UK), Jepun, Singapura, Kanada, Australia dan India yang mengguna pakai sistem parlimen.

Pendeknya, Perdana Menteri boleh kekal selagi parti mereka menang pilihan raya dan dia mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

Contoh lama ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang memegang jawatan PM lebih 22 tahun (penggal pertama), Margaret Thatcher yang berkhidmat 11 tahun sebagai PM Britain dan Shinzo Abe, hampir lapan tahun sebagai PM Jepun secara kumulatif.

Bagaimanapun, beberapa negara lain sudah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri atau Presiden.

Amerika Syarikat mengehadkan jawatan Presiden kepada dua penggal sahaja (maksimum lapan tahun). Ia ditetapkan melalui Pindaan ke-22 Perlembagaan selepas era Franklin D Roosevelt yang memegang jawatan empat penggal.

PROSES undian belah bahagi untuk RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Begitu juga Indonesia mengehadkan jawatan Presiden kepada dua penggal (lima tahun setiap penggal). Had ini termaktub dalam Perlembagaan selepas era Suharto yang memerintah lebih 30 tahun.

Tetapi di Filipina, Presidennya hanya boleh berkhidmat satu penggal sahaja (enam tahun) dan tidak boleh dipilih semula, hampir sama dengan Korea Selatan dengan presidennya hanya untuk satu penggal (lima tahun) dan tidak boleh bertanding semula. Begitu juga Mexico, hanya satu penggal (enam tahun dan tidak boleh dipilih semula).

Presiden Perancis boleh berkhidmat maksimum dua penggal berturut-turut (lima tahun setiap penggal).

AGENDA REFORMASI

Jawatan PM Thailand dihadkan maksimum lapan tahun secara keseluruhan, manakala Presiden Vietnam dua penggal dalam parti pemerintah.

Bagaimanapun, tiada had jelas bagi PM Kemboja kerana bekas PM, Hun Sen berkhidmat hampir 40 tahun, tetapi Presiden Myanmar dihadkan dua penggal.

Brunei pula tiada had kerana sistemnya berbeza. Sultan adalah ketua negara dan kerajaan.

RUU itu sebenarnya sebahagian agenda reformasi.

Bagaimanapun, jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil semalam berkata RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan dibentang semula pada sesi Dewan Rakyat seterusnya Jun ini setelah dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam zaman moden sekarang terutama selepas tumbangnya Barisan Nasional (BN) pada PRU14 2018, selera rakyat sudah berubah. Kerajaan dan Perdana Menteri boleh bertukar pada bila-bila masa seperti berlaku antara 2018-2022, hampir mirip situasi di Jepun.

Buat pertama kali sejak merdeka, BN kalah dalam pilihan raya umum selepas memerintah selama 61 tahun hingga tersungkur pada 2018. Fenomena ini turut berlaku di beberapa negara lain.

Bayangkan, sejak PRU-14 pada 9 Mei 2018 hingga November 2022, negara dipimpin oleh tiga Perdana Menteri bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (22 bulan ketika Pakatan Harapan memerintah), disusuli Tan Sri Muhyiddin Yassin (17 bulan Perikatan Nasional memerintah) dan Datuk Seri Ismail Sabri mengambil alih mulai 20 Ogos 2021 hingga 24 November 2022 iaitu kerajaan diterajui BN/UMNO.

Selepas PRU-15 yang diadakan pada 19 November 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ini selepas beberapa gabungan parti telah bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan kerana tiada satu gabungan pun memperoleh majoriti mudah (112 kerusi).

Selepas ini, jika ada Perdana Menteri mampu berkhidmat sehingga 10 tahun, boleh dikira ‘luar biasa’.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Reformasi institusi yang digagalkan
Next: Fahami fenomena ‘penjuru maut’ ketika pesawat terbang tinggi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.