SEORANG wakil rakyat mengadu kepada penulis mengenai karenah Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasannya. Beliau mempersoalkan apa kriteria pelantikan mereka, apa tugas sebenar dan sama ada mereka tahu tujuan pelantikan itu serta peranan yang perlu digalas.
“Saya perhatikan, sebilangan mereka bagaikan penyambut tetamu VIP atau wakil rakyat bila ada majlis sahaja. Selepas itu, duduk di kampung, kedai kopi tanpa ada usaha untuk merancang keperluan penduduk setempat atau dapatkan maklum balas apa orang kampung mahu.
“Mereka menyerahkan segala-galanya kepada wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk merancang pembangunan setempat. Wakil rakyat perlu idea pemimpin bawahan seperti ketua kaum yang sentiasa bersama rakyat. Bukankah elok jika KMKK ini bermesyuarat secara berkala mencari idea projek pembangunan kampung?
“Kemudian serahkan cadangan itu kepada wakil rakyat atau Pegawai Daerah untuk pertimbangan. Mungkin idea mereka lebih praktikal kerana mereka adalah pemimpin bawahan yang tahu masalah penduduk setempat. Kadangkala mereka bermesyuarat hanya untuk program kedatangan orang kenamaan dan menganjurkan program keramaian,” kata wakil rakyat itu.
Habis, kenapa lantik mereka yang ‘lemah’ untuk memegang jawatan penting di kampung? Mereka diberi elaun bulanan dan elaun bermesyuarat.
Ketua Masyarakat merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Temenggong, Pemanca, Penghulu, yang telah dilantik oleh Jawatankuasa Panel Pemilihan KMKK Bahagian. Ketua Kaum pula merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Tuai Rumah, Kapitan, Ketua Kampung yang telah dilantik oleh Jawatankuasa Panel Pemilihan KMKK Bahagian.
Mungkin KMKK di banyak kawasan lagi berfungsi dengan berkesan menjalankan tugas yang diamanahkan, tetapi ada yang dikatakan ‘gagal’ menyempurnakan tugas seperti dakwaan wakil rakyat di atas ini. Bukan itu sahaja katanya, penampilan mereka ini juga penting untuk dijadikan contoh kepada anak buah di kampung, termasuk cara berpakaian.
“Mereka ini perlu diberi latihan kemahiran. Peranan mereka bukan setakat menjadi penyambut kehadiran VIP sahaja,” kata Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran UKM, Prof Dr Novel anak Lyndon kepada penulis.
Elaun
Peruntukan keseluruhan bagi 5,976 JKKK Sarawak dari Kerajaan Persekutuan adalah RM57,369,600 setahun. Ini adalah bagi elaun pengerusinya sebanyak RM500 sebulan dan RM300 sebulan pula untuk setiausaha JKKK. Malah untuk Pengerusi JKKK, ada tambahan RM400 sebulan oleh kerajaan Sarawak (berdasarkan maklumat 2022), tetapi tiada tambahan untuk setiausaha.
Selain itu, elaun mesyuarat JKKK adalah sebanyak RM50 setiap kali bermesyuarat iaitu sebanyak enam kali setahun, juga dari Kerajaan Persekutuan. Di Sarawak, setiap Ketua Kaum adalah juga secara automatik menjadi Pengerusi JKKK di kawasan kampungnya.
Bagaimana pula kaedah pelantikan mereka?
Sumber pentadbiran Pejabat Daerah di negeri ini memberitahu penulis apabila ada kekosongan jawatan Ketua Kaum bagi sesebuah kampung, cadangan nama yang layak untuk dilantik menjadi Ketua Kaum bagi sesebuah kampung adalah daripada komuniti kampung itu sendiri dan diserahkan kepada Pejabat Daerah.
Pihak Pejabat Daerah akan memilih calon yang layak melalui proses temuduga dan kadangkala pihak Pejabat Daerah memilih melalui proses undian daripada kalangan penduduk kampung. Pemilihan akan diadakan pada masa dan tarikh yang ditetapkan oleh Pejabat Daerah dan dipantau oleh seorang penghulu bagi kawasan berkenaan.
Kemudian, nama-nama calon yang layak akan dikemukakan ke Pejabat Residen Bahagian untuk memilih calon yang layak menjadi Ketua Kaum atau Ketua Masyarakat. Satu Jawatankuasa Panel Pemilihan akan bermesyuarat bagi memilih calon yang akan dilantik. Ahli panel pemilihan termasuk wakil rakyat terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ini bermakna, lantikan mereka ini bukan secara langsung daripada ahli politik atau ADUN, sebaliknya di Pejabat Daerah dan Pejabat Residen melalui proses undian daripada kalangan penduduk kampung. Tidak berapa lama dahulu, timbul kekecohan di beberapa kawasan mengenai pelantikan penghulu, ketua kaum dan JKKK apabila penduduk kampung memprotes hingga plakad diletakkan di lokasi strategik dengan desakan supaya pelantikan mereka itu dibuat oleh penduduk kampung itu sendiri. Ia menjadi viral. Selain itu, ada juga kes sembilan ketua masyarakat meletak jawatan 24 jam kerana ‘permainan politik’ pihak tertentu.
Untuk Ketua Kaum, bagi pelantikan baharu, tempoh lantikan pertama adalah selamat empat tahun, dan boleh dilanjutkan sehingga satu atau dua tahun.
Mesti ada ilmu
Menurut Dr Novel lagi, peranan ketua kampung sepatutnya seperti ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat atau ibarat ketua pengarah atau ketua pentadbir sebuah kampung.
Katanya, peranan KMKK ini boleh dibahagikan kepada perkara berikut:
- Merancang projek pembangunan kampung sama ada pembangunan fizikal, pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial;
- Adat resam dan budaya serta identiti sosial
- Institusi perkahwinan
- Perundangan dari segi hukum adat
- Kematian-urusan pembahagian harta mengikut hukum adat
- Perayaan tradisi atau kebudayaan atau program program VIP di kawasan
- Penghubung antara penduduk dan institusi atau agensi kerajaan dalam aspek bantuan kerajaan, dan
- Kesejahteraan dan keamanan kampung.
“Itu sebabnya ketua kampung atau ketua masyarakat perlu diberi kursus seperti penampilan, protokol, surat menyurat, perancangan program, sistem fail, menaip dan penggunaan teknologi. Mereka juga sebagai ejen pembangunan yang menggerakkan perubahan sosioekonomi kampung.
“Kalau dahulu, ciri-ciri ketua kampung atau ketua masyarakat mesti ada ilmu di dada, tahu tentang ilmu spiritual, berpengetahuan tentang adat, mahir di hutan, pandai memburu, anggota fizikal yang kuat dan arif tentang ekosistem kampung termasuk tanah, sempadan dan tahu atau arif tentang setiap ahli anggota kampung,” katanya.
Beliau berkata pemilihan ketua kampung harus datang daripada orang kampung, bukannya lantikan politik atau kerana dia ada jawatan atau aktif dalam politik, maka dia dilantik sbgai ketua kampung.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini pernah mengingatkan ketua masyarakat supaya memainkan peranan mereka dalam menyebarkan dasar kerajaan kepada rakyat. Katanya, ini sentiasa menjadi apa yang sepatutnya mereka lakukan melalui sistem pentadbiran apabila interaksi antara mereka dan kerajaan wujud sejak era Rajah Brooke.
“Sistem ini telah kekal sehingga sekarang. Tiada negeri lain di negara ini mempunyai jawatan bagi ketua masyarakat seperti temenggong, pemanca, penghulu dan tuai rumah. Ketua masyarakat ini dihormati oleh penduduk dan mereka menjadi petugas barisan hadapan dalam menasihati rakyat mengenai dasar kerajaan,” katanya.
Kita berharap Panel Pemilihan KMKK Bahagian perlu ada petunjuk prestasi utama (KPI) untuk setiap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum. Jika gagal menjalankan tugas yang sepatutnya, maka boleh diganti dengan orang lain yang lebih berwibawa.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.