AHAD lalu apabila laman ‘facebook’ Utusan Sarawak memaparkan laporan mengenai cadangan pembinaan hidro elektrik secara melata di sungai seperti di Baram dan Kapit, yang dikatakan berupaya mengurangkan ancaman buaya, ia mendapat reaksi yang pelbagai daripada nitizen.
Laporan itu memetik Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai berkata bahawa membina empangan sedemikian boleh menjadi jawapan untuk menyelesaikan serangan buaya di sungai-sungai di negeri ini.
Berikutan banyak penempatan di luar bandar di Sarawak telah dapat dihubungi melalui jalan raya, katanya, maka orang ramai kini memandu kenderaan dan tidak lagi menggunakan bot berenjin sangkut untuk sampai ke destinasi, sekali gus menjadikan sungai pembiakan buaya dengan jumlahnya kian bertambah.
Namun, keadaan ini mencetuskan konflik antara buaya dengan manusia yang semakin meningkat. Menurut Abang Johari, dengan membina empangan melata ini akan menjadikan sungai kurang sesuai untuk buaya membiak.
Penulis tertarik dengan satu komen nitizen yang berbunyi: “Cadangan da (dah) OK… Tapi ku sik faham kenak buaya masih perlu dilindungi… Apa faedahnya? Kan lagi bagus manusia dilindungi, daripada melindungi buaya.”
Hakikatnya begitulah. Bayangkan sungai yang menjadi lokasi kanak-kanak terjun dan berenang dahulu kala, kini sudah menjadi tempat buaya ‘bersemayam’. Sungai yang dahulunya tempat mencari rezeki dengan menjala udang dan memancing ikan sudah ‘menakutkan’ orang kampung kerana kelibat Sang Bedal kerap dilihat ke hulu dan ke hilir di tebing sungai.
Baru-baru ini, penduduk di Daerah Matu dikejutkan dengan penemuan buaya gergasi berukuran lebih empat meter panjang, berjaya ditangkap oleh penduduk kampung. Ini kali pertama buaya sebesar itu dilihat di Sungai Matu – sungai yang selama ini tempat orang kampung mandi-manda tetapi sejak wujud rangkaian jalan raya lebih 10 tahun lalu, sungai jadi sepi, tiada lagi kelibat perahu enjin sangkut apatah lagi bot laju.
Kes terbaharu dua bulan lalu seorang nelayan yang sedang menjala udang dibaham buaya di Batang Oya, Mukah iaitu kes kelapan dilaporkan. Ada tiga ekor buaya dikatakan ancaman besar bagi penduduk tempatan terutama yang berada di tebing sungai Batang Oya, menyebabkan orang kampung rasa takut untuk menjala udang.
Di Betong, seorang warga emas disambar buaya dalam kejadian di tebing Sungai Ulu Skrang, manakala di Limbang, seorang warga emas juga menjadi mangsa buaya di kawasan anak sungai Luagan Pandam, Ogos lalu.
Kerap kali manusia dibaham
Tragedi bersiri serangan reptilia juga pernah meragut dua nyawa dalam tempoh dua hari di Kampung Kangka, Lundu dan Kampung Trombol, Kuching sebelum ini, juga perlu diambil serius oleh pihak berkuasa.
Pada 2016 pernah diadakan operasi menangkap buaya dewasa bersaiz gergasi yang menimbulkan ancaman kepada penduduk setempat di Sungai Batang Samarahan.
Pada Jun tahun lalu, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama kumpulan Pemburu Buaya Samarahan, berjaya mengalihkan sebanyak 44 biji telur buaya yang ditemukan di Kampung Meranek.
Sebelum ini hanya di Batang Lupar terkenal dengan kehadiran buaya termasuk Bujang Senang, tetapi kini kehadiran reptila itu merata di kawasan sungai di seluruh negeri. Apakah ini harga sebuah kemajuan dengan wujud Lebuh Raya Pan Borneo dan Jalan Pesisir, hingga tiada atau kurang bot ekspres, bot laju menggunakan sungai, sekali gus menjadi tempat membiak dan lokasi ‘aman’ buaya?
Ada laporan sebelum ini menyebut populasi buaya dianggarkan melebihi 50,000 ekor di sepanjang 45 batang sungai di Sarawak.
Sebelum ini, ada juga laporan menyebut berdasarkan survei yang dilakukan terdapat lapan hingga 12 ekor buaya dalam setiap kilometer di beberapa sungai. Ini membawa maksud anggaran populasi buaya di negeri ini ialah sekitar 180,000 ekor.
Ini bermakna jumlahnya terlampau banyak. Perlukah melindungi sebanyak itu…. takut pupus, tiada lagi untuk ‘tontonan’ generasi akan datang?
Mengapa tidak dihadkan jumlahnya, contoh sekitar 1,000 ekor tetapi dilindungi sepenuhnya di kawasan khas hidupan liar? Buru semua yang ada di sungai-sungai, jual untuk tujuan komersial – biar Sarawak terkenal dengan industri hiliran berasaskan produk kulit buaya daripada kasut, tali pinggang, dompet, beg tangan dan sebagainya.
Pengusaha industri ini, bolehlah beli daripada mana-mana orang kampung yang berjaya membunuh atau menangkap buaya. Biarlah buaya itu pula beri hasil lumayan kepada penduduk di pesisiran sungai. Atau sesiapa yang ingin memburu buaya, dapatkan lesen dari Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC). Dengan cara ini mungkin mampu mengurangkan jumlah populasi buaya.
Demi mengurangkan risiko serangan buaya, seorang penduduk Kampung Endap, Samarahan mengambil inisiatif sendiri untuk menangkap reptilia itu seberat 70 kilogram apabila ia termakan umpan ayam yang diikat pada mata kail khas. Ini berlaku pada Mac 2017.
Setakat ini Sarawak hanya ada empat penempatan khusus untuk buaya iaitu Jong Crocodile Farm Kuching, Miri Crocodile Farm, Pusat Hidupan Liar Sibuti dan Pusat Hidupan Liar Matang.
Adakah buaya haiwan dilindungi hingga mereka yang membunuhnya boleh didakwa?
Hakikatnya, buaya bukan lagi haiwan dilindungi sepenuhnya apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) di Johannesburg, Afrika Selatan, pada Oktober 2016 membenarkan buaya di Sarawak diburu untuk tujuan komersial.
Bukan lagi haiwan dilindungi
Laporan sebelum ini menyebut keputusan CITES itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu Datuk Seri Azizan Ahmad yang menghadiri konvensyen berkenaan di Afrika Selatan, kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu, Datuk Seri (kini Tan Sri) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Laporan media ketika itu memetik Wan Junaidi sebagai berkata, berikutan keputusan itu buaya tidak lagi disenaraikan sebagai haiwan liar yang dilindungi seperti termaktub dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998.
“Keputusan itu hanya membabitkan isu pemburuan buaya di Sarawak kerana kajian mengenai kesan konflik antara buaya dengan manusia hanya dilaksanakan di Sarawak manakala di Semenanjung dan Sabah, belum ada sebarang kajian dibuat mengenainya,” katanya.
Menurut Wan Junaidi lagi, antara yang dibincangkan dengan kerajaan negeri Sarawak ialah pemberian lesen kepada penduduk kampung untuk memburu buaya kerana ia akan membantu meningkatkan pendapatan mereka.
“Kita tidak mahu lesen pemburuan itu diberikan kepada syarikat besar sebaliknya keutamaan harus diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan yang kerap berlaku konflik antara buaya dengan manusia,” katanya tujuh tahun lalu.
Sejak itu tidak dengar lagi perkembangan yang berkaitan dengan lesen buru buaya atau yang sewaktu dengannya. Yang kita selalu dengar, sebarang penemuan atau tangkapan buaya, perlu dilaporkan kepada SFC. Itu sahaja.
Kehadiran buaya bukan sahaja mengancam keselamatan orang kampung, malah menjejaskan sumber pendapatan kerana takut untuk menjala udang dan memancing ke sungai.
Bagi ahli keluarga yang terkorban dibaham buaya, ia menjadi trauma kepada waris. Sungai kini semakin sunyi, tiada lagi kocakan ombak enjin sangkut, tiada lagi kanak-kanak bermain tangkap itik sambil berenang….. kerana dunia dalam sungai sudah dihuni oleh buaya ganas.
Mungkin ada yang mahu buaya terus dipelihara kerana berperanan mengekalkan keseimbangan ekosistem dengan mengawal populasi larva nyamuk, tilapia dan ikan keli dikekalkan dalam keseimbangan.
Begitu pun, jika benar mahu mengelak buaya daripada pupus, tidak perlu ‘kewujudan’ beribu-ribu ekor, apatah lagi jika ia bermaharajalela di sungai. Biarlah melindungi buaya itu di taman hidupan liar.
Bersihkanlah, halaulah buaya dalam sungai-sungai. Kita tidak mahu dengar lagi kisah ngeri manusia disambar buaya. Betullah kata nitizen, kita patut melindungi nyawa manusia, bukan nyawa buaya ganas.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.