TANPA tindakan lompat parti, kebarangkalian kita masih mempunyai Perdana Menteri yang sama sejak 2018, tetapi kerana ‘amalan lompat parti’, politik negara menyaksikan tiga Perdana Menteri berbeza dalam tempoh tiga tahun dan kini masuk tahun keempat.
Dalam politik, apa-apa tindakan akan memberi kepuasan kepada pihak yang memperoleh manfaat hasil tindakan itu, tetapi bagi yang tidak mendapat ‘untung’ akan rasa marah, kecewa terutama apabila hilang jawatan.
Sejak PRU-14 pada 9 Mei 2018 hingga kini, negara dipimpin oleh tiga Perdana Menteri bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (22 bulan ketika Pakatan Harapan memerintah), disusuli Tan Sri Muhyiddin Yassin (17 bulan Perikatan Nasional memerintah) dan Datuk Seri Ismail Sabri mengambil alih mulai 20 Ogos 2021 hingga sekarang iaitu kerajaan diterajui BN/UMNO.
Bagi sesetengah rakyat biasa, tindakan lompat parti ini, amat mengecewakan apatah lagi wakil rakyat yang mereka pilih, tiba-tiba bertukar parti yang bukan ‘pilihan’ mereka.
Mungkin ada dalam kalangan rakyat memilih wakil rakyat berdasarkan personalitinya, bukan parti tetapi sejarah politik negara menyaksikan rakyat lebih cenderung kepada politik kepartian iaitu memangkah seseorang calon berdasarkan parti diwakili.
Sebab itulah kita tengok, walau popular mana sekalipun seseorang calon, akhirnya calon yang mewakili parti menjadi pilihan. Yang membuat pilihan itu pula terbahagi kepada dua kategori – memilih parti yang memerintah dan memilih parti pembangkang. Dalam dua kategori ini pula, ada dua lagi sub kategori iaitu selera penduduk di bandar dan luar bandar.
Di Sarawak contohnya, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, agak sukar melihat kemenangan calon pembangkang atau Bebas. Memang ada yang menang dalam sejarah politik negara atau negeri selama ini tetapi jumlahnya boleh dikira dengan jari.
Begitu pun, tsunami politik 2018 mengubah senario dan memecah tradisi itu, sekali gus menyebabkan nasib BN ketika itu sama seperti Parti Institusi Revolusi (PRI) yang memerintah Mexico selama 71 tahun, dan Parti Kuomintang Taiwan selama 65 tahun, akhirnya kecundang dalam pilihan raya. BN buat kali pertama tewas dalam PRU-14 setelah memerintah selama 61 sejak merdeka, tetapi kembali memerintah pada Ogos tahun lalu berikutan kejatuhan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional tanpa melalui pilihan raya kerana lompat parti.
Semua parti yang tewas itu, adalah parti yang memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing, sama seperti parti Golkar di Indonesia, Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun dan Parti Kongres di India.
Namun dalam pilihan raya umum di Indonesia dan India kemudiannya, Golkar dan Kongres dipilih semula untuk menerajui negara mereka selepas bertahun-tahun dipinggirkan rakyat.
Politik di Malaysia sejak tsunami 2018, berbeza berbanding apa yang berlaku selepas tsunami politik di Mexico, Taiwan, India, Jepun dan Indonesia.
Yang berlaku di Malaysia ialah kekerapan melompat parti dalam sejarah politik negara, selepas PRU-14 itu hingga tiga kerajaan berbeza memerintah, jatuh satu demi satu.
Memang sejak proses pilihan raya bermula di negara ini, sudah berlaku tindak-tanduk lompat parti dalam kalangan wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri tetapi tidak seteruk pada 2019, 2020 dan 2021.
Bayangkan 39 Ahli Parlimen yang boleh diklasifikasikan sebagai melompat parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Berikutan itu, ramai juga yang lega apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat semalam.
Ia selepas beberapa bulan perbincangan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang ditugaskan merangka RUU itu dan selepas hampir setahun Perdana Menteri dan Pakatan Harapan menandatangani memorandum persefahaman (MoU).
Menurut Ismail Sabri ketika pembentangan semalam, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti, baik dalam gabungan sama atau berbeza akan kehilangan kerusi Parlimen disandang.
Itu antara lapan parameter utama dalam penggubalan RUU itu.
Malah, Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politiknya selepas menang pilihan raya untuk menjadi wakil rakyat Bebas juga perlu mengosongkan kerusi disandang.
Jelasnya, RUU itu memperincikan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keahlian mereka dalam sesebuah parti politik, dan bukan keanggotaan parti itu dalam mana-mana gabungan.
Bagaimanapun, katanya, RUU itu turut memperuntukkan beberapa pengecualian kepada wakil rakyat yang bertukar parti, antaranya Ahli Dewan Rakyat dipecat daripada partinya tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen disandang.
Langkah itu dilihat untuk kestabilan politik bagi mengelak negara berdepan krisis politik. Namun, ia belum pasti memberi jaminan tiada lagi berlaku lompat parti seperti mana berlaku di sesetengah negara lain.
Beberapa negara yang mengalami masalah wakil rakyat lompat parti yang serius seperti India, New Zealand dan Papua New Guinea akhirnya menggubal Akta Anti Lompat Parti di negara masing-masing bagi tujuan membendung amalan itu.
Bagaimanapun, penggubalan akta itu masih tidak menyelesaikan isu terbabit kerana segelintir ahli politik licik menggunakan lompang dalam undang-undang itu untuk mewajarkan alasan mereka melompat parti.
Papua New Guinea sudah merdeka sejak 1975 tetapi malangnya sejak itu sehingga 2003, belum pernah ada kerajaan yang mampu mentadbir cukup sehingga satu penggal. Perkara ini berlaku disebabkan masalah lompat parti yang kerap terjadi di negara itu.
Maka, pada 2002, Papua New Guinea menguatkuasakan satu undang-undang yang dipanggil ‘Integrity of Political Parties and Candidates Law’ (Undang-Undang Integriti Parti-Parti Politik dan Calon) bagi menghalang berlakunya lompat parti. Namun, ia masih belum berjaya sepenuhnya.
New Zealand pula meminda ‘Electoral Act 1993’ pada 2001 melalui ‘Electoral (Integrity) Amendment Act 2001’ selepas tindakan lompat parti berleluasa hingga ada Ahli Parlimen bertukar parti tiga kali dalam satu penggal.
Ia terkawal selepas undang-undang diadakan hingga dimansuhkan pada 2005 selepas lanjutannya tidak diperakui di Parlimen, tetapi diperkenalkan kembali pada 2018 dan kekal menjadi peraturan selepas cubaan membatalkannya gagal pada 2021.
Begitu pun, undang-undang sedemikian di New Zealand dilihat gagal dalam membendung isu lompat parti. Hal ini kerana hanya beberapa bulan selepas undang-undang ini berkuat kuasa, sudah ada Ahli Parlimen melompat parti.
Kegagalan ini membawa kepada pengertian bahawa walau sehebat mana sesuatu undang-undang, ia tidak akan mampu menyelesaikan masalah andai masih ada yang asyik memikirkan kepentingan peribadi masing-masing.
Contohnya, beberapa negara termasuk Malaysia mengenakan hukuman mati mandatori untuk kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, tetapi masih ada yang menempah maut, gara-gara mahu cepat kaya, memperoleh wang haram hingga sanggup mengambil risiko.
Namun, melihat kepada lapan parameter utama dalam penggubalan RUU itu yang dibentangkan semalam, penulis rasa ia agak seimbang dan ketat sekurang-kurangnya bagi menyekat kegiatan lompat parti.
Mungkin sistem dua parti boleh menyelesai isu lompat parti secara total?
Di Malaysia, sejak PRU-14, nampak ada perubahan ke arah dua sistem parti seperti mana di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Namun, seperti kata orang putih ‘as time goes by’ (dengan masa berlalu), nampaknya kurang menjadi.
Ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sekian lama memerintah ditumbangkan oleh gabungan Parti Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018. Namun, ‘as time goes by’ PH kelihatan goyah dengan perpecahan serta berdepan krisis kepercayaan rakyat gara-gara janji melangit ‘manifesto bukan kitab suci’ yang mereka sendiri perkenalkan.
BN pula berpecah dari dalam terutama membabitkan parti utamanya, UMNO tetapi mereka begitu yakin untuk menang besar pada PRU-15 nanti.
Di Amerika Syarikat (AS), cuma ada dua parti yang dominan sejak 1850an iaitu Demokrat dan Republikan. Presiden AS sekarang, Joe Biden mewakili parti Demokrat, setelah menewas Donald Trump dari parti Republikan dalam pilihan raya November lalu.
Rakyat Amerika memilih terutama antara Demokrat dan Republikan – parti mana yang mempunyai dasar terbaik seperti dasar cukai, penjagaan kesihatan, keselamatan sosial, kawalan senjata api, imigresen, alam sekitar dan isu sejagat.
Di United Kingdom, dua parti dominan iaitu Parti Buruh dan Parti Konservatif sejak 1920an lagi. Kini parti Konservatif yang memerintah.
Apapun, diharapkan wakil rakyat kita lebih berintegriti, moral tinggi dan bebas daripada sebarang kontroversi. Selain mengelak tukar parti semata-mata mahu kejar jawatan atau ‘lain-lain insentif’, mereka juga perlu bukan sahaja dilihat bersih malah ‘berbau bersih’.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak