ISU pemerintahan sendiri dan kemerdekaan Sarawak pada dewasa ini sering menjadi polemik berterusan dalam kalangan warganet, orang awam dan para sarjana. Polemik ini berterusan apabila ada yang mengeluar kenyataan tentang tarikh 31 Ogos 1963 itu sebagai pemerintahan sendiri yang berdasarkan Sarawak Gazette bertarikh 31 Ogos 1963.
Memang tarikh 31 Ogos 1963 mengikut Perjanjian Malaysia adalah tarikh untuk pembentukan Malaysia, dan seterusnya memberi pemerintahan sendiri kepada Sarawak dan Sabah. Namun demikian hal ini perlu dilihat dalam penelitian terhadap fail-fail kerajaan koloni British, Perjanjian Malaysia dan kronologi sejarah pembentukan Malaysia hingga 16 September 1963.
Menurut perjanjian asal pembentukan Malaysia, memang dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat dalam pembentukan Malaysia bahawa 31 Ogos 1963 sebagai tarikh Malaysia akan dibentuk. Namun demikian sepanjang proses pembentukan itu terdapat beberapa masalah perlu diselesaikan yang mengubah tarikh tersebut.
PERSETUJUAN
Sebagaimana kita tahu bahawa Malaysia ditentang oleh Indonesia dan Filipina. Presiden Indonesia, Sukarno melihat rancangan tersebut sebagai tidak mendapat sokongan rakyat di Sarawak dan Sabah apabila meletusnya pemberontakan Brunei pada penghujung 1962. Presiden Filipina, Diosdado Macapagal pula membantah kerana mahukan Sabah dikembalikan kepada negaranya berdasarkan tuntutan Kesultanan Sulu.
Dalam hal ini Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melakukan usaha sebaik mungkin bagi meredakan penentangan kedua-dua negara ini. Pada 7 hingga 11 Jun 1963, wakil-wakil tiga negara ini iaitu Emmanuel Pelaez (Filipina), Dr Subrandrio (Indonesia) dan Tun Abdul Razak Hussein (Tanah Melayu) bertemu di Manila. Hasil pertemuan dan perundingan ini, maka lahirlah Manila Accord (Persetujuan Manila) yang mengakui pembentukan Malaysia dengan syarat diadakan pungutan suara yang akan dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Manila Accord ini pula disahkan oleh ketiga-tiga pemimpin utama mereka yang bertemu dan berunding di Manila dari 30 Julai hingga 5 Ogos 1963. Tunku Abdul Rahman perasan bahawa usaha ini melambatkan pembentukan Malaysia. Di Parlimen Tanah Melayu, pihak pembangkang mengkritik Tunku sebagai tunduk kepada Indonesia. Menjawab hal ini, Tunku menyatakan ia bukan soal takut pada Indonesia tetapi apa yang lebih penting adalah mengelak perang atau masalah.
REAKSI
Dalam hal ini Kerajaan British pula tidak setuju diadakan pungutan suara kerana kedua-dua negeri Sarawak dan Sabah telah mengadakan pilihan raya. Pihak British mahukan agar Malaysia dibentuk pada 31 Ogos 1963 kerana usaha melambatkannya akan memusnahkan harapan penyatuan tersebut. Di Sarawak pemimpin pro-Malaysia menekankan agar Malaysia dibentuk pada 31 Ogos 1963. Dalam hal ini pemimpin Sarawak melihat 31 Ogos 1963 adalah hari kemerdekaan Sarawak. Hal ini dinyatakan oleh Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan menerusi radio Sarawak.
Beliau menyatakan bahawa ‘kita tidak mahu tarikh Malaysia dilewatkan. Untuk kita tarikh tersebut amat penting, pada tarikh tersebut kita akan meraikan Hari Malaysia atau Hari Kemerdekaan.’
Kenyataan Ningkan ini mendapat sokongan dari parti gabungan yang pro-Malaysia yang dipimpin oleh beliau iaitu Perikatan Sarawak. Dalam kenyataan mereka menyatakan bahawa ‘cawangan kami di semua lima bahagian telah memutuskan untuk mengadakan perhimpunan awam untuk menunjukkan kepada pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang hasrat kita melihat Malaysia dibentuk pada 31 Ogos 1963.’
Pemimpin Parti Negara Sarawak (PANAS), Datu Bandar Abang Mustapha juga menunjukkan hasrat yang sama dengan Perikatan Sarawak. Beliau menyatakan bahawa ‘kita masih mahu Malaysia ditubuhkan pada Ogos 31, seperti diisytiharkan”.
KESAL
Pada masa sama Stephen Kalong Ningkan juga menegaskan agar pungutan suara tidak diperlukan. Beliau menyatakan kepada Setiausaha Agung PBB, U Thant bahawa, ‘kita dengan hormat menyatakan bahawa referendum atau pungutan suara tidak diperlukan kerana keputusan pilihan raya dengan jelas menunjukkan majoriti rakyat Sarawak menyokong Malaysia. Perikatan Sarawak telahpun membentuk kerajaan.’
Pada masa sama pemimpin Singapura dan Sabah sealiran dengan pemimpin pro-Malaysia di Sarawak. Mereka mahukan agar Malaysia dibentuk pada 31 Ogos 1963. Stephen Kalong Ningkan juga kesal dengan sikap Indonesia dan Filipina yang melambat-lambatkan usaha pembentukan Malaysia. Ini kerana pasukan PBB terpaksa menundakan usaha mereka meninjau di Sarawak dan Sabah kerana wakil dari kedua-dua negara itu tidak hadir.
Dalam hal ini Abdul Rahman Yaákub menyuara rasa kesal dan kecewanya dengan meminta misi PBB meneruskan sahaja siasatan mereka tanpa kehadiran kedua-dua wakil negara tersebut atau balik sahaja ke ibu pejabat PBB di New York tanpa melakukan siasatan. Beliau juga mahu agar tarikh 31 Ogos 1963 diteruskan sebagai hari pembentukan Malaysia. Beliau menambah bahawa Indonesia dan Filipina tidak menghormati badan dunia itu. Usaha melambat-lambatkan pembentukan Malaysia menyebabkan Stephen Kalong Ningkan bertindak untuk Sarawak meraikan tarikh tersebut sebagai hari kemerdekaan. Beliau juga menambah bahawa hari tersebut diisytiharkan sebagai hari cuti bagi Sarawak.
PERTEMUAN
Kemudiannya pada 23 Ogos 1963 Stephen Kalong Ningkan bersama-sama dengan pemimpin Singapura dan Sabah berjumpa dengan Tunku Abdul Rahman untuk membincangkan soal tarikh pembentukan Malaysia. Perbincangan tersebut membawa kepada satu ketetapan baharu bahawa Malaysia akan dibentuk pada tarikh 16 September 1963. Untuk melaksanakan hal ini, maka Perjanjian Malaysia diubah sedikit dengan memasukkan tarikh baharu tersebut. Stephen Kalong Ningkan mewakili Sarawak menandatangani perubahan tarikh tersebut pada 28 Ogos 1963. Dekadnya tarikh menandatangani perjanjian ini dengan penerbitan Sarawak Gazette membawa kepada perbezaan berlaku dalam soal pembentukan Malaysia.
Berdasarkan persetujuan tersebut, maka pembentukan Malaysia terpaksa ditunda pada tarikh lain. Kronologi perbincangan tarikh pembentukan Malaysia ini menunjukkan kita perlu memahami banyak perkara tentang penelitian fail-fail kerajaan koloni British dan negara, dan rentetan peristiwa yang berlaku. Hal ini menunjukkan bahawa penelitian lebih mendalam dapat menghasilkan dapatan yang sempurna dalam membuat kesimpulan dalam peristiwa sejarah.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).