MARUDI : Gabungan Parti Sarawak (GPS) menambah satu lagi kerusi Parlimen, menjadikan jumlahnya 23, sekali gus membantu memperkuatkan kedududukan di Dewan Rakyat.
Kemenangan calon GPS, Dato Anyi Ngau itu hadir ketika gabungan parti politik di Semenanjung mencari angka bagi membantu mencukupkan jumlah untuk membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berakhir Sabtu lalu.
Menerusi keputusan terkini laman sesawang Suruhan Jaya Pilihanraya (SPR), Anyi Ngau yang mewakili GPS melalui Parti Demokratik Progresif (PDP) memenangi kerusi Parlimen Baram dengan majoriti 7,339 undi.
Anyi memperoleh 18,399 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Roland Engan yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baram mendapat 11,060 undi. Calon Bebas Wilfred Entika, 324 undi dan hilang wang pertaruhan.
Menurut kemaskimi di sesawang itu, Pegawai Pengurus bagi PRU-15 Bahagian Parlimen P.220 Baram, Belayong Pok mengumumkan keputusan itu lewat petang ini.
Pengundian untuk 12 pusat mengundi bagi Parlimen Baram itu sepatutnya dijalankan serentak pada hari pengundian PRU-15 Sabtu lalu, tetapi ditangguhkan ke hari ini berikutan keadaan cuaca buruk yang menyukarkan helikopter mendarat membawa petugas SPR.
Pada PRU-14 lalu, Anyi Ngau memperoleh 12,171 undi sementara pesaing terdekatnya iaitu calon sama, Roland Engan mendapat 10,181 undi.
Oleh JIKU JUGUONG