
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, mengesahkan akan mempertahankan kedudukannya sebagai Majlis Tertinggi (MT) Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada Persidangan Tiga Tahun Sekali (TDC) parti itu bulan depan.
Anyi berkata, sebagai wakil rakyat dan anggota MT yang masih baharu, fokus beliau kini adalah untuk terus menjaga pembangunan kawasan serta memperkukuh hubungan dalam kalangan ahli PRS.
“Dalam masa sama, saya juga akan membantu kepimpinan parti demi kelangsungan PRS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, beliau berterima kasih kepada beberapa bahagian PRS yang menghubunginya untuk mencalonkan beliau bagi jawatan lebih kanan pada TDC akan datang.
“Buat masa ini, apa yang lebih penting ialah kita memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli parti demi kekuatan PRS dalam landskap politik Sarawak menjelang pilihan raya akan datang,” jelasnya.
Beliau turut yakin dengan kematangan serta semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli parti, TDC kali ini akan berlangsung dengan lancar.
Oleh Tarani Lanting