
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Iran Masoud Pezeshkian kerana memberikan laluan untuk kapal tangki minyak Malaysia melintasi Selat Hormuz.
“Sekarang kita dalam proses untuk melepaskan kapal minyak Malaysia dan pekerja yang terlibat supaya dapat meneruskan perjalanan mereka pulang,” kata beliau dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan, hari ini.
Anwar berkata beliau terdahulu telah menghubungi Pezeshkian dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi bagi membincangkan ketegangan di Asia Barat.
Beliau turut bercakap dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif buat kali ketiga untuk mendapat keterangan tentang langkah-langkah bagi mencari perdamaian konflik, yang bermula susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
“Tetapi tidak mudah kerana Iran berpandangan mereka tertipu berulang kali dan sukar menerima langkah-langkah ke arah perdamaian tanpa suatu yang boleh mengikat perjanjian dan jaminan keselamatan bagi negara mereka.
“Tempiasnya juga berlarutan ke Lubnan, sudah lebih sejuta kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Dan jangan lupa, pokok pangkal masalah Palestin dan Gaza belum terurus, malah bencana itu menyebabkan mereka lebih sengsara,” kata beliau.
Anwar berkata sekatan di Selat Hormuz serta gangguan bekalan minyak dan gas global berpotensi memberikan impak kepada Malaysia, namun negara berada dalam kedudukan lebih baik hasil keupayaan syarikat tenaga nasional Petronas dalam mengurus bekalan dan kestabilan tenaga.
Beliau berkata Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha keamanan serantau sambil memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat serta ekonomi negara terus terpelihara.
“Kerajaan telah menyatakan pendirian tegas menentang kezaliman, penindasan dan pencerobohan yang dilakukan oleh Israel dan Amerika Syarikat. Namun, keadaan menjadi lebih rumit apabila tindak balas Iran bukan sahaja memberikan kesan kepada Israel, malah tempiasnya turut dirasai negara-negara Teluk,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata Malaysia bersyukur kekal dalam keadaan aman dan stabil, namun tidak terlepas daripada kesan konflik memandangkan hubungan rapat negara dengan Iran dan negara-negara Teluk dalam aspek perdagangan, pelaburan, pendidikan serta kebudayaan.- Bernama