KUCHING: Kementerian Kewangan telah meluluskan dana berjumlah RM1 bilion untuk kerja-kerja naik taraf prasarana dan keselamatan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu dibuat susulan perbincangan beliau dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini berhubung perpindahan ibu kota negara itu ke Nusantara, Kalimantan, yang berkongsi sempadan dengan kedua-dua wilayah Malaysia itu.
“Kita telah putuskan untuk memberi peruntukan tambahan bagi penyediaan CIQS sempadan dari segi keselamatan dan meningkatkan keupayaan CIQS dan prasarana asas seperti jalan raya kerana kita tidak mahu dilihat seperti terlalu daif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Pelaksanaan Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya di sini hari ini.
Katanya, perkara tersebut turut dibincangkan dalam mesyuarat itu yang turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof hadir sama.
Oleh NUR AIN OTSMAN