KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan doa agar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang akan menjalani rawatan dikurniakan keafiatan berpanjangan.
“Mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia baginda Tuanku dikurniakan keafiatan yang berpanjangan serta berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Istana Negara memaklumkan Sultan Ibrahim akan menjalani rawatan susulan bagi kesakitan musculoskeletal (melibatkan otot dan tulang) pada bahagian belakang serta pinggul.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat sebelum menjalani rawatan susulan berkenaan bagi memberi ruang kepada proses pemulihan. – Bernama





