Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Anwar seru pertelingkahan isu bahasa, tumpu bina masa depan anak Malaysia
  • NASIONAL

Anwar seru pertelingkahan isu bahasa, tumpu bina masa depan anak Malaysia

Utusan Sarawak 6 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat Tionghua di Dewan Utama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting hari ini. Foto BERNAMA

BENTONG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia menghentikan pertelingkahan berpanjangan antara kaum berkaitan isu bahasa dan kembali menumpukan usaha membina masa depan anak-anak negara yang lebih berdaya saing serta bersatu padu.

Beliau berkata pendekatan pendidikan pelbagai bahasa yang dilaksanakan kerajaan tidak bertujuan menafikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, sebaliknya bagi memperkukuh perpaduan nasional serta menyediakan peluang saksama kepada semua murid untuk menguasai pelbagai bahasa.

Menurut Anwar, keupayaan menguasai lebih daripada satu bahasa merupakan aset penting dalam menghadapi cabaran global dan meningkatkan daya saing generasi muda, tanpa menjejaskan asas identiti nasional.

“Kita tidak mahu lagi pertelingkahan antara kaum yang tidak berkesudahan dalam soal bahasa. Keutamaan kita adalah meningkatkan mutu kehidupan dan menjamin masa depan anak-anak kita.

“Mereka perlu bersedia untuk bersaing bagi mendapatkan pekerjaan bukan sahaja dalam negara, malah di rantau Asia dan di peringkat global. Sebab itu penguasaan bahasa, sains, matematik, digital dan kecerdasan buatan (AI) perlu diterapkan sejak peringkat awal persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Tionghua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Anwar berkata usaha meningkatkan kualiti pendidikan perlu dilihat sebagai agenda nasional yang melangkaui perbezaan kaum, dengan semua pihak memberi tumpuan kepada penambahbaikan sekolah, latihan guru serta penyediaan kemudahan yang mencukupi.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perbezaan pandangan berkaitan pendidikan boleh dibincangkan secara matang, namun fokus utama tidak seharusnya terpesong daripada matlamat menjadikan pendidikan sebagai alat penyatuan dan pemacu kemajuan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM13.5 juta bagi pelaksanaan projek penambahbaikan serta penyediaan kemudahan tambahan di SJKC Perting, dengan RM300,000 diluluskan segera bagi membolehkan kerja awal dimulakan.

Beliau berkata peruntukan itu disalurkan sebagai sebahagian persediaan bagi kemasukan murid prasekolah berumur lima tahun dan murid Tahun Satu berumur enam tahun (secara sukarela) bermula tahun depan.

“Saya berharap semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat setempat terus memberikan sokongan agar sekolah ini dapat menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain,” katanya.

Untuk rekod, peruntukan tersebut melibatkan pembinaan sebuah bangunan tambahan enam bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta satu bilik darjah Prasekolah Integrasi di SJKC Perting. – Bernama

Continue Reading

Previous: Kenaikan gaji SSPA Fasa Kedua bermula hari ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.