MARANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meminta syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco untuk melabur di Kemaman, Terengganu.
Beliau berkata, sebelum ini Pengerusi Aramco Yasir O. Al-Rumayyan memaklumkan kepadanya bahawa syarikat itu mahu menjadikan Johor sebagai pusat gerakan mereka di rantau Asia Tenggara.
“Tetapi saya kata tidak apa dan saya bagi tahu suruh pergi ke Kemaman,” katanya semasa berucap pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan MADANI Terengganu di Wakaf Tapai malam tadi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata semasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menunaikan haji baru-baru ini, Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al- Saud dan Perdana Menteri Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud memaklumkan bahawa negara itu bersetuju untuk jadikan Malaysia sebagai pusat pelaburan terbesar Arab Saudi di Asia Tenggara.
“Ini semua bukan sebab Anwar Ibrahim, tetapi kerana kerjasama Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Sabah serta Sarawak. Mereka tahu kerajaan kita sekarang ini stabil,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkongsi perasaan terhutang budinya pada dua tokoh pemimpin politik Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor.
“Saya tidak pernah melupakan jasa Tuan Guru Nik Aziz dan Ustaz Fadzil Noor. Mereka menunjukkan contoh terbaik sebagai orang Islam yang membela nasib rakyat dan kasih pada semua orang dan bukannya seperti pemimpin pembangkang ketika ini yang suka menghina orang lain,” katanya. – Bernama