MIRI: Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berdepan kritikan daripada sesetengah masyarakat di Semenanjung Malaysia kerana usahanya memenuhi permintaan Sarawak dan Sabah untuk mengembalikan hak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa beliau cuma melaksanakan apa yang sudah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu yang menandatangani perjanjian MA63 itu, 60 tahun lalu.
“Perdana sekarang mahu penuhi semua (janji) dalam MA63. Beliau kini dikritik orang sebelah sana (Semenanjung), mengapa beri kepada Sarawak semua ini.
“Dia (Anwar) kata bukan tindakannya, dia mewarisi apa yang termaktub dalam MA63, apa yang dipersetujui dan ia harus dipenuhi, seperti dipersetujui dahulu,” katanya berucap pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di sini, malam ini.
Sebelum itu, Abang Johari baru tiba dari Bandar Seri Begawan kerana mengiringi lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke Brunei.
Antara yang mengkritik secara terbuka ialah peguam Datuk Zaid Ibrahim yang baru-baru ini memuatnaik video di facebooknya mempersoalkan mengapa Kerajaan Perpaduan memberi fokus kepada Sarawak dan Sabah terutama bab ‘perkongsian pendapatan’, sedangkan ia tidak dilaksanakan untuk negeri-negeri di Semenanjung.
Abang Johari berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk membincangkan soal MA63 dan tawaran Anwar untuk memberi peruntukan khas RM300 juta setahun kepada Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Saya kata ya (RM300 juta) tetapi saya mahu juga formula (angka sebenar). Nasib baik Perdana Menteri kata OK. Kita juga akan buat perkiraan bagaimana mendapatkan formula itu nanti (untuk mendapat jumlah peruntukan khas yang munasabah). Saya rasa, tidak lama lagi kita dapat formula itu,” katanya.
Beliau juga memberitahu mengenai wakil Sarawak dalam Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang turut dipersetujui Anwar baru-baru ini dengan melantik Setiausaha Kewangan Negeri.
Katanya, perkara itu termaktub dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menyebut Sarawak mesti diwakili dalam LHDN tetapi tidak pernah diwakili sejak hari pertama laporan IGC itu 60 tahun lalu.
“Dalam laporan IGC itu, ada disebut di perenggan 24. Ayatnya di tengah-tengah dan jika anda tidak membacanya, anda akan terlepas pandang. Ia menyatakan Sarawak, Sabah mesti diwakili dalam lembaga pengarah LHDN,” katanya.
Oleh KD