
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang yang dijadualkan hari ini, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Menurut kenyataan PMO hari ini, pembatalan saat akhir itu dibuat atas nasihat pasukan perubatan setelah Perdana Menteri mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakan beliau terbatas.
“Atas nasihat doktor, Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi,” menurut kenyataan itu.
PMO memaklumkan, Perdana Menteri memohon maaf setulusnya, khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau.
Hari ini, Anwar dijadual merasmikan Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2025 di Temerloh, sebelum ke Program Temu Anwar@UMPSA di Dewan Utama Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang.
Beliau seterusnya dijadual menghadiri sesi ramah mesra bersama Penggerak Industri Kuantan di ADTEC Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kuantan.
Perdana Menteri berlepas pulang ke tanah air semalam selepas menamatkan lawatan kerja ke Korea Selatan, ketika beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Jumaat lepas.
Sebelum itu, Anwar mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dihadiri pemimpin-pemimpin dunia berpengaruh di ibu negara dari 26 hingga 28 Okt.
-BERNAMA