KUCHING: Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak (PSIEA) 2023 merupakan penganugerahan dalam menyemarakkan kecemerlangan organisasi di Sarawak.
Simbolik perasmian majlis tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh di sini, esok.
Dengan tema “Prosperity, Inclusivity, Sustainability: Advancing Sarawak Toward 2030”, merupakan penganjuran bersama Sarawak Business Federation (SBF), Jabatan Premier Sarawak dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Menerusi kenyataan media MPC, Presiden SBF Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg berkata, pemenang akan dinilai menggunakan penilaian Malaysia Business Excellence Framework (MBEF) iaitu kriteria yang sama digunakan bagi Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI).
“Organisasi yang menyertai anugerah ini diberikan skor dan setiap kategori akan dipilih bagi menerima anugerah Emas, Perak dan Gangsa.
“Anugerah ini akan dapat mengenalpasti amalan terbaik organisasi di Sarawak yang telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Organisasi yang cemerlang ini diharap akan menjadi model rujukan dan penyuntik semangat serta persaingan sihat di kalangan industri di Sarawak khasnya,”katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah MPC Zahid Ismail menggesa semua usahawan dan organisasi di Sarawak untuk memulakan langkah kecemerlangan perniagaan untuk mewujudkan lebih banyak organisasi yang cemerlang dan berdaya saing dengan menggunapakai MBEF.
“Selari dengan rangka kerja daya saing yang mengukur kecekapan perniagaan melalui ketangkasan organisasi melalui tujuh kriteria utama iaitu kepimpinan, perancangan, maklumat, pelanggan, sumber manusia, proses dan hasil.
“Saya yakin, anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk menyebar luas konsep Business Excellence (BE) kepada organisasi-organisasi di Sarawak dan seterusnya menjadi sebahagian dari komuniti Business Excellence,” katanya.
Turut dijangka hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Lembaga Pengarah MPC Jefri Ahmad Tambi dan Pengarah MPC Sarawak Dr. Mazlina Shafi’i.