KUALA LUMPUR: Anugerah Tahunan PropertyGuru Asia Malaysia ke-10 mempelawa pemaju hartanah terbaik negara untuk menyertai dan bersaing merebut anugerah kecemerlangan tersohor dalam sektor hartanah tersebut.
Anugerah itu yang dianjurkan oleh PropertyGuru dan iProperty, kini membuka permohonan penyertaan sehingga 30 Jun 2023, menerusi laman webnya asiapropertyawards.com/nominations.
“Memasuki tahun kesepuluhnya, pencarian bagi hartanah terbaik Malaysia itu kini bermula semula pada ketika ekonomi Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan,” kata PropertyGuru Group dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan kepada Laporan Pasaran Hartanahnya bagi suku pertama 2023, syarikat itu berkata permintaan terhadap rumah dijangka berkurangan pada separuh pertama 2023 disebabkan kenaikan kadar faedah.
“(Meskipun begitu), prestasi bagi separuh kedua tahun dijangka lebih meyakinkan berikutan pembukaan semula ekonomi China.
“Kelonggaran langkah-langkah sekatan Covid-19 di China dijangka melonjakkan ekonomi pada separuh kedua tahun ini dengan jangkaan peningkatan kedatangan pelancong dan pengurangan gangguan rantaian bekalan,” katanya.
Syarikat itu berkata majlis anugerah tersebut dijadualkan berlangsung di The Majestic Hotel Kuala Lumpur pada 24 November 2023.
Pemenang utama layak untuk bersaing di peringkat penganugerahan serantau di Majlis Finale Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia Ke-18 di Bangkok, Thailand pada 8 Disember 2023.
Pengurus Besar Anugerah dan Acara PropertyGuru Asia Property Jules Kay berkata anugerah itu akan menjadi penanda aras berkualiti bagi pembeli yang merancang melabur dalam hartanah berkualiti tinggi di Malaysia.
“Bersandarkan kepada dua jenama terkemuka dan dipandu oleh penasihat hartanah paling dipercayai Malaysia, program anugerah kami memanfaatkan gabungan kepakaran dan rangkaian kami untuk meningkatkan lagi penanda aras pembangunan dan reka bentuk hartanah di negara ini,” katanya.
PropertyGuru juga menyarankan orang ramai untuk menyertai undian People’s Choice Awards yang membolehkan pengguna dan residen di Malaysia untuk memilih pemaju pilihan dan paling dipercayai mereka.
“Ini bagi menghargai 10 syarikat yang menyediakan hartanah berkualiti tinggi yang berbaloi dengan duit yang dilabur,” kata kenyataan itu.
Panel juri, yang terdiri daripada 18 pakar dihormati dalam perundingan hartanah, seni bina, reka bentuk dalaman, kewangan, guaman dan bidang berkaitan, akan membincangkan mengenai penyertaan semasa sesi perbahasan secara langsung pada lewat Julai 2023.
Pengerusi panel Datuk Ezumi Harzani Ismail berkata, anugerah itu dijangka dapat meningkatkan lagi tahap reka bentuk dan pembangunan hartanah di negara ini.
PropertyGuru berkata, firma perakaunan HLB, penasihat rasmi anugerah itu akan menyelia proses penilaian bagi memastikan ia berjalan dengan adil, telus dan boleh dipercayai. – Bernama