Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Antropomorfisme Sebagai Sindiran Sosial
  • TEMPATAN
  • WBS

Antropomorfisme Sebagai Sindiran Sosial

Utusan Sarawak 4 days ago

APA yang selalu didambakan dalam karya sastera dihasilkan oleh pengarang generasi baharu ialah usaha menganjakkan tema dan subjek ke suatu tahap yang lebih ke hadapan (advance) daripada sebelumnya.

Jumlah karya dan produktiviti tidak penting. Apa yang mustahak ialah keberkesanan sesebuah karya dengan nilai wacananya jauh melepasi zaman. Jika sikap sebegitu diterapkan dalam pemikiran dan diterjemahkan ke dalam karya, kualiti sastera akan dipertingkatkan ke suatu tahap yang dibanggakan.

Andai menginginkan mutu kesusasteraan yang baik, kualiti kerja penulisan seseorang juga wajar dianjakkan. Itulah beban seni yang perlu direnungi oleh para pengarang dan bukan sekadar meramaikan kehadiran di persada sastera.

‘‘Mengapakah sering sangat sajak kita tidak sebaik rangkap-rangkap pantun atau pepatah? Mengapakah novel kita longgar dan terlalu bersahaja? Jikalau kita menoleh ke belakang, kita tentu akan melihat cukup banyak karya yang kuat – dan tidak pun ditulis oleh pujangga berkelulusan universiti. Kita yang datang di hujung sejarah ini, bukan sahaja harus melebihi mereka, kerana lebih banyak peluang dan pengalaman dan telah pula melalui zaman lebih panjang (serta belajar di universiti). Persekitaran kita yang pesat dengan perkembangan fizikal, ilmu, ekonomi, robotik, menunutut kita sebagai sasterawan membawa idea baru dan besar dalam sastera.’’  – SN Muhammad Haji Salleh, dipetik dari esei Sastera dan Kebudayaan Kebangsaan dalam buku Cermin Diri, Esei-esei Kesusasteraan, Penerbit Fajar Bakti, 1986.

Leo Tolstoy menerusi buku Apakah Seni Itu?, menjelaskan bahawa yang menghasilkan keindahan bukanlah seniman dengan keterampilan (namun) gagasan keindahan dalam dirinya si pengarang itu yang mewujudkan keindahan tersebut.

Maka, betapa penting wawasan asli dalam diri seseorang penulis sebelum menyerapkannya ke dalam karya sastera. Tanpa muatan fikiran itu, tentu sahaja karya yang dihasilkan belumlah lagi dianggap sebagai sebuah karya sastera yang berwibawa.

Setiap karya seni merangsang penikmatnya memasuki suatu hubungan, iaitu dengan kesenimannya, seni sendiri, juga mereka yang menerima kesan artistik, baik pada saat bersamaan, sebelum mahupun sesudah itu.

Keunikan interaksi melalui seni yang membezakannya dengan hubungan melalui kata adalah, melalui kata-kata, manusia meluahkan fikiran antara sesama mereka, sedangkan melalui medium seni, ia menyalurkan perasaan antara satu sama lain.

Naskhah Ratapan Syahdu, tulisan Marilyn Albert Matu membuktikan kenyataan yang diperkatakan oleh beberapa tokoh sastera tentang ikatan antara diri pengarang dengan subjek di sekeliling. Idea utama yang menjadi tulang belakang kepada naskhah itu menjurus kepada analisis pengarang berhubung isu sosial yang telah mendorong penulisan.

Walaupun isu yang diangkat bukanlah hal baharu, tetapi bagi pengarang, dia memperlihatkan betapa kerakusan sifat manusia untuk mengejar kemasyhuran sudah melepasi kawalan sepatutnya. Tiada kesudahan. Perkara itu dirakam dengan sinis dalam naskhah dan menghukum protagonis dengan drastik sekali.

Pada detik itu, sudah semakin tipis garis perbezaan antara manusia dan haiwan. Perangai kehaiwanan memang wujud dalam sikap manusia, secara sedar atau tidak, ia wujud dan menyelinap pada setiap detik.

Tanpa pertimbangan akal dan tatasusila, hilanglah status kemanusiaan. Kemahuan peribadi manusia, sejak dahulu lagi, kepada tuntutan duniawi telah dan bakal menjerumuskan mereka menjadi hamba kepada bujukan nafsu.

Ramai yang memimpikan keseronokan palsu di sebalik kemilau populariti yang dipertontonkan dalam media massa. Manusia mudah mengidolakan personaliti yang terlihat cantik, tampan, kaya dan berjaya dalam bidang diceburi masing-masing. Mereka juga turut inginkan kehidupan sebegitu.

Namun, setiap kejayaan yang dicapai oleh mana-mana individu disanjung, ia bukan dicapai dengan mudah. Bahkan ada yang tersungkur beratus kali. Bahkan tergamak melakukan hal-hal yang bertentangan dengan norma kehidupan agar segera melonjak ke atas kayangan.

Demi mahukan kejayaan ekspres, tanpa berfikir panjang, dua manusia yang ingin mencipta nama dan populariti dalam bidang nyanyian, sanggup menemui monyet dalam hutan untuk mendapatkan antidot ajaib.

Tetapi ada syaratnya. Dan syarat itulah yang memusnahkan kehidupan manusia itu, atas kerelaannya sendiri. Fikiran dan kewarasan sudah dikaburkan oleh nafsu. Apa yang mustahak ialah kemasyhuran, sementara hal-hal lain, terabaikan dalam pertimbangan.

Hasrat untuk menjadi sanjungan dan pujaan manusia lebih besar pengaruhnya. Tanpa peduli musibah yang menunggu kerana kehalobaan. Monyet sudah pun memperingati betapa dahsyat risiko yang bakal menanti. Tetapi manusia, sifatnya mudah pelupa, rapuh dan sering dibelit nafsu, walaupun dianugerahkan akal.

 ‘‘Saya tidak mahu sekadar menjadi bayang-bayang dalam dunia hiburan. Saya mahu dihargai, dikenang, dipuja dan dianakemaskan kerana bakat saya. Tanpa suara, saya bukan siapa-siapa.’’ Demikian luahan perasaan protagonis sewaktu hendak merayu antidot istimewa kepada monyet.

Permintaan sedemikian memang tidak masuk akal. Nyawa menjadi cagaran. Seperti dijangka, penyanyi yang kemaruk mengejar kejayaan segera itu, perlahan-lahan tersungkur oleh kejahilannya sendiri. Keterlanjuran manusia telah memakan dirinya sendiri.

Memang apa yang diimpikan sudah terkabul, memenangi pertandingan uji bakat, namanya kian bersinar dalam industri hiburan, jumlah pendapatan diperoleh sungguh lumayan.

Tetapi, itu hanya manis pada peringkat permulaan, sebelum insiden gelap menyelubungi. Hari tidak sentiasa cerah.

Segalanya sudah terlambat. Pengarang telah membalikkan status manusia watak protagonis menjadi khinzir, sesuai dengan syarat perjanjian untuk antidot sakti. Bukankah hal itu sudah diperingatkan oleh monyet sebelumnya?

Akhirnya berlakulah perubahan bentuk yang mengejutkan ke atas watak protagonis. Suara yang telah memukau para audiens, merdu dan mengasyikkan, kini menyeramkan dirinya sendiri.

Penyanyi yang kehilangan suara emasnya itu, bukan sahaja berubah secara fizikal, bahkan telah menyerupai haiwan khinzir dan terpaksa mengunyah makanan kotor dengan taring panjangnya.

Apakah yang berlaku? Adakah ia mimpi atau khayalan protagonis sahaja? Binatang paling jijik itu yang sering terkeluar dari mulutnya ketika mencarut, dirinya sendiri kini. Adakah ini hukuman kepada kegelojohannya demi mendapatkan antidot daripada monyet? 

Perbandingan dirinya dengan binatang sekotor khinzir bagaikan menamatkan babak kehidupan sebagai makhluk dari spesies manusia. Dia bukan lagi manusia, yang dianggap ciptaan paling hebat di muka bumi. Kerjaya sebagai selebriti tersohor jatuh menjunam ke lembah terhina, dan tidak akan mampu diselamatkan lagi.

Teknik antropomorfisme dalam karya sastera, sepatutnya sudah klise pada ketika ini. Kejayaan novela Animal Farm, karya George Orwel, 1945, secara realitinya, tidak mampu mengubah suasana dunia yang didiami pada 2025.

Fiksyen sekadar merakam gambaran, tetapi kenyataan tidak mudah dibentuk oleh artistik kesenian. Pengarang menyarankan peringatan, teguran, kritikan dan kiasan, tetapi dunia dan manusianya, masih sahaja seperti dahulu.

Akhirnya, apa yang wujud ialah keadaan sebagaimana yang dialami sekarang, sedang karya sastera berlipat di halaman kertas. Namun, beberapa orang pengarang masih memanfaatkan pendekatan sedemikian dengan tujuan asasnya – dijadikan medium pilihan (terlindung) untuk menyampaikan kritikan berbentuk satira tentang tingkah laku masyarakat di keliling mereka.

Dalam kes naskhah Ratapan Syahdu, watak manusia telah dimalukan pada detik akhirnya menjadi haiwan seumpama khinzir. Bukan sahaja status kemanusiaan direndahkan tarafnya, malahan, telah dipermainkan oleh haiwan yang tidak berakal. Ia benar-benar sindiran pedas.

Idea pengarang wajar dipuji dalam memanfaatkan teknik sedemikian sebagai suatu wahana memerikan tingkah laku manusia. Pengarang tidak berdongeng, tetapi sedar pada subjek yang ditulisnya.

Memang, tahap naratologinya masih sederhana dan longgar, namun, apa yang mustahak, pengarang memiliki idea untuk mengingati betapa nilai kemanusiaan pada masa kini sudah mula lebur oleh tuntutan duniawi. Mesejnya jelas dan tidak sukar untuk difahami pengajarannya.

Apa diharapkan ialah pengarang sentiasa kekal dengan sifat mengintimkan diri dengan situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan. Dari situlah idea, ilham dan pemikiran dijana, dan diharapkan juga, kemahiran mengarang akan dipertingkatkan agar tema dan isu yang diangkat lebih menyerlah dan mengesankan.

Dan itu memerlukan masa dan usaha berterusan, kerana kemajuan seseorang pengarang sekali gus mengangkat standard kesusasteraan. Bukannya sekadar menaikkan nama diri sendiri semata-mata.

Pengarang yang baik bukan sahaja sentiasa merenung permasalahan yang melanda kehidupan sebenar pada masyarakat, tetapi juga berkeupayaan menyampaikan gagasan dan pemikirannya tentang isu-isu berkaitan untuk memperkuatkan naskhah.

Ketidakadilan, kesongsangan dan ketaasuban yang terjadi dalam kehidupan masyarakat sentiasa menjelma di sebalik sindiran dan teguran pada karya sastera. Melalui karya seni, seseorang sasterawan mengemukakan pandangan dan ketidakpuasan hati mereka.

Dan ia dilakukan bukan lagi sebagai suatu tanggungjawab sosial, tetapi mengisi wadah karya seni dengan muatan bermakna. Bak kata Ai Weiwei, seni adalah melawan. Jika tidak melawan, itu bukan seni tapi dekorasi.

Naskhah Ratapan Syahdu mencerminkan sebahagian sikap manusia yang telah hilang kewarasannya dan sanggup mempertaruhkan nyawa demi melaksanakan dorongan peribadi di dunia.

Kesudahan yang tragis menimpa protagonis adalah tempias kesudahan hidup manusia kerana dibelenggu oleh kejahilan sendiri.

Dalam ikhtiar membina jati diri pengarang, Mana Sikana melalui buku Sastera Qurani dan Wacana Sastera Melayu, mengingatkan setiap pengarang dianjurkan agar meletakkan teksnya mencapai suatu tahap keunggulan.

Berusaha dengan anugerah bakat, kebolehan, intelektual, dan keterampilan demi menghasilkan karya yang lebih bermakna. Idealisme dan sifat keunggulan sesungguhnya selalu berada dalam pemikiran pengarang sewaktu dalam proses pengkaryaan.

Hal ini kerana, proses kepengarangan bermula dengan idea dan pengalaman. Berkarya tidak cukup dengan ilham atau lintasan yang singgah dalam fikiran sahaja.

Sesuatu bahan atau idea harus diburu dan dilakukan pemilihan serta selektif. Jika ia sudah klise dan stereotaip, lupakan sahaja. Cari dan binalah sesuatu yang luar biasa tetapi berkaitan dengan masyarakat umum.

Jika masih juga ingin menggunakan subjek yang lumrah, lakukanlah deviasi atau pembeza, supaya teksnya juga terlihat berbeza.

Secara keseluruhannya, naskhah Ratapan Syahdu, melaksanakan amanat sosialnya lewat mesej yang disampaikan secara terang-terangan.

Ketara, tiadalah pembaharuan menakjubkan pada naskhah yang dibicarakan, teknik antropomorfisme sudah kerap dipraktikkan, tetapi isu diterokai relevan dengan permasalahan yang berlaku dalam kehidupan nyata manusia.

Dan itu yang penting. Manusia akan sentiasa berusaha mencari jalan, seberapa pantas, untuk terlihat kaya, bijak, terkenal dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Tidak peduli lagi adakah jalan dipilih menyalahi undang-undang, agama, etika dan peraturan yang ditetapkan. Di sisi dunia, manusia lebih mengutamakan penampilan yang hebat, cantik dan suci, walaupun palsu. Ini kerana ingin menjadi pusat perhatian masyarakat dan dikenang sebagai personaliti ternama.

Sungguh melucukan, manusia sanggup meminta bantuan daripada haiwan demi melampiaskan nafsu duniawi. Meminta di tempat yang tidak wajar dan dilakukan dengan salah, tentu sahaja berakhir dengan seribu penyesalan.

Pada masa hadapan, saya berharap Marilyn Albert Matu memilih pendekatan yang berbeza daripada naskhah ini. Mencampurkan watak manusia dengan haiwan sudah dilakukan oleh Haruki Murakami dengan gaya khasnya yang tersendiri.

Pengarang generasi baharu harus mencari dimensi berbeza yang tidak difikirkan oleh penulis-penulis sebelumnya. Teknik antropomorfisme bukan tidak menarik, tetapi, sudut gambaran sedemikian sudah tidak lagi istimewa, unik atau mengejutkan.

Namun sebagai pengarang, terus komited mendekati permasalahan sosial dengan lebih rinci. Ia akan menekan kemampuan seseorang pengarang dalam menangani isu-isu semasa yang relevan.

Kehidupan moden pada ketika ini sentiasa menawarkan pelbagai peristiwa yang bakal mengusik hati nurani pengarang. Suara dan kenyataan mereka amat diperlukan untuk mengisi kesusasteraan kontemporari.

Memang tidak akan sudahnya kisah tentang manusia di dunia dan para pengarang harus memilih tema dan pokok persoalan yang dirasakan mampu mengangkat nilai naskhah.

Semakin dalam perincian tema maka semakin seriuslah usaha pengolahan naskhah. Lebih penting daripada itu, karya sastera menuntut nilai keseniannya. Dan gaya menyampaikan cerita juga perlu diperbaiki dengan sentiasa belajar dan belajar menerusi pembacaan.

Tahap penulisan seseorang akan dipertingkatkan sesuai dengan tahap kemahuannya untuk memajukan penulisan. Istilah berpuas hati harus dipadamkan dalam fikiran seseorang pengarang.

Barangkali dengan penyiaran naskhah ini, pengarang akan terus lebih bekerja keras dalam menukangi naskhah yang lebih bagus. Tiada antidot sakti dalam bidang penulisan disediakan. Kemasyhuran peribadi juga bukanlah tujuan dalam bidang ini.          

Oleh Roslan Jomel

Continue Reading

Previous: Tiga rumah panjang di DUN Kalaka nikmati kemudahan elektrik
Next: Eric Tay welcomes Sabah’s move to recognise UEC

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.