SEJAK dua dekad terakhir abad ke-20, revolusi teknologi telah menyaksikan kepesatan perkembangan dan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sangat memberi kesan ke atas kehidupan seharian manusia.
Dari zaman globalisasi sampailah sekarang bila memasuki era digital, teknologi memainkan peranan yang sangat penting dalam setiap aspek kehidupan manusia.
Sebahagian besar masyarakat moden sangat bergantung pada telefon pintar, komputer dan internet untuk pelbagai tujuan, sama ada berbentuk sosial, ekonomi, politik mahupun pendidikan. ICT digunakan secara meluas, terutama sekali di bandar-bandar moden untuk mendapatkan maklumat terkini, menghantar data secara pantas, dan berkomunikasi merentas sempadan negara dan benua.
Dunia pendidikan tidak terkecuali. ICT digunakan secara meluas dalam sektor pendidikan, sama ada untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran kebajikan akademik dan kebajikan sosial warga sekolah, atau menambahbaik, memudahkan dan menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Antara contoh penggunaan ICT dalam bilik darjah ialah papan putih digital, tablet, meja interaktif, buku digital, aplikasi pendidikan dan platform pengajaran digital.
Kebolehdapatan kemudahan internet yang telah memudahkan juga rangkaian dan jaringan perhubungan serta komunikasi antara dan dalam organisasi, khususnya dalam hal-hal berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran seharian, telah mendorong ramai golongan pendidikan untuk melihat teknologi sebagai pemangkin kepada usaha menaikkan taraf sistem pendidikan dan keberkesanan pelaksanaannya dalam menangani aspek akses, ekuiti dan kualiti.
Semua alat ICT yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Penggunaan peralatan ini di dalam bilik darjah berkeupayaan meningkatkan motivasi pelajar, dan juga mampu memperbaharui kaedah dan memberi nafas baha ru kepada proses pembelajaran.
Evolusi teknologi secara berterusan dan penghasilan peranti baharu yang lebih canggih, menyumbang sama kepada kepelbagaian kaedah dan pendekatan yang boleh disesuaikan dengan minat dan aras kebolehan pelajar, turut menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan. Meskipun penggunaannya memerlukan persediaan yang lebih rapi oleh guru, namun dengan ada pelbagai aktiviti dalam talian yang wujud, pelajar dapat mempelajari lebih banyak kandungan dalam masa lebih singkat, dan lebih banyak masa berkualiti dihabiskan di dalam bilik darjah.
Penggunaan alat, perisian ICT, dan internet apabila dirancang dengan baik akan meningkatkan penglibatkan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran, memupuk budaya belajar secara berkumpulan dan bekerjasama, dan meningkatkan juga literasi digital dan audiovisual mereka.
Kemahiran-kemahiran ini adalah antara kemahiran generik yang penting dikuasai sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran persekitaran pembelajaran era digital.
Penggunaan ICT dalam pembelajaran juga merangsang kreativiti, membolehkan pengajaran mengikut tempo dan kadar pembelajaran pelajar, mewujudkan rasa ingin tahu dan memupuk semangat penyelidikan dalam kalangan guru dan pelajar.
Meskipun ramai yang berpendirian pengajaran dan pembelajaran yang berbantukan ICT banyak mendatangkan faedah dan kebaikan kepada guru dan juga murid, masih ada juga dalam kalangan pendidik dan ibu bapa yang merasakan bahawa kemajuan teknologi ini juga mempunyai kesan negarif terhadap pendidikan.
Kerisauan mereka bukanlah tidak berasas. Penggunaan teknologi dan dakapan erat ICT semata-mata peralatan, perkakasan dan perisiannya, tanpa sentuhan insan, dikhuatiri menjejaskan pengukuhan nilai keinsanan dan menghambat pemupukan jiwa perikemanusiaan dalam kalangan guru dan pelajar.
Interaksi yang lebih banyak antara pelajar dengan peralatan, perkakasan dan perisian ICT dan internet berbanding interaksi dengan guru, boleh mengurangkan interaksi sosial yang juga sama penting dalam perkembangan dan pertumbuhan seseorang pelajar.
Ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tidak disertakan perolehan atau penyampaiannya dengan kesedaran sosial dan nilai-nilai serta jati diri setempat dikhuatiri menjarakkan pelajar dari segi emosi, sosial dan kerohanian dari agenda pembangunan negara bangsa dalam konteks masyarakat majmuk.
Kos perolehan dan juga penyelengaraan yang tinggi di samping keperluan untuk mengadakan latihan secara berterusan bagi guru agar mereka sentiasa kemaskini dan segar dengan ilmu dan kemahiran ICT baharu, supaya dapat berperanan secara berkesan sebagai pemudahcara dan pembimbing, menjadikan penggunaannya secara meluas di sekolah di kawasan geografi yang sukar dan menghadapi masalah perhubungan, sukar dilaksanakan.
Meskipun memberi kebaikan dan juga menimbulkan beberapa masalah, penggunaan ICT dalam pendidikan adalah satu inovasi yang wajar digunakan di sekolah-sekolah. Secara umum, ia telah menjadikan pendidikan lebih mesra pelajar dan guru, dan mampu juga menceriakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran.
Pelajar boleh menggunakan bantuan internet untuk pengajian mereka, dan memperluaskan sempadan pendidikan dan pembelajaran untuk merangkumi ilmu pengetahuan yang tidak terkandung dalam buku teks tetapi berlegar di pustaka maya.
Meskipun ada kemungkinan penggunaan teknologi digital boleh melebarkan jurang pendidikan dan perolehan ilmu pengetahuan antara pelajar dari keluarga serba mampu dengan pelajar dari keluarga kurang berada, dalam era digital, sekolah tidak boleh mengambil jalan mudah untuk meminggirkan teknologi dan berterusan menggunakan kaedah dan pendekatan lama.
Sama ada pendekatan pembelajaran yang diamalkan itu berbentuk konvensional atau digital, kedua-dua pendekatan boleh membuahkan hasil pembelajaran yang luar biasa. Pengajaran konvensional yang berpusatkan guru, melibatkan aliran maklumat daripada guru sebagai bijak pandai kepada pelajarnya, biasanya, ia adalah berdasarkan beberapa bahan pembelajaran, penilaian dan kriteria yang ditentukan oleh guru, menempatkan sentuhan insan sebagai satu faktor penting dalam membentuk insan atau mencorak kemenjadian pelajar.
Pembelajaran dalam pendekatan konvensional berlaku bila mana guru berinteraksi secara langsung dengan pelajarnya, sama ada untuk menyampaikan maklumat atau ilmu pengetahuan, dan kerana itu sentuhan insan adalah sesuatu yang sangat aktif berlaku.
Sebaliknya, dalam pendekatan pengajaran berpusatkan ICT, pelajar lebih banyak berinteraksi dengan peralatan, perkakasan dan aplikasi digital, dan kerana itu secara semula jadi interaksi sosial antara guru dan pelajar amat terbatas. Pembelajaran berbantukan ICT membuka peluang untuk pembelajaran kendiri dan penerokaan pengetahuan dan kemahiran secara peribadi dengan bimbingan dan interaksi minimal dengan guru.
Dilihat dari sudut ini, oleh kerana kurangnya kebergantungan kepada guru, ia menggalakkan pelajar untuk mempelajari kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.
Dalam konteks Sarawak yang sekolahnya bertaburan di seluruh pelosok tanah air dan masih menghadapi masalah perhubungan, penulis berpandangan bahawa usaha melaksanakan kurikulum ke arah mencapai kecemerlangan akademik dan kemenjadian insan, hendaklah bertunjangkan kesedaran bahawa sentuhan insan itu masih sangat diperlukan, penting dan relevan, meskipun dakapan ICT dalam pendidikan adalah sesuatu inovasi yang tidak dapat diketepikan.
Sekolah perlu disediakan dengan kemudahan teknologi yang terkini serta mencukupi bagi membolehkan pembelajaran kendiri secara bertanggungjawab berlaku secara sihat dan aktif, dan pada masa sama, sekolah juga perlu dibekalkan dengan guru yang dapat melihat diri mereka tidak hanya sebagai pengajar, tetapi juga sebagai pemangkin, pembimbing, fasilitator, dan rakan seperjuangan yang saling melengkapi dan membantu dalam dunia pembelajaran yang sedang didakap oleh teknologi.
Dalam kata lain, untuk melaksanakan program pendidikan yang bersepadu dan holistik seperti yang diaspirasikan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara cekap dan berkesan, sentuhan insan guru dan dakapan teknologi adalah sama penting dan harus wujud dalam persekitaran sosial dan teknobudaya yang mesra guru dan mesra pelajar, yang saling melengkapi.
• Penulis adalah Tokoh Kepemimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022.