PERHIMPUNAN Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-16, dijangka diadakan pada 2025 iaitu lima tahun menjelang 2030, tarikh sasaran menjadikan Sarawak wilayah maju berpendapatan tinggi.
Perhimpunan tiga tahun sekali itu dan bagi kali ke-15, menutup tirai Ahad lalu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), dihadiri 2,400 perwakilan dari semua 82 cawangan PBB di seluruh negeri.
Sebenarnya, pertemuan tiga tahun sekali perwakilan parti PBB, tidak jauh bezanya berbanding perhimpunan agung UMNO yang saban tahun diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Cuma bezanya dari segi liputan meluas berita pasal UMNO mendominasi berita utama di rangkaian televisyen pada waktu perdana sebelah malam sama ada di TV1, TV3 atau rangkaian Astro sepanjang tiga hari perhimpunan.
Di Sarawak, nasib baik kita ada TVS iaitu saluran televisyen linear dimiliki Sarawak Media Group Sdn Bhd (SMG), yang ditubuhkan pada 10 April 2018 selain liputan di media tempatan serta berita ‘on-online’ yang tidak kurang hebatnya.
Apabila UMNO mengadakan perhimpunan agungnya, hampir separuh siaran berita televisyen nasional diisi dengan berita berkaitan parti itu. Begitu juga di akhbar arus perdana.
Namun, suasana di PWTC agak suram setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) 2018.
PWTC hanya kembali meriah apabila Pakatan Nasional (PN) memerintah dan kini, Kerajaan Persekutuan kembali didominasi parti UMNO.
Namun, bagi Sarawak, tiada berlaku perubahan seperti itu kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan parti PBB sebagai parti dominannya, terus berkuasa.
BCCK lokasi perhimpunan tidak pernah lenggang seperti PWTC.
Hotel besar atau kecil di sekitar bandar raya Kuching dipenuhi perwakilan parti PBB mulai Khamis hingga Ahad dan Isnin lalu.
Tiada ucapan berdegar-degar seperti di perhimpunan agung UMNO, tetapi ucapan pemimpin PBB lebih menjurus kepada keperluan sebenar rakyat, bukan retorik dalam erti kata sebenar.
Ini realiti berdasarkan pengalaman membuat liputan perhimpunan agung UMNO saban tahun sebelum ini dan perhimpunan agung parti PBB.
Tetapi dalam diam-diam, Sarawak meraih pendapatan yang tidak disangka-sangka, ‘berkat niat baik kita’ seperti kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bayangkan sebanyak RM8.52 bilion sudah berjaya dikutip melalui Cukai Jualan Negeri (SST) minyak dan gas sejak 1 Januari 2019. Ia bukan sahaja dikutip dari Petronas, malah mana-mana syarikat carigali gas dan minyak yang beroperasi di wilayah Sarawak.
Kita tidak tahu lagi jumlah kutipan SST untuk tahun ini tetapi angkanya mungkin lebih besar berikutan kenaikan harga minyak dunia.
Malah, jika segala perancangan berjalan lancar, Sarawak akan terus menggandakan hasil iaitu pendapatan baharu yang bukan dari sektor minyak dan gas.
Yang dimaksudkan ialah kutipan hasil melalui ekonomi hijau dan penyimpanan karbon yang dianggarkan lebih tinggi daripada kutipan SST penghasilan minyak dan gas.
Ini berikutan pindaan Ordinan Hutan dan Kanun Tanah baru-baru ini, sekali gus membuka jalan kepada Sarawak menjana lebih banyak hasil untuk mencapai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Jika tanah jadi hak kita, maka ruang udara juga milik kita. Sesiapa sahaja yang menggunakan ruang udara kita termasuk spektrum untuk kegunaan isyarat (telekomunikasi), perlu minta kebenaran kita.
“Jadi kita uruskan angkasa kita. Ini beri pulangan pendapatan yang agak banyak,” kata Abang Johari dalam ucapan dasar pada hari pertama Perhimpunan Agung PBB Sabtu lalu.
Sebab itulah, kita boleh rasa dan nampak pembangunan sedang giat dijalankan sekarang termasuk pembinaan lebih tujuh jambatan besar menggunakan dana kerajaan Sarawak sendiri setelah projek itu dibatal atau ditangguh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Sebagai parti tulang belakang GPS, apa sahaja usul atau isu dibincang dan diluluskan pada perhimpunan agung PBB, akan menjadi dasar kerajaan Sarawak secara langsung atau tidak langsung.
Contohnya, Abang Johari yang juga Presiden PBB mengumumkan tambahan RM30 juta lagi bagi membantu pelajar Sarawak dalam melangsaikan tunggakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Beliau membuat pengumuman dalam ucapan penggulungan di hari terakhir perhimpunan agung parti PBB petang Ahad lalu.
Sebelum ini RM30 juta sudah disediakan bagi tujuan sama. Pemberian ini sekali gus melegakan ribuan anak Sarawak terutama dalam kalangan B40 untuk melangsaikan pinjaman PTPTN.
Pada majlis sama, Abang Johari turut mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak bersetuju menubuhkan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dan Agensi Pembangunan Betong (BEDA) bagi membantu menyelaras pembangunan di dua kawasan itu.
Peruntukan RM1.5 bilion akan diberikan untuk kedua-dua agensi ini menjalankan penyelarasan pembangunan.
Ia susulan kejayaan penubuhan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) di mana agensi masing-masing ini boleh memberi tumpuan kepada pembangunan di kawasan masing-masing.
Agensi lain yang telah ditubuhkan ialah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), dan yang terkini ialah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi kawasan masyarakat Bidayuh.
Dengan penubuhan agensi khusus bagi menyelaras pembangunan luar bandar ini, sudah pasti mempercepatkan lagi usaha membawa pembangunan di luar bandar dan pedalaman.
Di hadapan lebih 2,400 perwakilan parti PBB itu juga, Abang Johari mengulangi pendirian tegas kerajaan Sarawak untuk terus mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa untuk berkomunikasi tetapi tetap mengiktiraf bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.
Katanya, penggunaan bahasa Inggeris di Sarawak adalah praktikal dan dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 161 (3).
Berdasarkan Perkara161 (3) dalam Perlembagaan Malaysia 1957 katanya, ia menyatakan Sarawak boleh menggunakan bahasa Inggeris.
“Kita di Sarawak telah menerima bahawa bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Bagaimanapun, kita juga mengekalkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa yang boleh kita gunakan untuk berkomunikasi.
“Maknanya, kita kena praktikal. Kita tak tolak dasar kebangsaan. Ada orang kata Abang Jo isytihar di Sarawak, tak ikut dasar kebangsaan. Tidak, saya ikut tapi saya juga ada hak di bawah perlembagaan ini,” katanya.
Parti PBB juga selangkah ke depan apabila perhimpunan agung itu turut meluluskan penubuhan sayap baharu ‘Pergerakan Belia PBB’.
Sayap itu akan menyediakan platform kepada golongan belia untuk menyertai politik secara aktif.
Sasarannya adalah mereka yang berusia 18 hingga 28 tahun kerana golongan itu kini sudah menjadi pengundi secara automatik.
Langkah itu dibuat sejajar dengan umur mengundi minimum diturunkan kepada 18 daripada 21 tahun setelah Rang Undang-Undang (Pemindaan) Perlembagaan 2019 diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019.
Dengan pindaan ke atas Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan itu, sekiranya golongan belia mengundi dalam pilihan raya 2023, dijangkakan 7.8 juta pengundi baharu akan bertambah kepada 14 juta yang kini sudah berdaftar bagi seluruh negara.
Parti PBB juga meluluskan pindaan bagi membolehkan lebih banyak wanita dilantik dalam badan induk Majlis Tertinggi (MT) PBB.
Walau apapun, PBB kini bukan lagi ‘parti kampung’ seperti ditegaskan Abang Johari dalam ucapan dasar pada permulaan Perhimpunan Agung itu Sabtu lalu.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak