APABILA Datuk Seri Mohd Radzi Md Jidin (Menteri Pendidikan ketika itu) mengumumkan pada April 2021 bahawa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dimansuhkan mulai tahun 2021, dan pada 2 Jun 2022, mengumumkan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2022, ramai ibu bapa dan guru resah.
Pada hakikatnya cadangan pemansuhan UPSR dan PT3 (PMR), bukan sesuatu yang baharu. Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang dilancarkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) pada 16 Januari 2007, transformasi pentaksiran pendidikan diperakui sebagai satu pendekatan penting. Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) telah dipersetujui kerajaan untuk dilaksanakan bagi menggantikan Sistem Peperiksaan Awam yang sedia ada. SPPK merupakan satu daripada beberapa fokus dalam teras strategik membangunkan modal insan bagi memperkukuhkan sistem pendidikan negara.
Secara khusus dalam teras membangunkan modal insan, antara fokus dan strategi ialah memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik, iaitu untuk menyediakan pentaksiran alternatif, mengkaji semula sistem pentaksiran dan penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan, dan memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian.
Pada 20 Jun 2010, KPM yang diwakili menterinya ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut membayangkan kemungkinan akan memansuhkan UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada masa hadapan. Beliau menegaskan ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika itu dilihat lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.
Masyarakat ramai, ibu bapa dan KPM khasnya amat menyedari bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan negara maju.
Sistem pendidikan telah dipertanggungjawabkan melalui KPM untuk menyediakan generasi muda Malaysia dengan seluas-luas peluang bagi: memperkembangkan potensi diri; melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran; membentuk ciri-ciri keperibadian dan perspektif hidup yang membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan lagi negara di mata dunia.
Selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, membangunkan modal insan juga merangkumi usaha melengkapkan diri pelajar dengan: kemahiran komunikasi berkesan; kebolehan menggunakan ICT dengan baik; berfikir secara kreatif dan kritis; mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat; nilai yang tinggi supaya berupaya menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat.
Modal insan yang ingin dilahirkan akhirnya berupaya untuk berfikir kreatif dan kritis, berkemahiran menyelesaikan masalah dan berkeupayaan mencipta peluang-peluang baharu, mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah serta serba mencabar.
Selain itu, KPM berhasrat untuk membangunkan warganegara dari awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa. Sistem persekolahan berhadapan cabaran besar melahirkan pelajar dengan ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa Malaysia sekiranya proses penyampaian di sekolah dan dalam bilik darjah terutama sekali terlalu tertumpukan kepada menyediakan pelajar untuk menghadapi peperiksaan awam.
Usaha untuk memupuk jati diri melalui kurikulum, program kurikulum dan sukan agar berkecekapan bagi melahirkan warganegara glokal yang mampu bertindak dengan bijak untuk menghadapi cabaran dan ancaman globalisasi, liberalisasi dan era digital, menuntut anjakan besar dari segi proses mendapatkan data dan maklumat tentang setiap pelajar.
Fokus dalam membina Negara Bangsa yang mencakupi usaha-usaha seperti: memperkasakan Bahasa Kebangsaan sebagai asas perpaduan dan bahasa ilmu; memantapkan perpaduan dan integrasi nasional; memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa; memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan keagamaan dalam membentuk pemikiran dan kehidupan yang sihat dan saling melengkapi; menuntut juga strategi, kaedah dan pendekatan pentaksiran yang jauh lebih komprehensif, menyeluruh, merangkumi dan bersepadu.
Inilah konteks yang dilihat oleh golongan profesional di KPM sebagai perkara yang mewajarkan pewujudan satu sistem pentaksiran yang lebih holisitik untuk melihat perkembangan dan pertumbuhan murid dan pelajar sepanjang tempoh mereka berada di alam persekolahan, dan tidak sepenuhnya bergantung kepada peperiksaan awam yang dikendalikan hanya sekali untuk sekolah rendah pada penghujung Tahun 6, dan sekali bagi sekolah menengah rendah pada penghujung Tingkatan 3.
Peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR, memang diakui dapat memberi gambaran tentang standard yang telah dicapai di peringkat kebangsaan, dan juga dapat dijadikan asas dalam membuat perbandingan antara sesama pelajar atau sesama sekolah, daerah, negeri dan wilayah.
Namun, oleh kerana ia terlalu berpusatkan pencapaian akademik yang diwakili oleh hanya beberapa mata pelajaran terpilih sahaja, maka untuk menggunakan sepenuhnya hasil keputusan peperiksaan atau ujian tersebut bagi menentukan berjaya atau belumnya seseorang pelajar dalam pembelajarannya, atau dalam proses kemenjadian insan, adalah kurang bijak dan kurang tepat.
Pembangunan menyeluruh dan holistik yang merangkumi aspek mental, fizikal, emosi, kerohanian dan sosial dalam kalangan pelajar adalah amat sukar untuk dilakukan melaluipentaksiran sumatif seperti peperiksaan berpusat. Pentaksiran berterusan yang dilakukan secara sistematik dan profesional oleh guru, dalam bilik darjah dan di sekolah yang bertunjangkan falsafah pentaksiran, assessment of learning dan assessment for learning, adalah lebih sesuai dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang bermatlamatkan perkembangan, pembangunan dan kelahiran insan yang berketrampilan dan bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Perlu diakui bahawa pentaksiran berasaskan sekolah atau berasaskan darjah menuntut aras profesionaliti yang tinggi dalam kalangan guru. Meskipun dilihat sekali lalu, ia seakan-akan memberi tugas dan tanggungjawab tambahan kepada guru dan pihak sekolah. Namun, secara profesional, pentaksiran berterusan – formative assessment and evaluation – sebenarnya adalah amalan pengajaran dan pembelajaran yang sememangnya diharapkan daripada semua pendidik.
Bagi memaknakan peluang pengajaran dan pembelajaran yang disediakan kepada semua dan setiap pelajar, guru hendaklah secara sedar dan sistematik membuat pentaksiran berterusan. Data yang diperoleh dari pelbagai bentuk dan jenis pentaksiran ke atas proses pengajaran dan pembelajaran itu dengan sendirinya, sekira dianalisis dengan baik, dapat membantu guru memahami keberkesanan proses instruksional yang dijalankan dan dapat digunakan dalam menambahbaik atau mencorakkan semula serta mengorientasikan kaedah atau pendekatan pengajarannya.
Penulis berpandangan, untuk menjadikan proses pendidikan formal relevan, sesuai dan selari dengan aspirasi dan falsafah pendidikan kebangsaan, keduadua elemen pentaksiran berpusat dan pentaksiran berasaskan sekolah adalah penting untuk dijadikan mekanisme pendidikan utama dalam mendapat dan memperoleh data tentang perkembangan dan pencapaian pelajar di sekolah.
Selain itu, pentaksiran tentang aspek sahsiah, tingkahlaku, displin, penglibatan dan penyertaan dalam pelbagai aktiviti sukan, permainan dan kemasyarakatan, serta personaliti pelajar juga adalah penting bagi mendapat data untuk memboleh gambaran lebih menyeluruh dan bersepadu diperoleh mengenai insan yang bernama pelajar di sekolah-sekolah.
Yang ingin kita lihat melalui pendidikan bukan hanya pencapaian pelajar dalam bidang akademik semata-mata, tetapi juga kepada aras kemenjadian mereka sebagai insan yang berketrampilan serta berkemampuan untuk memperjuangkan dan meneruskan kelangsungan hidup bermasyarakat yang berdigniti di mana aspek sosial, emosi, kerohanian dan fizikal adalah sama penting.
* Penulis adalah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022