Oleh: Abang Median Abang Said
SETIAP kali saya memberikan bengkel tentang penulisan cerpen, saya sering berkongsi tentang filem atau drama yang menarik untuk ditonton – disiplin ilmu yang hampir sama terutama dari aspek penyusunan naratif atau plot cerita. Selain itu, sesebuah filem itu akan dinilai dari aspek sinematrografi yang sinonim dengan teknik deskriptif dalam penulisan cerpen atau novel.
Kekuatan lakonan daripada ekspresi wajah, pengucapan dialog termasuk aspek intonasi dalam filem memaparkan persamaan dengan aspek watak dan perwatakan dalam karya sastera yang turut dinilai daripada dialog yang diolah atau cara watak tersebut memberikan reaksi atau respons dalam sesuatu isu. Filem lebih dinilai daripada bahasa visual tetapi cerpen atau novel dinilai daripada penyusunan keindahan bahasa termasuk diksi yang dipilih oleh penulis. Maknanya ada persamaan dan keselarian dalam penilaian terhadap filem atau cerpen (menurut konteks penulisan kali ini).
Antara filem yang memaparkan penyusunan plot yang menarik pada tahun 2024 ini ialah filem Tamil yang bertajuk Maharaja. Penyusunan plotnya dibuat dengan begitu kemas dan memerlukan penonton untuk mengaitkan antara setiap tanda atau simbol yang sengaja ditonjolkan oleh pengarahnya. Permulaan filem itu sudah memberikan satu persoalan yang berhubung dengan persoalan lain hingga penonton akan tertanya-tanya dan melonjakkan perasaan ingin tahu untuk merungkai setiap kekeliruan. Pengakhiran filem tersebut memberikan satu kejutan kepada penonton dan pemutarbalikan plot atau plot twist yang dibuat oleh penulis skrip tersebut sangat memberikan impak kepada penonton.
Dalam bengkel penulisan yang saya sampaikan, saya menyenaraikan beberapa filem yang boleh ditonton oleh penulis untuk berkongsi pengalaman dan idea dengan penulis skrip dan pengarah filem berkenaan. Antara filem yang saya senaraikan ialah filem Korea yang bertajuk Parasite. SM Zakir yang memperkenalkan filem tersebut kepada saya sewaktu saya menghadiri bengkel yang dijalankan di Pustaka, Miri – beliau memperkatakan tentang gaya new realism dalam penulisan. Dalam slaid ceramah saya kepada penulis muda juga ada disenaraikan filem Knive Out dan filem Shutter Island yang dilakonkan oleh Leonardo DiCaprio, termasuk filem Haseen Dilruba – sebuah filem Tamil yang akan saya kaitkan dengan ulasan saya terhadap cerpen “Anna”, hasil karya Nur Syahmin Samsol – penulis muda yang baru pertama kali saya baca karyanya tetapi memberikan satu signal tentang kebolehan dan masa depannya dalam penulisan.
Cerpen ini mengisahkan tentang kehilangan Anna yang digambarkan melalui watak seorang sahabat yang begitu akrab. Pertalian yang erat ini digambarkan oleh pengarang dengan pengolahan bahasa yang sedikit bombastik, tetap indah dan memberikan impak kepada pembaca:
Kewujudan Anna dalam kehidupanku ibarat karunia terindah dalam susun takdir Ilahi. Sewaktu dunia membuka kata, penuh teka dan silang makna, Anna mendakapku dengan belaian kasih yang tidak terhingga. Dirinya ibarat gerimis sewaktu terik mentari, menyuburkan pepohon yang ketandusan kasih.
Cuma dikesan penggunaan bahasa Indonesia oleh pengarang (sama ada oleh kesilapan menaip atau pengaruh daripada pembacaan karya dari negara berkenaan), iaitu perkataan karunia yang bermaksud hadiah atau perlu ditaip dengan kurnia.
Pengarang membina naratif cerpennya dengan menggambarkan kehilangan Anna sebulan yang lalu sehingga meresahkan ‘aku’ – watak utama dalam cerpen ini. Kelibat Anna kali terakhir dikesan melalui rakaman CCTV asrama. Pada waktu itu Anna menggunakan baju dan selendang berwarna putih dengan kasut yang dihadiahi aku.
Sesuatu perkara yang berlaku tentu ada penyebabnya – antara faktor penolak atau penarik – dalam cerpen ini lebih kepada faktor penolak apabila ‘aku’ dan Mina bergaduh dengan Anna. Semua itu berpunca daripada watak Faizal, iaitu seorang murid baharu di sekolah berkenaan. Anna mengatakan bahawa Faizal merupakan seorang yang zalim dan bertopengkan malaikat – kata-kata nista yang kesat dan berat. Sebagai pembaca, perasaan tertanya-tanya pasti berlegar-legar dalam minda. Mengapa Anna mengucapkan kata-kata tersebut? Adakah dia mengenali Faizal? Bagaimana dia boleh mengenali Faizal? Adakah Anna dan Faizal pernah berhubungan rapat sebelum dia mengenali ‘aku’? Tekaan dan persepsi pembaca cuba mengaitkan setiap kewajaran yang diolah oleh pengarang. Anna menegaskan bahawa ‘aku’ begitu jahil untuk mengenali lelaki seperti Faizal yang bijak meluahkan kalimat manis. Begitulah stereotaip kehidupan apabila kehadiran seorang lelaki boleh meruntuhkan kekukuhan sebuah persahabatan – semuanya disebabkan hati dan perasaan.
Naratif yang diolah oleh pengarang ialah tentang kehilangan Anna – murid tingkatan 4 di sebuah sekolah asrama. Sudah sebulan Anna menghilangkan diri. Dalam membina jalinan plot dalam sesebuah cereka – penganalisis atau pembaca akan melihat keselarian plot dan kelogikannya. Perkara tersebut akan menentukan kualiti sesebuah cerpen berkenaan. Ketidakselarian plot yang digarap oleh seseorang penulis akan mengganggu pembacaan pembaca.
Dalam cerpen Anna, ada beberapa kemusykilan yang bermain-main dalam pemikiran pembaca. Mengapa telefon milik Anna tidak dijadikan bahan bukti untuk disiasat oleh pihak forensik? Mengapa telefon tersebut masih berada di tangan ‘aku’ yang bertindak menjadi penyiasat? Sepatutnya kehilangan Anna akan menjadi isu kepada pihak sekolah dan ibu bapa murid berkenaan. Kenapa watak ibu Anna langsung tidak ditonjolkan (kerana pembaca didedahkan pada pengakhiran cerpen bahawa ayah Anna telah meninggal dunia)? Tentu ada tindakan yang terancang dan sistematik akan dilakukan oleh pihak yang berkenaan untuk mencarinya. Sebaliknya, ‘aku’ yang telah cuba menyelidik maklumat dalam telefon milik Anna sehingga terjumpa dengan watak Asy yang menghiasi bahagian homescreen telefon tersebut.
Pengarang memasukkan watak baharu dalam cerpen ini untuk menjadikan jalinan plot cerpennya lebih rumit dan complicated. Watak Asy digambarkan sebagai jejaka idaman bagi murid-murid perempuan di sekolah berkenaan. Watak tersebut begitu dikenali dengan ketampanan dan perilakunya yang mementingkan nilai. Namun, ‘aku’ dapat mengesan kebencian yang tersembunyi dan terpapar secara halus pada wajah Anna apabila nama lelaki itu disebut di hadapannya.
Sekali lagi, pengarang cuba memutarbalikkan plot ceritanya. Adakah hubungan Anna dan Asy merupakan lakonan persis kebahagian yang ditonjolkan oleh generasi sekarang di media sosial – ya, sedangkan yang sebenar adalah berbeza?
Tidak cukup dengan watak Asy, pengarang memasukkan lagi satu watak lain, iaitu Maria – watak yang mahu Anna mati – kebencian yang bergumpal kerana perasaan cintanya pada Asy; lelaki yang mencintai Anna. Pengarang sengaja memutarbelitkan plot ceritanya. Kehadiran watak Maria menjadikan plot cerpen ini semakin berangkai dan sedikit berbelit lebih-lebih lagi dengan ugutan Anna untuk memberitahu Asy bahawa dirinya dibuli oleh Maria. Pembaca perlu membaca dengan teliti untuk memahami jalinan plot yang dibina.
Rahsia yang tersembunyi dalam telefon berkenaan telah menimbulkan pertanyaan dalam pemikiran pembaca termasuk watak ‘aku’ dalam cerpen berkenaan sama ada Anna masih lagi hidup atau telah menemui ajal.
Langkah ‘aku’ untuk berjumpa dengan Asy sememangnya sudah dapat diteka oleh pembaca. ‘Aku’ ingin tahu tentang hubungan antara Asy dan Maria – ya, sejauh mana hubungan mereka. Pengarang cuba merumitkan plot cerpennya apabila Maria merupakan anak tunggal kepada majikan ayah Asy dan Asy juga mengetahui perasaan Maria padanya. Asy menjadi orang tengah dalam menyelesaikan pertelingkahan antara Anna dan Maria. Dia cuba menyelesaikan masalah itu dengan sebaik yang mungkin kerana khuatir ayahnya akan kehilangan pekerjaan. Drama-drama Melayu sering menggunakan pendekatan ini – anak mempunyai pengaruh yang kuat atas keputusan bapanya – menjadi klise tatkala diulang dalam cerpen ini.
Malah Asy juga telah mengesan kesan lebam pada tubuh Anna sehari sebelum Anna menghilang (namun pada bahagian peleraian didedahkan bahawa Asy yang turut mengasari Anna – tentu ini merupakan pertentangan atau ketidakselarian pada penyusunan plot). Persoalannya, adakah pihak polis telah menyoal siasat Asy sebagai individu yang mempunyai hubungan rapat dengan Maria? Tidakkah orang pertama yang akan disyaki oleh pihak polis ialah orang yang rapat dengan Anna?
Kejayaan seseorang pengarang dalam penghasilan karyanya adalah pada keupayaan pengarang tersebut menyelesaikan konflik yang dibina. Adakah pembaca akan terkesan dengan pengolahan dan penyusunan karakter plot?
Dalam cerpen “Anna”, konflik tentang kehilangan watak berkenaan mula terungkai apabila Maria berjumpa dengan ‘aku’. Pelbagai soalan dilontarkan sehingga ‘aku’ menolak Maria ke lantai dengan sekuat hati. Dari sanalah rahsia terungkai apabila mata ‘aku’ melihat pen yang mempunyai ukiran nama ‘Anna’ terkeluar dari beg galas Maria. Pen itu ialah pen kesayangan Anna. Pembaca tentu menebak bahawa kehilangan Anna mempunyai kaitan dengan Maria.
Anyaman plot cerpen itu diteruskan lagi dengan penyebaran video pergelutan antara ‘aku’ dan Maria. Bagaimana video berkenaan boleh menjadi bukti penglibatan Maria terhadap kehilangan Anna? Adakah hanya disebabkan oleh pen kesayangan Anna? Bagaimana rakaman itu boleh memfokuskan pada pen – satu alat yang sangat kecil? Semua persoalan ini menjadi gangguan dalam pembinaan plot cerpen berkenaan. Ada keraguan dan kemusykilan dalam aspek kelogikan.
Pengarang tidak mahu menghentikan konflik itu di situ sahaja. Ada perkara lain yang cuba diketengahkan oleh pengarang. Siapa yang merakam video berkenaan? Bagaimana individu tersebut tahu tentang perjumpaan berkenaan?
Pengarang sengaja memutarbalikkan plot dengan harapan akan memberikan kesan sensasi kepada pembaca. Itulah harapan pengarang.
Rupa-rupanya pen bebola hitam yang menjadi pen kegemaran Anna bukanlah pen biasa. Apabila ‘aku’ menekan bahagian hujung pen tersebut, bahagian bebola yang digunakan untuk menulis langsung tidak keluar malah sebaliknya kedengaran rakaman suara Anna yang menangis dipukul oleh Asy.
Pembaca yang berandaian bahawa Maria adalah dalang yang menyebabkan kehilangan Anna akan mula berasa ragu sehingga meletakkan nama Asy sebagai antara suspek. Namun Asy menafikan perkara tersebut dengan mengatakan bahawa dia sememangnya bergaduh dengan Anna sehingga meninggalkan kesan lebam kepada tubuh Anna. Namun perkara itu berlaku sebulan sebelum kehilangan Anna. Malah Asy menegaskan bahawa Anna hanya ingin menjalinkan hubungan dengannya kerana inginkan populariti di sekolah. Disebabkan terlalu menyayangi Anna, Asy rela dipergunakan oleh Anna.
Pengarang sengaja bermain tarik tali. Pengarang bermain police sentri one two jaga. Siapa pelaku yang sebenarnya? Ada pembaca yang mungkin masih meletakkan nama Maria. Ada pembaca lain yang tetap mengaitkan nama Asy. Watak ‘aku’ pula mula meragui kesahihan bahawa Asy yang menyebabkan kehilangan Anna sehinggalah dia melihat adik Asy, iaitu Sarah yang menggunakan kasut putih dihiasi dengan contengan marker. Watak ‘aku’ yang menghadiahkan kasut itu kepada Anna dan kasut itu juga digunakan pada hari kehilangannya.
‘Aku’ telah menyerahkan rakaman daripada pen kepada pihak polis dan siasatan lanjut daripada pihak polis telah menjumpai selendang putih yang bercalitkan darah, dipercayai milik Anna, ditanam di kawasan belakang rumah Asy. Pihak polis turut menjumpai rantai yang dipercayai milik Anna di atas meja belajar Asy termasuk mengesahkan tentang kewujudan kasut yang menyerupai kasut Anna.
Sememangnya terlalu banyak pemutarbalikan plot yang dilakukan oleh pengarang. Persoalannya, adakah pemutarbalikan plot yang beruntun dan bertele-tele itu akan menjadikan tarikan kepada pembaca? Setiap kali cerita itu menuju peleraian, pengarang cuba memutarbalik dengan penemuan petunjuk terbaru yang akan terus memanjangkan konflik. Umpamanya, pengarang menulis tentang watak ‘aku’ yang menerima hantaran rakaman dash cam dari sebuah kereta berdekatan kawasan perumahan Asy. Anna kelihatan melarikan diri dari rumah Asy tanpa menggunakan selendang dan kasut. Mukanya lebam dan darah kelihatan mengalir dari kepalanya. Asy kemudiannya kelihatan ingin mengejar Anna tetapi niatnya terhenti apabila menyedari jirannya mula keluar dari rumah. Asy masuk ke rumahnya dan rakaman tersebut berhenti begitu sahaja.
Latar tersebut diolah oleh pengarang untuk terus memainkan pemikiran pembaca untuk mencari pelaku sebenar yang menyebabkan kehilangan Anna. Kemudian, aku pula dikhabarkan bahawa mayat Asy dijumpai di kawasan hutan berdekatan kawasan sekolah. Siapa pula pembunuh Asy? Mayat Anna pula jikalau benar telah meninggal dunia, masih belum dijumpai.
Kejutan seterusnya diolah oleh pengarang apabila ‘aku’ menerima sebuah bungkusan yang mengandungi sijil kelahiran yang menunjukkan bahawa Anna dan Faizal sebenarnya kembar yang tidak seiras. Siapakah individu misteri yang menyerahkan sijil itu? Jikalau Faizal, dia boleh sahaja menceritakan perkara itu secara berdepan dengan ‘aku’. Persoalan lain yang tidak dijawab oleh pengarang ialah sebab Anna begitu membenci Faizal? Apakah konflik antara mereka?
Berdasarkan perbualan antara Faizal dan ‘aku’ pada pengakhiran cerpen, polis telah menutup kes tersebut. Mengapa? Adakah pengarang berandaian bahawa polis kekurangan bukti? Tidakkah beberapa petunjuk boleh digunakan oleh pihak polis untuk lebih mendalami kes tersebut? Atau disebabkan kematian suspek utama, iaitu Asy? Rumusan bahawa polis telah menutup kes berkenaan merupakan satu tamparan kepada pembaca. Rupa-rupanya kes itu tidak selesai. Pengarang pula sengaja menggantung peleraian cerpen tersebut. Perkara ini ditambah lagi dengan satu kejutan tatkala Faizal tahu tentang keadaan Anna apabila melarikan diri daripada rumah Asy, sedangkan hanya ‘aku’ yang tahu tentang perkara berkenaan. Adakah Faizal yang menghantar rakaman dash cam itu?
Begitulah kesungguhan pengarang membuat pemutarbalikan plot satu persatu sehingga bagi saya – agak berlebihan dan meletihkan pembaca. Binaan plot yang diolah oleh pengarang tidak mengalir lancar dan seolah-olah sengaja dilencongkan alirannya secara paksa.
Pada awal ulasan saya ini, saya memuji filem Hasseen Dilruba hasil garapan plotnya yang sangat menarik. Penonton tidak dapat meneka pengakhiran filem berkenaan dan apabila filem itu dileraikan – penonton seolah-olah berada pada satu ruang katarsis. Penonton akan berasa sangat puas. Perkara ini sangat berbeza apabila menonton sekuel filem berkenaan dengan tajuk Phir Aayi Hasseen Dilruba. Penulis skrip filem tersebut sengaja memutarbelitkan plot dengan membuat plot twist demi plot twist sehingga melonggarkan kekuatan cerita. Penonton akan terasa perkara yang diketengahkan itu sengaja diadakan-adakan – bukan berlaku secara spontan atau semula jadi.
Perkara yang sama saya rasai apabila membaca cerpen “Anna” – pengarang terlalu keras berusaha menampilkan plot yang memukau sehingga unsur sebab dan akibat itu seolah-olah sengaja diada-adakan. Aliran plot menjadi tidak lancar atau bergerak secara neutral.
Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih meletakkan cerpen ini sebagai sebuah cerpen yang baik. Pembaca seolah-olah dipaparkan dengan realiti kehidupan yang begitu mengganggu emosi sejak kebelakangan ini, iaitu tentang jenayah dan kes pembunuhan yang banyak berlaku. Secara automatik, pembaca akan mengaitkan cerpen ini dengan berita-berita yang terpapar di media massa. Tentu pengolahannya berbeza kerana apa yang dipaparkan di media massa itu tetap merupakan sebuah berita, sedangkan cerpen “Anna” ini adalah merupakan karya kreatif – karya yang digerakkan dengan kekuatan bahasa penulisnya. Pengarang telah memilih diksi yang segar termasuk penggunaan gaya bahasa seperti metafora, hiperbola dan personafikasi. Cuma pengarang perlu menyeimbangkan perkara berkenaan supaya penggunaan gaya bahasanya tidak diolah secara berlebihan – samalah seperti teguran pada pengolahan naratif atau binaan plot tadi.
Secara keseluruhannya, pengarang telah menampakkan kebolehan dan keupayaan yang sangat tinggi untuk menjadi penulis yang menjanjikan dalam penulisan cerpen. Dua kekuatan pengarang pada cerpen ini ialah tentang keupayaan menggerakkan naratif dan plot serta kebolehan mengolah cerpen dengan bahasa yang menarik.
Saya mengharapkan pengarang terus aktif menulis dan cuba menghasilkan karya yang berbeza – keluar dari kotak klise yang sering membelenggu penulis baharu. Pengarang perlu berani mencari subjek yang berbeza seperti yang dikatakan oleh Toni Morrison, penulis Afro-Amerika: Apabila ada sebuah buku yang ingin kau baca tetapi buku itu belum lagi ditulis, maka engkaulah yang mesti menulisnya.
Ya, semoga pengarang terus menulis sesuatu yang segar dan baharu.