Oleh: Roslan Jomel
ADA beberapa kaedah tertentu yang diamalkan oleh pengarang dalam menghasilkan karya masing-masing. Tidak semestinya seseorang pengkarya mendapat ilham penulisan sebaik sahaja selesai membaca karya-karya yang diminatinya. Ada sebahagian pengarang menemui inspirasi selesai sahaja menonton persembahan teater, filem dan pameran lukisan. Ilham sentiasa menunggu di mana-mana. Tidak semestinya di dalam bilik. Bahkan seorang pengarang mampu memperoleh banyak pengalaman yang menarik ketika berada di luar rumah. Jiwa peka pengarang sememangnya mudah tersentuh dengan apa-apa sahaja kejadian yang berlaku di sekeliling mereka. Di situlah mereka mula memulakan draf manuskrip.
Dalam buku Karya Sastera Sebagai Karya Seni (terbitan DBP, 2000), Lutfi Abas menyatakan setiap karya sastera atau karya seni apa pun, adalah ekspresi penulis berhubung perkara-perkara yang tidak berkenan atau terbuku di dasar hatinya. Karya sastera terbina apabila ada sesuatu kejadian yang berlaku dalam masyarakat penulis yang sepatutnya tidak harus berlaku. Pengarang terpaksa menulis hal-hal demikian dalam karya berbentuk kreatif kerana berasa ia wadah yang sesuai berbanding tulisan-tulisan biasa. Hal ini kerana, karya sastera adalah seperti kod rahsia yang maksudnya ditujukan hanya kepada pembaca intelektual sahaja, walaupun pembaca bukan intelektual boleh terhibur selepas membacanya.
Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, menulis dalam sebuah esei bertajuk “Sasterawan Ilmu dan Renungan” (Pabila Hujan Turun, DBP 2015) bahawa sasterawan-sasterawan yang berilmu sekarang ini lebih berani dan canggih lagi memasukkan unsur-unsur kejiwaan atau psikologi yang jauh lebih mendalam dalam karya-karya. Pendekatan ini pasti menjurus kepada keperihalan psikologi yang banyak tersembunyi dan yang banyak dighaibkan oleh Illahi. Keperihalan psikologi ini tentu sahaja menjurus kepada manusia dengan asal usulnya yang melibatkan ilmu antropologi, perkembangannya dan tikaian-tikaian yang dilaluinya. Penerjunan ke dalam ilmu psikologi ini akhirnya bukan sahaja lebih mengenal manusia lebih dalam, tetapi juga mengenal Allah dengan lebih khusus.
Nur Syahmin Shamsol, melalui naskhah bertajuk “Ayah” yang disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lalu, cuba menyoroti kemelut hitam dalam sebuah keluarga. Uniknya ialah, Nur Syahmin Shamsol mendapat ilham untuk penulisan naskhah cerpennya berdasarkan pada sebuah lukisan klasik. Ia suatu yang bagus kerana menunjukkan kepada masyakat sastera di luar, bahawa setiap pengarang perlulah menjenguk lebih jauh daripada kebiasaan dalam urusan penulisan karya kreatif. Ranah sastera kita masih terlalu sempit dengan kisah-kisah kemanusiaan yang ditulis sejak dahulu lagi. Pembaca juga ingin mengetahui kisah-kisah berlatarkan kejuruteraan, perubatan dan beberapa ilmu lain yang lebih mencabar selain daripada cerita-cerita yang sudah biasa disampaikan.
Sebagaimana sebuah kisah keluarga yang tipikal, sudah tentu ada peristiwa masam manis di dalamnya. Naskhah itu ditulis dengan sedikit kelainan daripada realisme biasa. Pengarang tidak memudahkan aliran cerita. Maka naskhah ini memerlukan bacaan teliti agar pembaca tidak terlepas dengan apa yang sebenarnya cuba hendak disampaikan oleh pengarang. Hal ini kerana, pada bahagian terakhir naskhah itu, kunci utama kepada dalang kejadian, sukar untuk dikenal pasti. Siapa dan siapa identiti yang sebenarnya kepada dalang pembunuhan? Penuh dengan tanda soal. Ada rahsia, skandal dan insiden jenayah yang berbalut dengan misteri. Tidak ubah seperti drama bersiri 1899 yang diarahkan oleh Baran bo Odar.
Watak utama, Aayan, baharu sahaja kehilangan ayah dan ibunya akibat kemalangan. Mujurlah rakan karib ayahnya, Encik Firdaus, sudi mengambilnya untuk diajak tinggal bersama-sama. Dan seterusnya dijadikan anak angkat. Aayan berasa sungguh bernasib baik. Namun kegembiraan yang diharapkan tidak berpanjangan. Adatlah, kalau seseorang menumpang dalam rumah asing. Puan Aliya, isteri kepada Encik Firdaus, kurang senang dan terganggu dengan kehadiran Aayan. Ekspresi kebencian jelas terpancar dalam layanan Puan Aliya ke atas dirinya. Seolah-olah Puan Aliya mahu segera menyingkirkan kewujudan Aayan. Apa boleh buat, Aayan harus menerima dengan reda keadaan dirinya dalam keluarga angkat.
Manakala, abang angkat Aayan, Azim, lebih gemar berkurung dalam bilik dengan minatnya menyelusuri cerita lagenda dan dongeng. Seorang yang eksentrik dan lebih suka melayan hobi secara sendirian. Azim digambarkan sebagai pelajar pintar dalam akademik, namun malangnya, telah menamatkan hayat hidupnya sendiri dalam bilik dengan sepucuk pistol. Mayatnya berada di dalam bilik ketika pihak diperiksa oleh pihak polis. Kelak, Azim, abang angkat Aayan, hidup semula selepas menyamar menjadi pemandu kereta polis. Siapakah Azim yang mati membunuh diri di dalam bilik sebelum ini? Azim menyerahkan sebuah lukisan dan diari ayahnya. Di situlah, naskhah menjadi berkedut seribu, dan pembaca mula menggaru-garukan kepala dengan insiden yang meragukan malahan menjanggalkan pemahaman.
Sedangkan Puan Aliya, bermain kayu tiga di belakang pengetahuan suaminya. Kononnya Puan Aliya berasa kesunyian dalam rumah sepeninggalan suaminya yang sibuk di luar rumah sebagai seorang sejarahwan. Perbuatan tidak bermoral itu, dimaklumi oleh Aayan dan Azim. Tetapi, mereka berdua terpaksa mendiamkan diri, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku di dalam rumah. Adakah mereka diugut oleh Puan Aliya untuk tidak melaporkan hal itu kepada Encik Firdaus? Rahsia yang kurang menyenangkan itu juga menambah tekanan kejiwaan kepada Aayan di dalam rumah yang semakin melemaskan jiwanya. Memang benarlah, tiada istilah keluarga yang benar-benar bahagia dan harmoni seratus-peratus dalam kehidupan nyata.
Suatu insiden telah berlaku selepas sahaja Azim membunuh diri. Seluruh rumah mengalami gangguan bekalan elektrik. Dengan bantuan cahaya daripada telefon bimbit, Aayan menyedari kemunculan ayahnya dalam rumah yang baharu sahaja balik daripada kerja. Aayan disuruh oleh ayahnya untuk mengambil beg sandang dalam kereta. Dalam garaj kereta yang gelap gelita, ketika Aayan berusaha untuk mendapatkan barang yang dipinta Encik Firdaus, mulut dan hidungnya diserkup oleh tangan lelaki misteri. Aayan berjaya meloloskan diri daripada pelukan lelaki misteri itu. Aayan segera meluru ke dalam rumah dan melihat Encik Firdaus muncul dari dapur. Dia perlu memaklumkan kejadian itu kepada Encik Firdaus.
Ayah angkat Aayan meluru ke dalam garaj. Namun, ada yang memusykilkan ialah pada senyuman sinis pada wajah Encik Firdaus. Menurut pandangan Aayan, sepertinya ada sesuatu yang tidak kena. Aayan segera menghubungi pihak polis dan melaporkan situasi yang baru dialami tadi di dalam garaj. Sesudah menghubungi pihak berkuasa, Aayan tiba-tiba terdengar bunyi orang yang mengaduh kesakitan di dalam garaj. Rupa-rupanya, Encik Firdaus baharu sahaja selesai melakukan pembunuhan. Dalam genggaman tangan Encik Firdaus, terdapat sebilah pisau yang disaluti dengan kesan darah. Lelaki misteri yang menyerkup mulut dan pernafasan Aayan kini terkorban oleh ayah angkatnya. Sepatutnya, hal itu melegakan Aayan. Namun, Aayan bertindak spontan dengan merampas pisau dari genggaman tangan Encik Firdaus. Siapakah sesungguhnya Encik Firdaus dan lelaki misteri? Adakah mereka berdua merupakan individu yang sama? Hal itu tidak mampu dimengertikan oleh Aayan.
Kemudian berlakukah drama yang menambahkan kepelikan naskhah itu. Encik Firdaus bangkit dari tempatnya terjatuh, selepas ditolak oleh Aayan. Berapa usia Aayan? Kuat sungguh tenaga fizikalnya ketika bergelut dengan lelaki dewasa berumur 42 tahun. Aayan bingkas melarikan diri dari rumah itu. Sebaik sahaja berada di pintu utama, pihak polis tiba bersama-sama dengan Puan Aliya. Hal ini menambahkan kekalutan naskhah. Bagaimana Puan Aliya menyedari insiden yang berlaku dalam rumahnya? Dan mengapa dia ada bersama-sama dengan sekumpulan anggota keselamatan? Aayan meletakkan seluruh kepercayaannya kepada pihak polis dengan membawa mereka ke dalam garaj. Tetapi, apa yang berlaku di dalam garaj berubah menjadi terbalik. Encik Firdaus dilihat terbaring di situ. Sungguh menghairankan.
Aayan kebingungan. Aayan menyatakan bahawa ayahnya yang menceroboh masuk ke dalam rumah. Dan kini lelaki itu mati di tempat kejadian. Butiran laporannya kepada pihak polis telah menjadi bertentangan. Mana yang benar dan palsu? Puan Aliya menyalahi Aayan dan menuduh dialah si pelaku ke atas jenayah di dalam rumah itu. Aayan terkesima. Puan Aliya meluru ke arah mayat suaminya dan menangis bagaikan seorang dramatis. Dialog yang dilontarkan oleh Puan Aliya ke atas Aayan, sangat mengundang persoalan: “Semua ini salah engkau! Engkaulah yang membunuh keluargaku! Tidak cukupkah engkau membunuh keluarga kandungmu sendiri?” Di mata Aayan, Puan Aliya sungguh bijak mengambil kesempatan. Lakonannya itu telah mengelabui pandangan pihak polis.
Aayan didapati bersalah hasil daripada siasatan yang dilakukan oleh pihak polis. Cap jarinya dikesan berada pada sebilah pisau dalam kes pembunuhan. Dia bersendirian. Tiada saksi di tempat kejadian dan tiada sesiapa yang datang untuk membela dan mempertahankan keadilan di pihaknya. Aayan dianggap sebagai suspek utama pembunuhan Encik Firdaus. Dia dihantar ke juvana untuk menjalani hukuman. Dalam kereta polis, abang angkatnya muncul semula. Abang angkatnya menyerang pegawai polis yang duduk di sebelah Aayan. Pegawai polis yang pengsan itu, ditolak keluar dari dalam kereta. Pada detik itulah, identiti pemandu kereta polis itu dirungkaikan. Azim yang sebelumnya mati membunuh diri dalam bilik, kini muncul semula dan menyerahkan lukisan dan diari milik Encik Firdaus.
Lukisan yang diserahkan oleh Azim kepada Aayan sangat menarik perhatiannya.
Lukisan itu memaparkan sepasang kembar perempuan dan sepasang kembar lelaki yang berjumpa di dalam hutan. Apa yang lebih menakjubkan ialah seorang lelaki dan seorang perempuan dari pasangan kembar tersebut mengeluarkan sinaran yang menyebabkan seorang lagi kembar perempuan mula pengsan manakala kembar lelaki yang lain pula telah mengeluarkan sebilah pedang seakan-akan ingin membunuh kembar lelakinya yang bersinar itu. Lukisan yang aneh itu diberi judul, How They Met Themselves. Dihasilkan oleh Dante Gabriel Rosseti, seorang penyair English, pelukis, dan penterjemah dari England. Dan judul lukisan itu sama dengan catatan yang ditemui dalam buku Azim. Hal yang tidak terduga telah menjadikan Aayan semakin keliru dan teruja untuk ingin menyelidik lebih lanjut di sebalik misteri peristiwa itu.
Aayan menyelak lembaran diari tulisan Encik Firdaus. Diari tersebut merakam perjalanan rutin harian. Apakah tujuan abang angkat Aayan menyerahkan diari dan lukisan aneh itu kepadanya? Apa kaitannya dengan pembunuhan yang berlaku secara misteri itu? Pada bahagian hujung naskhah, segala persoalan dibiarkan tergantung tanpa kesimpulan. Bahkan Aayan bermonolog seketika di dalam kereta polis apabila mengenangkan kekabutan misteri yang menyelubungi insiden di dalam garaj. Siapakah pembunuh yang menyerupai ayah angkatnya pada malam itu? Mengapakah dia memiliki wajah dan perwatakan yang persis dengan ayah angkatnya? Mengapakah pembunuh misteri itu terdorong untuk membunuh ayah angkatnya dan Aayan? Adakah pembunuh itu ada hubungan dengan kes tembakan yang kian aktif di bandar mereka? Bagaimana kalau Puan Aliya sesungguhnya perancang insiden di dalam garaj?
Pengarang memanipulasikan perhatian pembaca dengan penceritaan yang menggabungkan unsur kejiwaan dan saspens serta misteri. Ketiga-tiga perencah itu sangat mustajab untuk mengetatkan tali penceritaan sehingga ke noktah terakhir. Tragedi yang dialami oleh Aayan pada malam itu sememangnya di luar jangkaan kebiasaan. Adakah itu tipu helah untuk melindungi idenititi mereka dalam melakukan jenayah? Dan adakah lukisan yang dihasilkan oleh Dante Gabriel Rosseti telah merasuki fikiran dan obsesi Azim? Azim mengatakan kepada Aayan, bahawa lukisan itu menjadi pentunjuk kepada misteri pembunuhan di dalam garaj. Adakah Aayan mampu menemui jawaban kepada semua persoalan yang masih lagi kabur itu?
Nur Syahmin Shamsol perlu sedar bahawa naratif yang dihasilkannya itu memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang ampuh sebelum dikarang. Barangkali dia mendapat inspirasi untuk menulis cerpen berdasarkan lukisan How They Meet Themselves. Itu percubaan yang bagus dan wajar disokong. Namun, bukan mudah menukangi kisah yang menggabungkan beberapa elemen seperti yang cuba dipersembahkan melalui naskhah “Ayah”. Tanpa pertukangan yang mantap dan penceritaan yang teliti dan meyakinkan, naskhah yang dikerja dengan kaedah sedemikian hanya menyerlahkan kekurangan yang dimiliki oleh pengarangnya. Terdapat beberapa kelemahan yang mengganggu keseluruhan struktur naskhah Ayah. Terutamanya pada jalan cerita yang dikarang dengan agak tergesa-gesa dan terlalu mudah. alahan karakter Aayan tidak digambarkan dengan sepenuhnya.
Beberapa pengarang besar dunia, misalnya, Umberto Eco, pernah menghasilkan novel-novel (The Prague Cemetry, Numero Zero dan lain-lain) dengan kaedah sedemikian. Franz Kafka dan Jorge Luis Borges serta Haruki Murakami yang menulis dalam genre cerpen juga sinonim dengan pendekatan misteri dan saspens. Apa yang membezakan kualiti kerja mereka ialah ketelitian yang terakam pada beberapa aspek seperti karakter, aliran cerita dan kedalaman renungan pada setiap watak utama. Saya mencadangkan agar Nur Syahmin Shamsol mengakrabi karya-karya tulisan pengarang besar dunia yang menghasilkan karya dengan pendekatan yang diminatinya itu. Hal itu akan merangsang Nur Syahmin Shamsol agar lebih bersabar dan banyak membuat kerja rumah (penyuntingan) sebelum menyiapkan manuskrip.
Sebagaimana kelaziman pengarang-pengarang pemula, mereka mudah ghairah dengan tema-tema besar dan kompleks untuk memukau editor dan pembaca, tanpa menyedari tahap kemampuan dalam aspek penceritaan. Cerita yang digarap dengan elemen-elemen seperti saspens, misteri dan pembunuhan, bukan sahaja memerlukan bakat penceritaan yang menyakinkan, malahan menagih beberapa bahan bantu untuk menyokong pembinaan plot dan karakter. Apa-apa pun usaha unik yang dilakukan oleh pengarang naskhah “Ayah”, Nur Syahmin Shamsol wajar diberikan galakan. Semoga akan muncul naskhah-naskhah yang lebih baik daripada “Ayah” datang daripada tangannya dan juga pengarang-pengarang muda yang lain selepas ini.