Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Antara Cahaya dan Kegelapan dalam ‘Wabak’
  • WBS

Antara Cahaya dan Kegelapan dalam ‘Wabak’

Utusan Sarawak 1 day ago

HUBUNGAN alam termasuk bencana dengan kehidupan manusia memperlihatkan suatu jalinan yang sangat istimewa dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana alam termasuk bencana dapat mengungkapkan sesuatu yang bermakna kepada manusia, khususnya sebagai perenungan dan muhasabah.

Musibah atau penyakit itu sendiri dikatakan sebagai kafarah(penghapus dosa) bagi orang beriman. Tentunya wabak yang lebih berat sifatnya akan dilihat sebagai ujian keimanan dan peluang untuk meningkatkan kesabaran serta ketaatan.

Gabriel Garcia Marquez dalam Love in the Time of Cholera mengungkapkan bahawa penyakit bukan penghapus dosa secara literal tetapi merupakan metafora kepada cinta, kerinduan dan ujian kepada keteguhan jiwa manusia.

‘Pengampunan’ dalam konteks ini ialah pembebasan daripada beban emosi dan masa lalu. Menurut kajian oleh Cahyaningrum Dewojati, cerita hikayat-hikayat lama kadang-kadang mentafsirkan wabak sebagai kemurkaan Tuhan akibat kelalaian manusia terhadap syariat.

Pemulihan daripada wabak dikaitkan dengan usaha bertaubat dan kembali kepada ajaran agama.

Perkara itulah yang cuba disisipkan oleh Joe Julaihi menerusi cerpennya – ‘Wabak’ – yang menjadi metafora tentang penyalahgunaan kuasa, malah menjadi arkib budaya tentang cara masyarakat memahami dan menangani bencana.

Wabak tentunya bukan sekadar persoalan kesihatan tetapi juga boleh menjadi fenomena kemanusiaan yang kompleks malahan boleh menunjukkan kedalaman cinta seperti yang dipaparkan melalui watak Lanang dan Cahaya.

            Salah satu kekuatan cerpen ini adalah daripada struktur pembukaannya yang menyentap sehingga boleh melekapkan minat pembaca untuk meneruskan pembacaan.

Cerita dimulai dengan suasana malapetaka yang diolah secara dramatik yakni tentang wabak besar yang digelar Wabak Kemurkaan Tuhan. Pengarang mengolah perenggan awal melalui deskripsi fizikal penyakit melalui beberapa simptom seperti kepeningan, bisul, nanah, bau busuk dan reput isi yang berfungsi sebagai shock effect atau kejutan untuk terus menarik pembaca.

Pembukaan yang menggugah emosi ini menetapkan leitmotif cerita, iaitu tentang kemusnahan dan ancaman maut yang menyeluruh sehingga memberi dampak negatif kepada masyarakat.

Pengarang bijak mengalih nada dan irama cerita daripada babak pertama yang tegang dengan gambaran wabak yang menjijikkan lantas memasukkan interaksi melalui dialog antara Lanang dan Pak Jebat yang ringan dan humoris.

Kontras ini mencipta narrative breathing space sebagai ruang untuk menghilangkan ketegangan emosi pembaca sebelum cerita kembali kepada fokus persoalan yang serius dan berat.

Wayne C. Booth dalam The Rhetoric of Fiction menegaskan bahawa variasi nada ini berfungsi untuk menjaga pengekalan emosi antara pembaca dengan teks. Pengolahan cerpen sebegini membuatkan tragedi seterusnya terasa lebih menusuk.

Secara asasnya, perkembangan emosi yang diolah oleh pengarang bergerak secara beransur-ansur dalam beberapa peringkat:

  1. Kejutan dan ketakutan (deskripsi wabak)
  2. Kehangatan dan keakraban (adegan Lanang merawat Cahaya)
  3. Kemarahan dan pembalasan (adegan Lanang meludah kubur Mandulika)
  4. Kesedihan mendalam (kematian Cahaya)
  5. Misteri dan Transendensi (kemunculan makhluk Hayat)
  6. Kepasrahan (Lanang merelakan pemergian Cahaya)

Perjalanan naratif ini memberi pembaca emotional arc yang memuaskan dari sudut penceritaan. Selain itu, pengarang juga mengolah karyanya menggunakan gaya penceritaan berlapis.

Linda Hutcheon mengatakan bahawa historiographic metafiction sebagai bentuk naratif yang menggabungkan kisah peribadi dengan sejarah kolektif. Menerusi cerpen ini, naratif itu bukan hanya berkisarkan tentang penyakit Cahaya tetapi turut mengungkapkan latar sejarah wabak yang berkisarkan tentang kisah Syahbandar dan pengkhianatan Mandulika.

Lapisan naratif ini membina kedalaman inti cerita menjadikan latarnya hidup dan memberikan dimensi moral, iaitu antara pengorbanan demi keselamatan dengan kekejaman terhadap orang luar.

Pembaca juga memperoleh pemahaman tentang sebab-musabab tragedi yang dialami oleh Lanang, terkait dengan penderitaan peribadinya dalam konteks sosial-politik desa.

            Antara kelebihan pengarang dalam menggerakkan plot cerpen ini adalah tatkala memasukkan klimaks ganda (double climax) dalam cerpen ini. Cerpen ini mempunyai dua klimaks:

  1. Klimaks Tragedi Realistik – kematian Cahaya digambarkan oleh pengarang melalui teknik visual dramatik (darah memancut, api Kandil terpadam)
  2. Klimaks mistik – kemunculan makhluk Hayat dengan tawarannya untuk menghidupkan Cahaya.

Sememangnya struktur klimaks ganda jarang digunakan, tetapi dalam cerpen ini, teknik ini berfungsi untuk menggabungkan realisme suram dengan unsur magis-spiritual.

 Pengarang berjaya membina kelainan pada klimaks cerpennya yang menjadi titik puncak ketegangan emosi dan konflik yang menentukan hala tuju cerita. Klimaks dalam cerpen ini menjadi momen paling emosional atau dramatik, iaitu ketika wabak mencapai kemuncak korban atau ketika watak membuat pilihan moral besar.

Albert Camus dalam The Plague berpendapat bahawa puncak krisis wabak bukan sahaja menguji fizikal tetapi ‘membongkar segala lapisan kemanusiaan sama ada untuk memilih solidariti atau menyerah kepada egoisme.’ Fungsi klimaks begitu penting untuk menunjukkan keputusan akhir watak ketika diuji oleh kemustahilan hidup.

            Kebolehan pengarang dalam mengekalkan keutuhan fokus watak patut diberikan pujian sehingga pembaca tidak hilang arah di samping mengekalkan emosi penceritaan.

Dalam cerpen ini, watak Lanang bukan sekadar pelaku tetapi juga ‘teras’ yang mengikat tema, konflik dan klimaks. Anton Chekhov menegaskan supaya pengarang harus menunjukkan emosi dan prinsip watak melalui tindakannya; bukannya penjelasan yang berjela-jela. Perkara ini telah diaplikasikan oleh pengarang dalam penulisan cerpen ini.

            Sememangnya Joe Julaihi merupakan antara penulis muda yang menjanjikan di Bumi Kenyalang.

            Namun, cerpen ‘Wabak’ini bukanlah karya terbaik pengarang. Dalam cerpen ini, adegan dan deskripsi yang diolah oleh pengarang kadangkala terlalu panjang, khususnya deskripsi tentang wabak pada awal cerpen termasuk proses rawatan yang dilalui oleh Cahaya.

Walaupun gambaran yang diolah itu menunjukkan kekayaan visual pengarang, pengulangan frasa seperti ‘parah dan semakin parah’ dan ‘kian dahsyat dan semakin dahsyat’ yang berulang dalam jarak dekat menyebabkan irama bacaan menjadi berat dan pembaca akan mengalami kehilangan impak kerana overemphasis.

Pengarang disarankan untuk memecahkan maklumat latar menjadi beberapa selitan (intercut) di antara adegan Lanang dan Cahaya supaya terasa lebih organik; bukan seperti info dump.

            Selain itu, peralihan nada penceritaan dalam cerpen ini juga kadangkala dilakukan secara mendadak. Transisi daripada humor ringan (adegan Pak Jebat) beralih ke dunia realiti bahawa Pak Jebat sudah meninggal dunia dilakukan secara sangat mendadak.

Walaupun kesan “kejutan” ini menarik, pembaca akan terasa sedikit janggal kerana tidak ada foreshadowing halus sebelum itu. Peralihan daripada realisme suram kepada kejadian mistik (kemunculan makhluk Hayat) juga berlaku secara mendadak seolah-olah merupakan dua dunia yang tidak cukup diikat dari awal.

            Sepatutnya pengarang memberikan bayangan awal tentang kewujudan dimensi lain seperti menggambarkan kewujudan cahaya berkelip-kelip di pohon sebagai isyarat bahawa sesuatu yang berlaku itu bukan mengikut kebiasaan.

Untuk babak Pak Jebat pula, pengarang boleh menyelitkan petanda kecil sebelum pendedahan kematiannya. Umpamanya, pengarang boleh menggambarkan watak Lanang yang berasa pelik mendengar suaranya yang semakin menjauh dan kabur.

Biarpun pengarang cuba membina kelainan dan kekuatan pada cerpennya dengan mewujudkan ‘klimaks berganda’ namun itu juga boleh membuka ruang kelemahan pada cerpen itu sendiri.

Klimaks pertama, iaitu tentang kematian Cahaya diolah dengan mantap oleh pengarang secara emosi dan visual sehinggakan klimaks kedua (tawaran makhluk Hayat) terasa kurang menggugah kerana pembaca sudah mencapai puncak emosinya.

Lantas, bahagian mistik itu walaupun unik, sedikit berisiko terasa menjadi tempelan ‘cerita lain’ yang disambung selepas penutup dan menjadikannya terpisah daripada cerita asal.

            Untuk mengharmonikan jalinan plot terutama pada bahagian klimaks, pengarang disarankan untuk menjadikan kemunculan makhluk Hayat bukan berada pada bahagian peleraian atau penutup tetapi menjadi sebahagian daripada klimaks pertama.

Makhluk Hayat itu boleh muncul tepat sewaktu kematian Cahaya untuk menambahkan lagi elemen ketegangan pada cerpen berkenaan.

Pengarang juga boleh membina unsur saspens sebelum klimaks kedua dengan memberikan petunjuk tentang makhluk ini dari awal cerita supaya makhluk itu tidak muncul secara ex machina.

Antara kelemahan lain yang boleh diambil perhatian oleh pengarang ialah pacing akhir cerpen yang agak meleret. Umpamanya dialog perpisahan Cahaya, walaupun indah telah memanjangkan bahagian penutup sehingga momentum dramatik menjadi semakin berkurangan.

Pengarang boleh memadatkan perkara pada babak akhir supaya selepas keputusan Lanang dibuat, bahagian penutup mengalir lebih padat menuju kesimpulan.

Pengarang perlu bijak menjadikan setiap gambaran di babak akhir akan membawa nilai emosi baharu; bukannya mengulang rasa yang sudah dicapai oleh pembaca.

Dalam menghasilkan sebuah karya kreatif, pemilihan nama watak kadangkala bukan hanya berpaksi kepada ‘sedap didengar’, tetapi boleh dijadikan identiti, simbol dan persepsi awal pembaca terhadap karakter.

A. Samad Said menegaskan bahawa ‘nama watak adalah sebahagian atmosfera karya’ yang perlu selari dengan konteks zaman, geografi dan etnik. Perkara ini perlu untuk mengekalkan pembaca dalam ‘dunia’ cerita.

Haruki Murakami pula sering memilih nama dengan lapisan makna, kadang-kadang merujuk kepada muzik, mitos atau fenomena alam. Nama watak boleh menjadi metafora bagi peranannya.

Perkara ini jugalah tentunya menjadi pertimbangan pengarang menamakan wataknya dengan nama Lanang dan Cahaya yang mempunyai maksud yang tersendiri.

Namun kekuatan ini perlu diperkukuh oleh pengarang supaya nama ‘Cahaya’ yang sangat kuat tidak hanya berfungsi secara literal, belum cukup digerakkan sebagai metafora yang konsisten dari awal sehingga akhir.

Disarankan supaya pengarang menjalinkan ‘cahaya’ sebagai benang merah atau tali yang mengikat naratif, iaitu daripada cahaya kehidupan, cahaya cinta, cahaya yang berkelip di pohon sehinggalah cahaya makhluk Hayat.

Nama ‘Cahaya’ juga perlu dibangunkan dari aspek leitmotif. Umpamanya, setiap kali ‘Cahaya’ muncul, gunakan medan makna yang selari dengan nama tersebut seperti terang, hangat, pudar, berkelip dan lain-lain untuk mengikat makna literal dan makna emosi.

Penambahbaikan ini akan menjadikan kekuatan bahagian penutup cerpen menjadi lebih mantap dengan unsur simbolik.

Cerpen ini sememangnya mempunyai kekuatan gaya bahasa yang kaya dengan imejan. Pemilihan kata-kata seperti ‘melahap segala’, ‘riuh-rendah dengan sunyi senyap’ memberikan tekstur dan nilai puitis pada prosa. Bahasa berlapis yang digunakan telah menggabungkan keindahan dan kekejian sehingga mewujudkan kontras emosi yang kuat.

            Selain itu, penggunaan repetisi telah meningkatkan lantunan emosi seperti pengulangan kata atau frasa seperti ‘kian parah dan semakin semakin parah’, ‘dahsyat dan mengerikan’ telah mencipta irama yang menekankan intensiti situasi.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah repetisi digunakan secara berlebihan (seolah-olah tanpa kawalan) sehingga mengurangkan kekuatan retorik.

Contohnya penggunaan frasa “parah dan semakin parah” telah diulang beberapa kali dalam jarak dekat sehingga memudarkan kesannya kepada pembaca. Pengarang disarankan menggunakan variasi sinonim atau metafora baharu setiap kali menekankan keadaan parah supaya pembaca mendapat pengalaman bahasa yang segar.

            Antara kelebihan pada pengarang ialah kekuatan bahasanya yang mampu mengolah teknik deskripsi dengan baik. Kekuatan visual yang tinggi memberikan gambaran yang jelas kepada pembaca untuk mendalami penderitaan Cahaya.

Gambaran tentang wabak diolah oleh pengarang dengan hidup. Contohnya: ‘…timbul bisul-bisul. Kian besar, dan kian membesar, seumpama saiz guli … mengalir nanah yang sungguh busuk memualkan …’.

            Selain itu, pengarang juga bijak menggandingkan unsur lisan dan sastera tinggi. Dialog Pak Jebat dan Lanang telah menggunakan bahasa percakapan Melayu yang ringan mengimbangi gaya bahasa naratif yang lebih berlapis.

Pengarang telah berjaya memberi nilai keaslian pada watak – tidak dibuat-buat agar tidak tenggelam dalam gaya naratif yang terlalu formal. Cuma pengarang jangan terlalu teruja menggunakan kata arkaisme seperti ‘pawaka’ yang terasa janggal penggunaannya malah menimbulkan risiko ketidakfahaman pembaca dengan konteks ayat.

Jikalau pengarang masih ingin mengekalkan gaya berkenaan, boleh diberikan imbuhan keterangan ringkas melalui naratif supaya pembaca tidak terpisah daripada aliran cerita.

Tidak diragukan tentang kekuatan cerpen ini di tangan Joe Julaihi sebagai pengarang yang mempunyai potensi untuk lebih menyerlah pada masa depan. Cuma pengarang perlu lebih bijak memasukkan elemen emosi dalam karyanya.

Aspek emosi watak terasa kurang menusuk; mungkin disebabkan oleh kecenderungan pengarang yang menggunakan ayat yang terlalu panjang; kadang-kadang dengan klausa yang bertindan sehingga menghilangkan tumpuan pembaca pada imej utama.

Pengarang juga perlu mengelak untuk menyatakan perasaan watak secara terus berbanding memaparkan reaksi fizikal, bahasa tubuh atau suasana yang membuat pembaca turut merasai kesedihan itu. Malahan, watak yang ditonjolkan tidak banyak mempamerkan konflik batin yang kompleks atau lapisan emosi yang bertindih melalui monolog dalaman.

Sepatutnya watak dibiarkan untuk berdebat dengan dirinya sendiri atau mengimbas memori yang menguatkan dilema emosi. Perkara ini menyebabkan pembaca ‘hilang’ daripada garis cerita serta tidak dapat “hidup” dalam kepala watak dan memahami rasanya secara intim.

            Rumusan awal dan akhir tetap sama: cerpen ini bukanlah karya terbaik pengarang (ada cerpen lain karyanya yang jauh lebih baik) tetapi karya ini tetap berjaya menyerlahkan kekuatannya sebagai salah seorang penulis muda yang mempunyai potensi dan masa depan yang cerah dalam dunia penulisan.

Cuma tidak ada titik kepuasan pada seorang penulis yang pastinya ingin mencari titik kelemahan dan menonjolkan setiap kelebihan dalam karya.

            Terus konsisten menulis. Teruskan menggali segala kelemahan diri, seperti kata Toni Morrison:

Kau harus menemukan sebuah kunci, sebuah petunjuk untuk mendapatkan gaya menulismu sendiri. Sebab yang kau miliki hanya dua puluh enam huruf dalam abjad itu, beberapa tanda baca dan beberapa kertas.

Oleh Abang Median Abang Said

Continue Reading

Previous: Kata Konkrit dan Kata Abstrak dalam Sajak
Next: Puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.