KUALA TERENGGANU: Ketika mula menapak dalam bidang minyak dan gas lebih lima dekad lepas, Hamzah Mamat tidak menyangka industri tersebut kini menjadi antara kerjaya idaman berikutan bayaran gaji yang dikatakan lumayan.
Menceritakan pengalamannya sebagai antara anak tempatan pertama bekerja dalam sektor minyak dan gas, Hamzah, 73, berkata, beliau memulakan kerjaya di pelantar minyak luar pantai pada penghujung 1968, sebagai buruh luar pantai atau dipanggil Roustabout.
“Ketika itu saya baru berumur 20-an dan bekerja sebagai buruh kampung sahaja. Pada waktu itu juga kerja-kerja eksplorasi cari gali minyak di luar pantai Semenanjung Malaysia baru sahaja dimulakan dan saya terima tawaran bekerja sebagai Roustabout dengan gaji pokok sebanyak RM225 sebulan. Jadual kerja pula dua minggu di luar pantai dan cuti rehat selama seminggu,” katanya kepada Bernama.
Pada 1978, demi menimba ilmu dan pengalaman Hamzah menerima tawaran bekerja sebagai pengendali telaga minyak oleh sebuah syarikat asing dengan bayaran sebanyak RM350 sebulan.
Katanya, pada waktu itu kemahiran berkaitan penyelenggaraan telaga minyak tidak dapat dipelajari di mana-mana institusi latihan dan ia hanya boleh dipelajari melalui pengalaman bekerja bersama kru yang sudah mahir.
Peluang Hamzah untuk meneroka bidang minyak dan gas terbuka luas apabila majikannya membawa masuk pengendali telaga minyak berpengalaman daripada Australia untuk mendedahkan pengalaman mereka kepadanya dan pekerja-pekerja am lain.
“Ia selari dengan Akta Pembangunan Petroleum yang diluluskan pada 1974 mensyaratkan syarikat asing beroperasi di Malaysia perlu melakukan pemindahan teknologi dan pengetahuan berkaitan minyak dan gas kepada rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata sekitar pertengahan 80-an, perkembangan industri minyak dan gas di Malaysia ibarat cendawan tumbuh selepas hujan apabila semakin banyak syarikat tempatan mula melibatkan diri dalam sektor berkenaan.
Perkembangan tersebut juga menjadikan kemunculan lebih banyak anak tempatan yang berkemahiran menjalankan operasi-operasi di luar pantai.
“Saya masih ingat sekiranya terdapat 10 orang pekerja mahir, sembilan daripadanya adalah bangsa Eropah manakala seorang sahaja rakyat Malaysia. Namun ia adalah sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.
Melihatkan perkembangan itu Hamzah menerima tawaran bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan telaga minyak milik rakyat Malaysia pada 1988 untuk mencurah khidmatnya kepada anak tempatan, sebelum menyertai Petronas pada 1993.
Hamzah yang bersara pada 2008 sebagai Penyelia Kanan Telaga Minyak di Petronas Carigali Sdn Bhd berasa bersyukur menyertai Petronas yang banyak membuka ruang kepada rakyat tempatan untuk menguasai industri minyak dan gas di Malaysia.
Katanya, generasi muda yang berkhidmat di Petronas seharusnya bersyukur kerana syarikat tersebut memberi banyak peluang kepada mereka untuk menimba ilmu melalui penubuhan pelbagai institusi antaranya Institusi Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) di Batu Rakit di Kuala Nerus yang kini telah melatih lebih 130,000 pelatih berkemahiran tinggi, sama ada di dalam atau luar negara.
Ditanya rahsia mampu bertahan selama 40 tahun dalam industri minyak dan gas, Hamzah berkata beliau sentiasa berfikiran positif dan berkeinginan tinggi untuk menimba ilmu.
“Kita juga tidak boleh mengeluh dengan bebanan kerja yang banyak atau terpaksa bekerja lebih masa. Kita perlu anggap semua itu adalah pengalaman yang mematangkan kita dalam apa jua bidang diceburi,” katanya. – Bernama