SIBU: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Dr. Annuar Rapa’ee kekal bertanding untuk mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.
“Pada hari ini, saya ingin mengumumkan Dr. Annuar Rapa’ee akan menjadi calon di kerusi DUN Nangka pada PRN Sarawak Ke-12 ini,” jelasnya ketika berucap merasmikan Showcase Usahawan Sibu di Dewan Kompleks Islam Sarawak Sibu, petang semalam.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberitahu, Dr. Annuar telah berkhidmat dengan baik kepada penduduk Sibu dengan melakukan pelbagai perubahan dan pembaharuan.
“Saya berharap Dr. Annuar akan terus dapat berkhidmat kepada penduduk di Sibu untuk lima tahun akan datang. Beri kemenangan besar kepadanya (pada PRN-12),” ujarnya sambil sambil mendapat tepukan gemuruh.
Dr. Annuar yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam serta Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi Sarawak akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Nangka untuk penggal ketiga.
Dr. Annuar yang berusia 58 tahun, bertanding pertama kali pada PRN-10 pada 2011 dan berjaya memperolehi majoriti 5,302 undi. Pada PRN-11 (2016), beliau berjaya memperolehi 7,617 undi.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Sr. Zaini Mahdi dan yang lain.
Oleh AKUN GIMAN