Oleh: Nur Syahmin Samsol
“ANNA”.
Nama itu menguasai bibirku pada tika itu, membinasakan mahligai pemikiranku yang kini bertakhtakan penderitaan. Kewujudan Anna dalam kehidupanku ibarat karunia terindah dalam susun takdir Ilahi. Sewaktu dunia membuka kata, penuh teka dan silang makna, Anna mendakapku dengan belaian kasih yang tidak terhingga. Dirinya ibarat gerimis sewaktu terik mentari, menyuburkan pepohon yang ketandusan kasih. Kehilangan Anna membaluti atmaku dengan penyesalan yang menggoncang keheningan. Kini, gerimisku telah pergi dan aku bagaikan daun-daun yang mengering ketandusan kasih seorang sahabat.
Kisahnya bermula sebulan yang lalu. Hidupku mula dilakari kegelapan setelah Anna disahkan hilang. Hasil pencarian hanya menggandakan persoalan yang muncul pada waktu tersebut. Keberadaan terakhir Anna telah dirakam melalui rakaman CCTV asrama yang menunjukkan dirinya berlari meninggalkan asrama pada hujung minggu. Anna kelihatan memakai baju dan selendang berwarna putih dengan kasut yang aku hadiahkan kepadanya.
Masih lagi bermain di gawang pemikiranku, kerancakan pergaduhan kami sebelum Anna meninggalkan asrama pada hari tersebut. Aku, Mina, yang merupakan sahabat karib dan teman sebilik Anna telah bergaduh dengan Anna mengenai hubunganku dengan Faizal, murid baharu di sekolah. Seribu cacian dan kalimat kasar mengenai Faizal telah dilontarkan Anna kepadaku. Kata Anna, Faizal seorang yang zalim dan bertopengkan malaikat. Dan aku katanya, sungguh hanyalah wanita jahil yang terpedaya dengan kalimat manis Faizal. Mendengar itu, amarahku mula menggunung dan benteng kesabaranku runtuh disebabkan gelora api kebencian. Gelora ini menghancurkan jalinan kasih persahabatan antara kami berdua. Anna lalu pergi meninggalkan asrama dan lenyap dari kehidupanku sehingga sekarang.
Di mana Anna? Mengapa Anna menghilangkan diri? Adakah aku puncanya? Persoalan demi persoalan bergema dalam ruang adicita yang rumit. Dengan berlumurkan darah sesal yang melimpah di atas pentas hukuman, aku nekad untuk menjadi penulis noktah kepada naratif ini.
“Anna tidak menghilangkan diri, aku pasti!”
Bicaraku memamah ketakutan yang membaluti sukma untuk menamatkan naratif yang penuh tanda soal ini. Dengan berbekalkan pesanan yang terdapat dalam telefon Anna, akanku cari dalang kehilangannya sehingga ke lubang cacing.
Kehilangan Anna pada hari tersebut sememangnya ibarat ribut taufan yang tidak dapat diramal. Datang tanpa diundang dan pergi meninggalkan duka yang dalam. Satu-satunya peninggalan yang dapat membantuku ialah pesanan dari telefon yang ditinggalkannya sewaktu berlari keluar meninggalkan asrama. Satu persatu kata kunci kumasukkan dan genap sebulan, akhirnya terpampanglah wajah kekasihnya, Asy yang menghiasi bahagian homescreen telefon tersebut.
Siapa yang tidak mengenali Asy? Jejaka idaman para perempuan dan sangat terkenal di sekolah. Terdapat beberapa individu yang mentamsilkan Asy sebagai seorang malaikat bertubuh manusia. Wajahnya tampan, sifatnya yang dihiasi keimanan dan latar belakangnya yang serba sempurna menyebabkan Asy menjadi rebutan ramai. Mungkin kerana itulah ramai perempuan iri terhadap Anna yang telah memilki hati Asy. Anehnya, sewaktu aku menyebut nama Asy di hadapan Anna di asrama, wajah Anna mula bertukar benci. Adakah hubungan mereka hanyalah pertunjukan semata-mata? Percintaan yang bertamsilkan pementasan drama, memaparkan kemesraan atas dasar skrip semata-mata.
Aku sisihkan persoalanku mengenai hubungan Anna dan Asy. Mataku mula berpusat pada pesanan yang terdapat dalam telefon Anna. Satu persatu pesanan kubuka dan baca. Aku berhenti pada pesanan antara Anna dengan seorang perempuan bernama Maria. Siapakah Maria dan mengapakah Maria ingin Anna mati? Adakah Anna sudah tiada di dunia ini? Pertanyaan ini menusuk dan memulas atmaku sedalam-dalamnya. Kemasyghulan dan kepiluan kian menebal dalam pelusuk jiwaku. Namun sebahagian sukmaku enggan menoktahkan naratif ini dengan menyimpul tanda sebuah tragedi ngeri.
Melalui pembacaanku, Maria rupanya mencintai Asy dan rasa bencinya kepada Anna berkemungkinan disebabkan oleh hubungan Asy dan Anna. Bukan itu sahaja, terdapat beberapa pesanan yang menunjukkan Anna mengugut Maria untuk memberitahu Asy mengenai pembuliannya terhadap Anna. Fahamlah aku bahawa Maria merupakan kenalan Asy. Aku terus menelefon Asy untuk berjumpa di pondok berdekatan asrama perempuan.
“Siapa Maria?” tanyaku sambil menunjukkan pesanan Anna dan Maria kepada Asy.
Lakaran senyuman pada raut wajah Asy yang rupawan mula terpadam. Dalam sentap nafas kesayuan, kebisuan Asy berganti tangisan kedukaan. Melakar cerita pada setiap cebisan kata, Asy akhirnya membuka rahsia yang lama disimpan. Satu persatu persoalan mula dirungkai.
Maria merupakan anak tunggal kepada majikan bapanya dan Asy sememangnya mengetahui perasaan Maria terhadap dirinya. Maria sering memburuk-burukkan Anna manakala Anna pula sering mengadu tentang pembulian Maria. Dia yang menjadi orang tengah dalam pertelingkahan tersebut tidak dapat melakukan apa-apa kerana takut jika silap langkahnya akan menyebabkan bapanya kehilangan kerja. Maka, dia nekad mengabaikan pertelingkahan tersebut sehinggalah dia mendapati ada kesan lebam pada tubuh Anna sehari sebelum Anna menghilang. Dia percaya lebam tersebut berpunca daripada perbuatan buli Maria. Baru saja dirinya cuba membaiki keadaan, Anna sudah pun disahkan hilang.
Tangisan Asy beransur lebat. Mengungkap bicara rindu bersulamkan kesyahduan, Asy mula mengungkapkan penyesalan. Cinta Anna seperti cahaya yang menyuluh samar atmanya yang kelam. Kini cahayanya lenyap dan kekelaman kembali menyelubunginya. Penyesalan yang menguasai dirinya membuka matanya kepada kebenaran. Dia bersetuju untuk membantu aku berjumpa dengan Maria pada keesokan harinya.
Jantungku berdegup rancak. Kesunyian yang menguasai kelas kosong tersebut akhirnya dihancurkan dengan bunyi pintu yang dibuka oleh seorang perempuan. Berambut panjang, lurus dan hitam. Tubuhnya langsing, membawa beg galas pada bahu kanannya dan kulitnya yang bersawo matang mencuri padanganku buat seketika.
“Maria?”
Mendengar panggilanku, dahinya langsung berkerut. Pandangannya tajam. Langkah demi langkah, dia mula mendekatiku dengan penuh keegoan. Tidak ada sebarang ketakutan terpapar pada raut wajahnya.
“Mana Anna?” ungkapanku langsung memamah debaran yang kurasai sejak tadi.
“Kenapa kau tanya?”
Persoalanku dijawab dengan persoalan yang menguji kesabaran. Aku mengulang tanya tetapi dengan nada yang lebih tegas.
“Haiwan hina dan miskin tu tak layak dikasihani! Dia sepatutnya sedar diri. Yang lebih layak dengan Asy ialah aku, bukan dia!”
Cacian demi cacian mula dilontarkan Maria. Entah apakah dosa Anna kepadanya sehingga dicaci dan dihina tanpa simpati. Caciannya itu menggambarkan sukmanya yang telah terlalu lama dikerat hiris, hingga berdarah nanah dan berparutkan dendam. Tiada penawar yang mampu menyembuhkan keparahan rasa bencinya terhadap Anna.
“Hanya kerana Asy, kau sanggup pukul Anna sehingga lebam?”
Amarahku mencapai kemuncak. Aku bertindak menolak manusia Maria dengan sekuat-kuatnya. Maria jatuh ke lantai bersama beg galasnya. Bunyi hentakan yang kuat memecahkan keheningan malam tersebut. Maria meraung kesakitan. Tetapi sebarang penyesalan mahupun kewalangan langsung tidak terpapar pada dirinya, seakan-akan dirinya suci daripada sebarang dosa dunia.
Tatapan mataku yang tertumpah pada pen yang terkeluar dari beg galas Maria. Ukiran ‘Anna’ jelas terukir pada badan pen tersebut. Itu memang pen kegemaran Anna yang sering dibawanya ke mana sahaja. Keberadaan pen tersebut di dalam beg galas Maria menimbulkan pelbagai persoalan yang mengkalutkan lagi ruang pemikiran. Apabila ditanya, Maria menjawab tidak tahu bagaimana pen itu berada di dalam beg galasnya.
Senja melakari langit pada keesokan harinya. Perkalutan kelmarin masih belum mencapai penamat yang kuinginkan. Diriku kini ibarat pemburu yang mencari mangsanya dengan api kemarahan yang tidak akan terpadam. Langkah demi langkah, tubuhku mendekati kelas Maria dan Asy. Anehnya, sanubariku tidak lagi dibaluti ketakutan yang mendalam seperti semalam. “Akanku akhiri naratif duka ini tak lama lagi, Anna”.
Kelas ‘Tingkatan 4 Anggerik’. Mataku memandang papan nama kelas yang usang di bahagian atas pintu kelas tersebut. Kedamatan kelas tersebut memecahkan keheningan koridor yang kulalui sebentar tadi. Tanganku menggenggam tombol pintu. Pernafasanku mulai sesak seakan-akan udara mula menjadi berat. Rasionalku turut bergelutan, menyoal sama ada langkahku ini berpaksikan kebenaran atau kesilapan. Tombol pintu kelas itu akhirnya aku pulas.
Berpuluh pasang mata menatap diriku sebelum kemudiannya tertumpah pada telefon masing-masing. Bunyi notifikasi telefon mereka menguasai perhatian. Puluhan pasang mata yang menatapku sebelum ini kini menusuk seorang perempuan iaitu Maria. Wajah Maria yang penuh kebencian semalam kini bertukar ketakutan.
“Rupanya memang kau dalang kehilangan Anna selama ini!” pekik Asy. ‘Apakah yang dilihat oleh mereka sebentar tadi?’ Tidak tahan dengan persoalan yang bermain di fikiran, aku membegal telefon salah seorang senior yang berada di sebelahku. Video rakaman pergelutan antara aku dengan Maria pada malam semalam rupanya telah dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp sekolah. Kekecohan rakaman video yang tersebar itu akhirnya menyebabkan penangkapan Maria. Sewaktu Maria dibawa ke balai polis, tangisan membanjiri wajah Maria yang menyangkal realiti.
“Tahniah, Mina! Disebabkan rakaman kamu itu, akhirnya kes kehilangan Anna dapat diselesaikan”. Senyuman lebar menghiasi wajah Asy yang indah.
Diriku hanya membalas bicaranya dengan senyuman. Naratif ini belum sampai ke penamat, sebaliknya hanya menggandakan persoalan di ruang fikirku yang rumit. Siapayang merakam video itu sekiranya bukan aku dan Asy? Bagaimana individu itu tahu tentang perjumpaan aku dan Maria?
Hari telah membebani pemikiranku dan aku nekad untuk berehat di bilik pada sebelah petang. Pada saat itulah aku teringat pada pen Anna yang dijumpaiku semalam. Pen bebola hitam dihiasi jaluran perak itu kelihatan biasa sahaja sehinggalah diriku menyedari satu keanehan pada pen tersebut. Apabila aku menekan bahagian hujung pen tersebut, bahagian bebola yang digunakan untuk menulis langsung tidak keluar dari pen tersebut. Sebaliknya, yang keluar ialah sebuah rakaman suara Anna yang menangis dipukul oleh Asy.
Fikrahku kini ibarat batu-batu yang berselerakan dalam longgokan kekeliruan. Adakah naratif kehilangan Anna selama ini hanyalah percaturan yang dibina oleh Asy? Persoalan tersebut melompangkan kepercayaanku kepada Asy selama ini. Betullah kata orang tua, luka yang dalam itu bukannya datang dari musuh sebaliknya datang daripada insan yang kita percayai. Betapa murahnya harga sebuah kepercayaan kepada si pengkhianat yang menutup mataku pada kebenaran. Mengapakah Asy nekad untuk tipu aku tentang lebam pada badan Anna? Apakah yang disembunyikan Asy? Aku nekad untuk bertemu dengan Asy.
“Jelaskan” bicaraku setelah memperdengarkan rakaman suara dari pen Anna. Kebiasaannya, apabila bukti jenayah ditemui, penjenayah langsung takut seakan-akan ditangkap oleh binatang buas yang mendahagakan darah mangsanya. Tapi raut wajah Asy masih tenang.
“Rakaman itu benar, aku dan Anna sememangnya pernah bergaduh dengan teruk sekali sehingga meninggalkan kesan lebam pada badan Anna. Tapi Mina, aku juga luka dalam pergaduhan itu. Pergaduhan itu berlaku sebulan sebelum Anna menghilang,” bicaranya dengan mata yang mula dibanjiri tangisan. “Aku tahu kau mengesyaki diriku disebabkan rakaman ini tapi percayalah Mina, aku bukanlah dalang dalam kes ini. Aku menipu kerana aku tidak mahu engkau tahu tentang sifat Anna yang manipulatif. Sejujurnya, aku dan Anna hanya menjalinkan hubungan kekasih kerana Anna mahu menjadi popular di sekolah. Disebabkan terlalu menyayangi Anna, aku rela dipergunakan oleh Anna untuk mencapai hasratnya. Namun semua ini mula memakan dirinya sendiri apabila dia dibuli oleh Maria.”
Penjelasan Asy ibarat sakti yang memadam keraguanku kepadanya. Kepercayaanku kepadanya mula kembali sehinggalah adiknya, Sarah, datang kepadanya. Mataku tertumpah pada kasut yang dipakai oleh Sarah. Kasut putih yang dihiasi dengan contengan marker bewarna. Aku yakin, kasut itu adalah hadiahku kepada Anna. Dan kasut itu juga yang digunakan oleh Anna pada hari dia disahkan hilang.
Asy menatapku dengan senyuman. Seandainya syaitan yang bertubuhkan manusia itu wujud, tidak mustahil Asy adalah salah satunya. Sekali lagi, dirinya mengaburi kebenaran dengan pendustaan, melalui kata-katanya yang bersulamkan fatamorgana semata-mata. Dalam samar sukma yang walang, dirinya mereka percaturan yang penuh dengan pendustaan. Aku hanyalah serpihan catur yang dimanipulasi olehnya.
Aku segera beredar dari situ. Asy tidak menahan diriku, sebaliknya sempat melambai padaku sebagai tanda selamat tinggal. Setelah aku hilang dari pandangannya, aku langsung menelefon pihak polis dan menyerahkan rakaman pen tersebut untuk siasatan lanjut. Saat polis ingin berjumpa dengan Asy, Asy telah melarikan lari dan keberadaannya tidak diketahui.
Namun begitu, siasatan masih diteruskan dan rumah Asy diperiksa untuk tujuan siasatan. Polis menjumpai selendang putih yang bercalitkan darah, dipercayai milik Anna, ditanam di kawasan belakang rumah Asy. Kasut yang digunakan oleh Sarah sebelum ini telah diambil dan polis mengesahkan kasut tersebut sememangnya serupa dengan kasut yang digunakan oleh Anna sebelum disahkan hilang. Pihak polis turut menjumpai rantai yang dipercayai milik Anna di atas meja belajar Asy. Namun begitu, segala penemuan ini masih lagi tidak menjawab persoalan mengenai keberadaan Anna. Jika benar Anna dibunuh, mayatnya masih belum dijumpai.
Hari berselang hari, keberadaan Asy dan mayat Anna masih lagi menimbulkan tanda soal. Hidupku mula kembali seperti biasa namun kebiasaan ini mula runtuh apabila aku menerima sebuah hantaran video view once daripada individu yang tidak kukenali. Rakaman dash cam dari sebuah kereta berdekatan kawasan perumahan Asy. Dalam rakaman itu terpapar sosok seorang perempuan yang kurindui, Anna. Anna kelihatan melarikan diri dari rumah Asy tanpa menggunakan selendang dan kasutnya. Mukanya lebam dan darah kelihatan mengalir daripada kepalanya. Bukan itu sahaja, Asy kemudiannya kelihatan ingin mengejar Anna tetapi niatnya terhenti apabila menyedari jirannya mula keluar dari rumah. Asy masuk ke rumahnya dan rakaman tersebut berhenti begitu sahaja. Adakah Anna masih hidup? Adakah ini bermaksud Asy bukanlah dalang kes kehilangan Anna? Persoalan demi persoalan menggandakan kerumitan dalam ruang fikrahku.
Aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada pihak polis. Pihak polis menemui mayat Asy di kawasan hutan berdekatan kawasan sekolah. Asy sudah mati? Mengapa? Mendengar berita itu, tinggi rasa inginku untuk memberitahu pihak polis mengenai video yang telah kutonton. Namun begitu, pihak polis tidak mungkin percaya padaku tanpa adanya video tersebut.
Beberapa minit kemudian, kejutan yang menghancurkan keheningan hariku menggunung apabila aku menerima sebuah bungkusan aneh di hadapan pintu bilik asramaku. Apabila membuka bungkusan tersebut, terdapat fail yang mengandungi sijil kelahiran Anna dan Faizal serta sijil kematian seorang lelaki yang tidak aku kenali. Berdasarkan sijil-sijil itu, Anna dan Faizal sebenarnya kembar yang tidak seiras dan sijil kematian itu merupakan sijil kematian bapa mereka.
Serentak itu, aku mula teringat akan kisah yang pernah diceritakan Anna kepadaku. Anna menceritakan bahawa ibu bapanya telah bercerai setahun yang lalu dan dirinya merupakan anak tunggal dalam keluarga tersebut. Naratif yang dilakar oleh cebisan kata Anna pada saat itu amatlah berbeza dengan kebenaran yang aku baca saat ini. Mengapakah Anna dan Faizal nekad untuk menyembunyikan hal ini daripada orang lain? Mengapakah Anna amat membenci Faizal selama ini? Adakah penyembunyian ini mempunyai kaitan dengan kematian bapa mereka? Seribu persoalan timbul tanpa jawapan. Aku hanya mampu sisihkan persoalan ini dalam ruang pemikiranku yang semakin ruwat.
Saat beriadah bersama-sama dengan Faizal pada sebelah petang, ingin sekali aku menanyakan kepada Faizal mengenai bungkusan yang kuterima. Namun, aku beranggapan masa ini bukanlah masa yang sesuai untuk berbicara mengenainya. Namun, mungkin mukaku yang berkerut memikirkan hal tersebut menyebabkan Faizal mula risau terhadapku.
“Sudah-sudahlah berfikir tentang kehilangan itu lagi, Mina. Bukankah polis sudah menutup kes itu?”
“Awak percaya yang Asy sekejam itu?” tanyaku.
“Kenapa tidak? Tubuh Anna lebam, kepalanya juga berdarah saat lari daripada Asy. Bukankah itu kejam?”
Aku terdiam. Bicara Faizal mengejutkanku. Bagaimanakah Faizal dapat tahu keadaan Anna saat melarikan diri dari rumah Asy sedangkan hanya aku yang mengetahui hal tersebut? Siapakah Faizal sebenarnya dan apa lagi yang rahsia yang belum dimafhumi oleh diriku yang naif ini.