
SIMANGGANG: Persatuan Penternak Burung Walit Simanggang digesa untuk menganjurkan kursus kepada ahlinya agar pengusaha burung walit kekal berdaya saing.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, berkata antara kursus yang difikirkan perlu seperti penggredan sarang yang telah diproses, dan sebagainya.
“Mengenai Persatuan Penternak Burung Walit, dalam pemikiran saya ia adalah sebuah persatuan yang akan menjadi suara pengusaha yang menjadi ahli dalam memajukan perniagaan rentas sempadan.
“Ia kerana saya difahamkan pelanggan bagi pemasaran sarang burung telah memasuki pasaran negara China.
“Justeru, para pengusaha perlu menjaga kualiti pengeluaran agar permintaan daripada pelanggan dapat dikekalkan kerana hasil yang berkualiti menjadi keutamaan, dan tidak terletak pada harga semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan upacara Angkat Sumpah Persatuan Penternak Burung Walit Simanggang di sini, semalam.
Jelasnya lagi, ahli perlu memahami hala tuju persatuan yang telah digubal sebagai garis panduan dalam menguruskan aktiviti agar apa yang termaktub dilaksanakan dengan cekap, dan efisien.
Dalam upacara tersebut, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang mengucapkan tahniah kepada barisan ahli jawatankuasa Persatuan Penternak Burung Walit Simanggang bagi sesi 2023-2025 kerana telah dipilih dan diberi kepercayaan memikul tanggungjawab dalam persatuan.
Sementara itu, Chong Kui Min dipilih sebagai pengerusi, Yap King Ping dipilih timbalan pengerusi, sementara tiga jawatan naib pengerusi iaitu Lau Chin Ping, Jee Kein Howe, dan Kong Kee Ong.
Ngu Piew Cheng dipilih sebagai setiausaha, Ngu Piew Cheng dipilih sebagai bendahari dan empat dilantik sebagai penasihat iaitu Temenggong Kueh Aik Seng, Kapitan Tay Yaw Ming, Lai Han Kim dan Hii Ting King.
Tay Cho Seng dilantik sebagai penasihat undang-undang persatuan.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Perhutanan Sarawak Semilan Ripot @ Ricky, Pengerusi, Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Anthony Abell Chendan, Pengerusi Persatuan Penternak Burung Walit Sibu Tang Sik Ping, dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Burung Walit dan Pertanian Baram Lio Ung Shen.
Oleh Adi Safarman