
KUCHING: Anjung Tris Family Foodcourt, pusat makanan berkonsep keluarga, dirasmikan hari ini.
Terletak di Jalan Matang di sini, ia menjadi tarikan baharu kepada penduduk setempat dan pelancong yang berkunjung ke situ.
Praperasmiannya disempurnakan oleh Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Dato’ Sri Mohd Naroden Majais.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pemilik Anjung Tris Family Foodcourt, Tuan Penghulu Trisno Sarintana yang melahirkan rasa syukur atas kejayaan pembukaan premis makanan tersebut.
Beliau turut menyatakan harapannya agar perniagaan yang baru beroperasi itu akan terus maju dan menjadi pilihan masyarakat setempat.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Sri Mohd Naroden Majais mengucapkan tahniah kepada Trisno atas kejayaan membuka pusat makanan berkonsep keluarga itu.
“Perniagaan seperti ini perlu menitikberatkan aspek servis, kualiti makanan dan kebersihan supaya terus menjadi pilihan utama pelanggan,” katanya.
Beliau turut yakin bahawa pembukaan rasmi Anjung Tris Family Foodcourt ini akan menjadi tarikan baharu kepada penduduk setempat dan pelancong yang berkunjung ke daerah ini.
Majlis turut diserikan dengan acara simbolik seperti pemotongan riben dan menandatangani plak perasmian. Dato’ Sri Naroden turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian sewa antara pemilik gerai dan pemilik Anjung Tris Family Foodcourt.
Beliau seterusnya mengadakan lawatan ke gerai-gerai yang beroperasi di kawasan foodcourt tersebut bagi meninjau sendiri aktiviti jualan dan penyediaan makanan oleh para peniaga.
Oleh Norman B.