
TOKYO: Angkasawan Jepun Kimiya Yui bersama tiga rakan setugasnya kembali ke Bumi dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) semalam, kira-kira sebulan lebih awal daripada jadual asal selepas isu perubatan menyebabkan misi itu dipendekkan, menurut agensi angkasa Amerika Syarikat, lapor Kyodo News.
Kapal angkasa SpaceX yang membawa keempat-empat angkasawan itu mendarat di perairan luar pantai California selepas berlepas dari ISS.
Mereka menghabiskan kira-kira lima bulan di atas ISS untuk menjalankan eksperimen sains.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), seorang daripada angkasawan berkenaan melaporkan masalah kesihatan pada 7 Januari, sekali gus menyebabkan pembatalan aktiviti luar kapal angkasa yang dijadualkan pada keesokan harinya.
Individu itu berada dalam keadaan stabil tetapi memerlukan pemeriksaan perubatan di Bumi, menurut agensi itu.
NASA tidak mendedahkan identiti individu berkenaan atas alasan privasi. Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (JAXA) memaklumkan kepada Kyodo News bahawa Yui, 55, tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan.

Yui dalam catatannya di media sosial sebelum kembali ke Bumi bahawa tugasan beliau di makmal Jepun, Kibo, di ISS telah “menjadi detik paling bermakna dalam hidup saya,” sambil menambah, “Mari kita bertemu di Bumi, planet yang paling indah di angkasa lepas yang luas ini.”
Menurut NASA, ini kali pertama agensi itu mempercepatkan kepulangan kru atas sebab perubatan dalam tempoh 25 tahun sejarah ISS.
Keempat-empat angkasawan itu memulakan misi ke ISS dari Florida pada Ogos lalu dan pada asalnya dijadualkan pulang pada pertengahan Februari atau lebih lewat. – Bernama