
AMERIKA SYARIKAT: Empat angkasawan berlepas menaiki roket gergasi milik NASA, pada Rabu dalam misi yang telah lama dinantikan untuk mengelilingi Bulan, sekali gus menjadi penerbangan berawak pertama ke orbit Bulan dalam tempoh lebih 50 tahun.
Dengan dentuman kuat yang bergema jauh dari tapak pelancaran, roket gergasi berwarna jingga dan putih itu membawa tiga rakyat Amerika Syarikat dan seorang warga Kanada berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida pada kira-kira 6.35 petang waktu tempatan.
Pasukan NASA serta para penonton bersorak ketika kapal angkasa tersebut berlepas meninggalkan Bumi, menandakan satu pencapaian penting yang akhirnya direalisasikan selepas bertahun-tahun mengalami kelewatan dan peningkatan kos yang ketara.
“Kami akan ke Bulan!” laung seorang penonton.

Semasa pemeriksaan akhir sebelum Artemis 2 disahkan untuk pelancaran, para angkasawan menyampaikan kata-kata ringkas.
“Kami berangkat demi seluruh umat manusia,” ujar angkasawan Kanada, Jeremy Hansen.
Pengarah Pelancaran Artemis, Charlie Blackwell-Thompson, kemudian menyampaikan amanat secara langsung kepada para angkasawan.
“Reid, Victor, Christina dan Jeremy: Dalam misi bersejarah ini, anda membawa bersama semangat pasukan Artemis, keberanian rakyat Amerika Syarikat dan rakan kongsi global, serta harapan dan impian generasi baharu. Semoga berjaya. Selamat maju jaya Artemis 2. Teruskan,” katanya.
Keadaan cuaca pada ketika itu tidak sepenuhnya sempurna, namun hampir ideal dengan kebarangkalian 90 peratus sesuai untuk pelancaran.
Pasukan tersebut, yang mengenakan sut berwarna jingga terang dengan kemasan biru, terdiri daripada Reid Wiseman, Victor Glover dan Christina Koch dari Amerika Syarikat serta Jeremy Hansen dari Kanada.

Langkah awal misi melibatkan pelaksanaan pelbagai pemeriksaan bagi memastikan kebolehpercayaan dan keselamatan kapal angkasa — yang sebelum ini tidak pernah membawa manusia — sebelum memulakan perjalanan kira-kira 10 hari mengelilingi Bulan tanpa pendaratan.
Mereka juga akan menguji keupayaan kawalan manual semasa simulasi penyambungan (docking).
Halangan Berulang
Misi ini menandakan beberapa pencapaian bersejarah, termasuk menghantar individu berkulit berwarna pertama, wanita pertama serta warga bukan Amerika Syarikat pertama dalam misi ke Bulan.
Sekiranya misi berjalan seperti yang dirancang, para angkasawan akan mencatat rekod sebagai manusia yang bergerak paling jauh dari Bumi.
Misi ini juga merupakan penerbangan berawak sulung bagi roket baharu NASA yang dikenali sebagai Sistem Pelancaran Angkasa (Space Launch System, SLS).
Roket gergasi tersebut direka bagi membolehkan Amerika Syarikat kembali ke Bulan secara berterusan, dengan matlamat membina pangkalan kekal sebagai platform bagi penerokaan selanjutnya.

Misi ini pada asalnya dijadualkan untuk dilancarkan seawal Februari.
Namun begitu, beberapa halangan telah menyebabkan penangguhan, malah roket tersebut terpaksa dibawa semula ke hangar untuk tujuan analisis dan pembaikan.
Dianggarkan kira-kira 400,000 orang berkumpul berhampiran kawasan yang dikenali sebagai ‘Space Coast’ untuk menyaksikan detik bersejarah ini, menurut pihak berkuasa tempatan.
Melangkaui Bintang
Program Artemis berdepan tekanan daripada Presiden Donald Trump yang mendesak agar pelaksanaannya dipercepatkan, dengan sasaran menghantar manusia menjejakkan kaki di permukaan Bulan sebelum berakhirnya penggal kedua beliau pada awal 2029.
Antara objektif Artemis 2 ialah mengesahkan bahawa roket dan kapal angkasa berada dalam keadaan berfungsi dengan baik sebagai persediaan ke arah pendaratan di Bulan pada 2028.
Walau bagaimanapun, sasaran tersebut menimbulkan keraguan dalam kalangan pakar, antaranya kerana kebergantungan Washington terhadap kemajuan teknologi sektor swasta.
Pelaburan Amerika Syarikat dalam penerokaan Bulan pada masa ini sering dilihat sebagai usaha untuk bersaing dengan China, yang menyasarkan pendaratan manusia di Bulan menjelang 2030. – AFP