Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Angkasawan Artemis 2 teruja lihat lembangan Orientale buat kali pertama
  • GLOBAL

Angkasawan Artemis 2 teruja lihat lembangan Orientale buat kali pertama

Utusan Sarawak 8 hours ago
KRU Artemis II merakam Lembangan Orientale pada hari keempat perjalanan ke Bulan, iaitu kali pertama manusia dapat melihat keseluruhan lembangan ini. Mereka juga mula melihat bahagian jauh Bulan dan akan terus memerhati lembangan ini sepanjang misi. Foto NASA

HOUSTON (Amerika Syarikat): Angkasawan misi Artemis 2 berpeluang menyaksikan pemandangan Bulan yang tidak pernah dilihat manusia sebelum ini, ketika kapal angkasa mereka melepasi dua pertiga perjalanan menuju lintasan hampir (flyby) yang dinanti-nantikan, lapor kru hari ini.

Ketika kru berehat pada awal pagi tadi, menamatkan hari keempat daripada misi selama 10 hari, mereka berada hampir 321,869 kilometer dari Bumi dan sekitar 131,966 kilometer dari Bulan, menurut papan pemuka dalam talian NASA.

Agensi angkasa itu turut menyiarkan imej yang dirakam kru Artemis, memperlihatkan Bulan dari jauh dengan lembangan Orientale jelas kelihatan.

“Ini kali pertama keseluruhan lembangan itu dilihat dengan mata manusia,” menurut NASA. Kawah gergasi yang menyerupai sasaran itu sebelum ini hanya dirakam oleh kamera orbit.

Bercakap secara langsung kepada kanak-kanak di Kanada dari angkasa, angkasawan Christina Koch berkata kru paling teruja melihat lembangan itu — yang kadangkala digelar ‘Grand Canyon’ Bulan.

“Ia sangat unik dan sebelum ini tiada manusia pernah melihat kawah ini sehingga hari ini, apabila kami berpeluang menyaksikannya,” katanya dalam sesi soal jawab anjuran Canadian Space Agency.

Pencapaian seterusnya dijangka berlaku antara malam Ahad hingga pagi Isnin apabila kapal angkasa memasuki ‘sfera pengaruh Bulan’, iaitu keadaan di mana tarikan graviti Bulan lebih kuat berbanding Bumi.

Jika semuanya berjalan lancar, ketika kapal angkasa Orion mengelilingi Bulan, kru yang terdiri daripada rakyat Amerika Koch, Reid Wiseman dan Victor Glover serta angkasawan Kanada Jeremy Hansen berpotensi mencipta rekod sebagai manusia yang paling jauh dari Bumi.

Pelan lintasan disemak

NASA memaklumkan kru Artemis telah melaksanakan demonstrasi pemanduan manual dan menyemak pelan lintasan Bulan, termasuk mengenal pasti ciri permukaan yang perlu dianalisis serta dirakam sepanjang mereka mengelilingi satelit semula jadi itu.

Sebelum itu, kru memulakan hari dengan sarapan termasuk telur hancur dan kopi, selain dikejutkan dengan lagu popular Pink Pony Club nyanyian Chappell Roan, menurut NASA.

“Moral kru berada pada tahap tinggi,” kata Wiseman kepada Pusat Kawalan Misi Houston. Beliau yang juga bapa kepada dua anak perempuan turut menyatakan kegembiraannya selepas berpeluang berkomunikasi dengan keluarganya dari angkasa.

“Kami berada sangat jauh, namun seketika saya dapat bersama keluarga kecil saya semula. Itu detik terindah dalam hidup saya,” katanya dalam sidang media secara langsung.

Misi itu disifatkannya sebagai pencapaian ‘luar biasa’ yang tidak pernah dicapai manusia sejak lebih setengah abad.

Para angkasawan turut menjalani latihan geologi bagi membolehkan mereka merakam dan menghuraikan ciri-ciri Bulan, termasuk aliran lava purba dan kawah hentaman.

Berbanding misi Apollo program pada 1960-an dan 1970-an yang terbang sekitar 113 kilometer dari permukaan Bulan, kru Artemis 2 akan berada lebih 6,437 kilometer pada jarak paling hampir, sekali gus membolehkan mereka melihat keseluruhan permukaan Bulan termasuk kawasan berhampiran kedua-dua kutub.

Perspektif baharu

Kru Artemis 2 turut menyaksikan perspektif baharu yang belum pernah dilihat sebelumnya.

“Malam tadi kami melihat bahagian jauh Bulan buat kali pertama, dan ia sangat menakjubkan,” kata Koch.

Pengurus program Sistem Pelancaran Angkasa NASA, John Honeycutt, berkongsi imej baharu yang dihantar kru, sambil menjelaskan sebahagian kawasan tersebut sebelum ini hanya pernah dirakam oleh peralatan robotik.

Kru juga giat merakam gambar termasuk menggunakan telefon pintar yang kini diluluskan untuk digunakan dalam penerbangan angkasa. Sebelum ini, NASA turut mengeluarkan imej penuh Bumi dari kapal Orion, menampilkan lautan biru dan awan tebal.

Misi Artemis 2 merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk kembali ke Bulan secara berulang, dengan matlamat membina pangkalan kekal sebagai platform penerokaan seterusnya.

Walaupun memerlukan ketepatan tinggi, misi itu turut memberi peluang kepada angkasawan merealisasikan impian zaman kanak-kanak.

“Ia membuatkan saya berasa seperti kanak-kanak semula,” kata Jeremy Hansen, menggambarkan kegembiraan terapung di angkasa.– AFP

Continue Reading

Previous: Iran tunggu jaminan FIFA untuk penyertaan Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.