KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) menyasarkan 100 peratus anggota koperasi kredit di bawahnya menggunakan Sistem Pelaporan Kredit Angkasa dan Experian (SPeKAR) dalam tempoh dua tahun akan datang.
SPeKAR merupakan sistem carian maklumat kredit individu yang menggabungkan data potongan gaji Angkasa dan maklumat kredit bank, maklumat litigasi, status muflis, penyenaraian hitam peminjam tegar serta lain-lain maklumat kredit yang diuruskan Experian Information Services (M) Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai RAM Credit Information Sdn Bhd.
Naib Presiden Angkasa, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa (gambar) berkata, buat masa ini hanya 40 peratus daripada 574 koperasi kredit di seluruh negara yang menggunakan sistem SPeKAR bagi pengurusan risiko mereka.
“Purata pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada koperasi kredit dengan potongan gaji diuruskan oleh Angkasa adalah pada kadar dua hingga lima peratus tahun lepas. Bagi koperasi lain kemungkinan ada yang mencecah 10 peratus.
“Berasaskan penggunaan SPeKAR untuk menguruskan risiko, kami menjangkakan kadar NPL ini dapat diturunkan kepada di bawah dua peratus seperti dicatatkan oleh koperasi yang telah menggunakan sistem ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian di antara Angkasa dengan Experian di sini, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Experian, Dawn Lai berkata, sejak diwujudkan pada 2012, penggunaan SPeKAR telah meningkat sehingga 241 peratus.
“Penggunaan SPeKAR, iaitu menerusi data yang dikumpulkan, telah memberi manfaat kepada peminjam dan pemberi pinjaman dalam menguruskan risiko dan liabiliti tahap hutang isi rumah.
“Data portfolio i-Score yang dilaksanakan sejak lima tahun lepas juga telah menunjukkan pencapaiaan yang memberangsangkan dalam menyokong Garis Panduan Pemberian Pinjaman yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya.
Mengenai sasaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi mencapai perolehan bernilai RM100 bilion untuk sektor koperasi, Che Shukeri berkata sehingga Disember 2019, perolehan gerakan koperasi adalah sebanyak RM45.8 bilion, dengan jumlah aset bernilai RM146.8 bilion melalui kira kira 14,625 koperasi.
“Bagi gerakan koperasi mencapai sasaran perolehan RM100 bilion menjelang 2030 yang ditetapkan mengikut Dasar Keusahawanan Nasional, Angkasa menyarankan koperasi menceburi bidang perniagaan yang boleh memberi perolehan yang pelbagai.
“Angkasa sedia membimbing koperasi dengan menyediakan platform perniagaan dalam sektor peruncitan menerusi Program Barang Asas 100 (BA100), sektor penjagaan diri dan kesihatan menerusi Coopfarmasi dan sektor pertanian melalui projek penternakan lembu tenusu Heifers Park,” katanya.
Selain itu, bagi menangani kesan pandemik Covid-19, yang dijangka turut menjejaskan pendapatan sektor koperasi tahun ini, Angkasa menggesa koperasi meneliti semula aspek kos operasi supaya keuntungan mampan dapat diraih.- Bernama