
JAKARTA: Angka korban akibat kejadian tanah runtuh di Cisarua, Bandung Barat, Jawa Barat, meningkat kepada 34 orang hari ini, ketika pasukan penyelamat Indonesia mempergiat usaha mencari puluhan lagi mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah lumpur tebal dan runtuhan, lapor Xinhua.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Bandung, Ade Dian Permana, dalam satu sidang media berkata sembilan mayat telah ditemukan setakat 5.00 petang waktu tempatan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemui sejak bencana itu berlaku kepada 34 orang.
Berdasarkan data daripada pentadbiran kampung tempatan, beliau berkata dianggarkan seramai 46 orang lagi masih tertimbus di lokasi kejadian.

Daripada jumlah mayat yang ditemukan setakat ini, 17 telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing, manakala pasukan forensik sedang meneruskan prosedur pengecaman bagi baki mangsa yang lain.
Kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada hujan lebat selama dua malam berturut-turut yang menyebabkan cerun curam di kawasan pergunungan Cisarua menjadi tepu dengan air. Runtuhan tanah, batu dan pokok yang tumbang itu meranapkan kawasan kediaman, ladang serta kawasan hutan.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat akan dinilai selepas tujuh hari, manakala tempoh tindak balas kecemasan selama 14 hari kekal dikuatkuasakan.
Indonesia kerap dilanda banjir dan tanah runtuh semasa musim hujan, yang biasanya bermula dari Oktober hingga Mac.
-Bernama