
HONG KONG: Angka korban kebakaran terburuk di sini dalam beberapa dekad meningkat kepada 159 orang selepas semua blok perumahan Wang Fuk Court di Tai Po selesai diperiksa, menurut polis.
Kebakaran yang berlaku minggu lalu itu turut digelar sebagai kebakaran bangunan kediaman paling dahsyat di dunia sejak 1980. Polis tidak menolak kemungkinan angka korban bertambah kerana penemuan rangka manusia yang masih menunggu ujian forensik.
Suasana pilu menyelubungi sebuah taman berhampiran bangunan terbakar apabila orang ramai hadir membawa bunga dan nota peringatan. Mangsa termuda berusia setahun manakala yang tertua 97 tahun.
Pihak berkuasa mendapati penggunaan jaring keselamatan yang tidak menepati piawaian ketahanan api serta perancah buluh dan papan buih mempercepatkan merebaknya api.
Susulan itu, Setiausaha Pembangunan Bernadette Linn mengarahkan semua bangunan yang sedang diselenggara supaya menanggalkan jaring keselamatan selewat-lewatnya Sabtu ini.
Setakat ini, polis menahan 15 individu termasuk ketua syarikat pembinaan atas tuduhan membunuh tanpa niat, selain enam lagi ditahan berkaitan sistem penggera kebakaran yang gagal berfungsi ketika kejadian. -AFP